Monday, July 31, 2017

Politik Matang Teras Kemajuan Negara

Fuad Shahdan

politik matang


Kematangan dalam politik adalah sesuatu yang amat diperlukan di Malaysia dan penglibatan pimpinan parti-parti politik dalam setiap acara termasuk ceramah dan kempen perlu menunjukkan sikap matang dan terbuka. Kematangan dalam politik ialah lambang kemajuan pemikiran dan keupayaan untuk membentuk negara Malaysia yang kukuh dari sudut demokrasi dan penglibatan politik.

Sejak dunia politik Malaysia makin hangat akhir-akhir ini, aspek kematangan dan kemampuan berfikir sebagai orang dewasa dilihat makin dilupakan. Hal ini terpakai kepada kedua-dua pihak termasuk pembangkang dan juga pihak parti pemerintah. Kita tidak mahu melihat suasana politik di negara kita tercemar dengan hal-hal yang berkaitan dengan serangan berbaur peribadi atau usaha menjatuhkan maruah seseorang.

Di pihak pembangkang kita sering melihat bagaimana karikatur yang memaparkan wajah isteri YAB Perdana Menteri sering menjadi sasaran dan dilukis dalam pelbagai keadaan yang kadangkala mendatangkan aib. Hal ini sebenarnya bukanlah satu tindakan matang dan tidak boleh diterima kerana hanya menggalakkan budaya menyerang peribadi tanpa melihat isu yang sesuai.

Serangan dalam politik di Malaysia sebenarnya wajar ditumpukan kepada isu-isu relevan dan penting yang mencakupi hal kehidupan rakyat, bukannya menceroboh privasi atau kehidupan peribadi seseorang pemimpin dan memanipulasi apa-apa keadaan yang difikirkan perlu. Ini satu tindakan kurang matang yang hanya mendedahkan Malaysia kepada budaya songsang dalam berpolitik.

Di pihak parti pemerintah juga keadaan ini sering kali berlaku dan lebih malang terdapat cubaan untuk menyerang secara peribadi sehingga mengheret kancah perkauman yang sebenarnya mendedahkan kepada masalah lebih besar. YAB Timbalan Perdana Menteri misalnya baru-baru ini ketika majlis penutup Mesyuarat Bahagian UMNO Kelana Jaya telah menunjukkan kepada hadirin imej yang memaparkan kad pengenalan lama Tun Dr Mahathir dan mendedahkan nama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.

Jelas tindakan seperti ini dengan segaja cuba mencetuskan kontroversi apabila terdapat percubaan untuk mengungkit keturunan Tun Dr Mahathir. Sebenarnya ini bukanlah jalan politik matang, ini cuma hanya menggalakkan kebencian, malah dalam keadaan yang lebih serius akan membuatkan masyarakat umum memberikan pertimbangan negatif terhadap BN. Sewajarnya selepas ini pemimpin BN tidak memainkan isu-isu sensitif yang sebenarnya tidak memberikan kesan positif terhadap kempen.

Pemimpin BN sebenarnya wajar menerajui aspek kematangan politik dan perlu menunjukkan perbezaan ketara dalam soal pemikiran berbanding pemimpin pembangkang dan hal-hal berkaitan serangan peribadi dan percubaan untuk menjatuhkan pihak lawan dengan menggunakan hujah dangkal bersifat serangan seperti ini perlu dihentikan segera.

Golongan muda merupakan kelompok yang cepat terkesan dengan ucapan politik tidak senang seperti ini dan BN yang kini sedang mengejar undi golongan ini perlu sedar dan menggunakan pendekatan matang serta terbuka untuk menarik sokongan dan bukannya menebar kebencian dan serangan peribadi yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat.


Laksana dulu, baru masyarakat nampak keadilan perundangan Islam - Nik Zawawi

Oleh Athirah Hanapiah & Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Hanya selepas perundangan Islam dilaksanakan, masyarakat akan dapat menilai keadilan sebenar yang ditawarkan, kata Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh.
 
Justeru Nik Zawawi berkata, mana-mana negeri yang mahu memartabatkan perundangan Islam tidak harus dihalang atau dipersendakan sebaliknya dipermudahkan urusan itu.
 
Beliau berkata demikian mengulas tindakan pihak tertentu yang mempersoalkan keputusan DUN Kelantan yang sebulat suara meluluskan pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2017 yang antara lainnya memperuntukan hukuman sebat ke atas penjenayah dilakukan secara terbuka.
 
"Apa yang diputus sekarang di negeri Kelantan itu adalah satu benda yang terbaik dan kita tak nak jawab kepada orang yang terkeliru ini sebab kita akan jawab selepas kita laksanakan dan semua pihak akan tengok bagaimana keadilan dan kebaikan Islam, dan baru mereka akan faham bagaimana sebat dalam Islam.
 
"Yang keliru ni kadang-kadang dia nampak sebat dalam Islam ni macam sebat yang ada dalam mahkamah sivil," katanya ketika ditemu bual Antarapos.
 
Nik Zawawi berkata banyak pihak yang cuba mempolemikkan pindaan itu tidak memahami fakta sebenar sebelum bersuara terutama isu sebat secara terbuka.
 
"Bila kita laksanakan hukuman sebat dalam Islam ini, InsyaAllah penjenayah-penjenayah itu sendiri akan lihat bagaimana Islam ini adalah agama yang sederhana dan agama yang bukannya fokus untuk menghukum manusia.
 
"Tetapi Islam lebih fokus untuk mendidik manusia supaya penjenayah-penjenayah ini balik kepada Islam," ujarnya.
 
Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) membabitkan 35 fasal, namun yang menjadi perbualan hangat adalah isu sebat secara terbuka.
 
RUU itu juga antara lain memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.
 
Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang kemudiannya disokong sebulat suara oleh ADUN.
 
 

Jangan semberono 'rombak' undang-undang, kata TPM

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mana-mana pihak untuk menghormati undang-undang Islam sebagaimana yang ditetapkan di dalam Al-Quran.
 
Ujarnya, adalah tidak wajar untuk merombak sesuatu undang-undang yang telah termaktub di dalam Al Quran semata-mata demi 'mementingkan' undang-undang dunia.
 
'Jangan campur hal ehwal kita, undang-undang kita hak kita, jangan campur. Walaupun yang campur tu orang Islam, memang pakar undang-undang tetapi undang-undang Islam bukan hanya apa yang termaktub di atas kertas tetapi berdasarkan hukum Quran, Sunnah, ulamak dan Qias," katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pelancaran Projek Residensi RAH, di Kampung Baru pagi tadi.
 
Mahkamah Rayuan pada Khamis lalu memutuskan anak tidak sah taraf boleh dibin atau dibintikan bapanya.
 
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan perkara berkenaan ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.
 
Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.
 
Sehari kemudian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya akan terus meletakkan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes itu dimuktamadkan Mahkamah Persekutuan.
 
Agensi itu kini dalam proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu.
 
Isu berkenaan mengundang reaksi yang pelbagai, dengan ramai yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu sememangnya tidak selari dengan apa yang ditentukan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
 
Dalam pada itu mengulas 'teguran' seorang bekas hakim, Datuk Seri Gopal Sri Ram agar ahli politik dan penjawat awam berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berhubung penghakiman mahkamah, tegas Zahid, setiap pihak perlu menghormati agama masing-masing. 
 
"Tolong hormati agama kita kalau kita dikehendaki untuk menghormati agama lain.
 
"Ini harus dihormati, jangan semborono, sesuatu yang dilakukan itu seolah-olah mahu dirombak, sesuatu yang subhah, yang qat'i harus diakui ditolak, jadi tidak boleh begitu," katanya lagi.
 
 

Setuju keputusan Mahkamah Rayuan seperti sokong zina pada masa depan - Mufti Perak

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pihak yang menyokong keputusan Mahkamah Rayuan untuk membenarkan anak luar nikah dibinkan dengan nama bapanya dianggap menghalalkan zina pada masa akan datang.
 
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata isu itu adalah soal hukum agama dan ia tidak boleh dikompromi sama sekali.
 
Ujarnya rakyat tidak seharusnya mempertikaikan kuasa yang diberikan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tidak membenarkan anak luar nikah dibinkan nama bapanya.
 
"Dah beribu tahun dah hukum tu kekal macam tu. Orang duhulu-dahulu tidak membuat hukum sebarangan. Hukum diasaskan daripada Al-Quran, hadis, ijmak dan juga istidraj (kajian). Jadi setelah diputuskan barulah ia kekal.
 
"Kenapa kita nak melawan arus, adakah nak cari publisiti dengan cara kita melawan arus?Ini (anak luar nikah perlu binkan Abdullah) pendapat baru menjurus kepada menghalalkan zina," katanya semasa menghadiri Majlis Pelancaran Projek Residensi RAH di Kampung Baru, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada Khamis lalu yang membenarkan anak tidak sah taraf boleh dibin atau dibintikan bapanya.
 
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebelum ini memutuskan perkara berkenaan ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.
 
Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah PN selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.
 
Sehari kemudian, Ketua Pengarah Jabatan JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya akan terus meletakkan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes itu dimuktamadkan Mahkamah Persekutuan.
 
Agensi itu kini dalam proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu.
 
Isu berkenaan kemudiannya mengundang reaksi pelbagai, dengan ramai yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu sememangnya tidak selari dengan apa yang ditentukan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
 
Mengulas lanjut, Harussani berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu jelas membelakangkan agama Islam yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan.
 
"Dalam perlembagaan kita agama Islam yang dipakai, jadi kenapa mereka nak nafikan keputusan fatwa dan telah digazetkan. Keputusan untuk mengikat pendaftaran (JPN), dia mengikat semua, itu sudah ada dalam Perlembagaan. Macam mana Mahkamah Rayuan sendiri tidak terikat dengan fatwa.
 
"Kita bukan menghina mahkamah tapi perbuatan itu tidak betul, keputusan Mahkamah Rayuan ini yang menghina Islam, menghina perlembagaan itu sendiri, menghina fatwa," katanya.
 
 
 
 

Gerakan mahu letak tiga calon di kerusi Parlimen Kuala Lumpur

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan meletakkan tiga calon yang bakal bertanding bagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
 
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong mengumumkan mereka ialah Dr Dominic Lau Hoei Chai bagi kerusi Parlimen Batu, Ong Siang Liang (Kepong), dan Datuk Lau Hoi Keong (Segambut).
 
"Pada pilihan raya lalu kita telah bertanding dalam dua kerusi parlimen iaitu di Batu dan Segambut. Untuk pilihan raya akan datang ini kita berharap dapat bertanding di kawasan Kepong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Gerakan Wilayah Persekutuan 2017 di Kuala Lumpur.
 
Mah, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata parti itu telah bersiap sedia bagi menghadapi PRU14 pada bila-bila masa dari sekarang.
 
"Meskipun kita akui pada pilihan raya lepas prestasi Gerakan tidak begitu baik namun kita yakin dan optimis bahawa PRU-14 akan datang ini sokongan daripada pengundi kaum Cina bakal meningkat.
 
"Berdasarkan kajian, kami yakin bahawa sokongan pengundi kaum Cina akan bertambah lebih dari 30 peratus berbanding hanya 13.4 peratus pada pilihan raya umum lalu," katanya yang dipetik sebuah agensi portal berita.
 
Mah berkata berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan pada PRU sebelum ini, Gerakan mengambil pendekatan mengumumkan bakal calon yang bertugas sebagai penyelaras di kawasan masing-masing bagi membolehkan pengundi membuat penilaian sendiri terhadap calon yang dipilih untuk mewakili kawasan mereka bertanding pada PRU14.
 
"Jika prestasi mereka tidak begitu memuaskan, pertukaran calon akan dilakukan.
 
"Ini merupakan satu langkah baharu bagi memantapkan serta memastikan kemenangan Gerakan pada PRU14," katanya.
 
 

Polis siasat insiden buli di padang sekolah

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUNAK: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan dibuli sekumpulan pelajar perempuan lain yang dipercayai berlaku di kawasan padang sebuah sekolah menengah di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasarudin M Nasir, berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu pelajar berkenaan berhubung perkara itu tengah hari kelmarin.

"Kejadian itu dipercayai berlaku Sabtu lalu di padang sebuah sekolah menengah di sini dan siasatan serta tindakan lanjut sedang dijalankan," katanya dipetik Berita Harian.

Nazarudin berkata, polis akan memanggil semua pelajar terbabit, selain ibu bapa dan guru sekolah berkenaan untuk diambil keterangan masing-masing.

Terdahulu, rakaman mengenai kejadian itu tersebar di laman sosial.

Dalam video berdurasi satu minit 39 saat itu kelihatan sekumpulan pelajar perempuan menyerang dan memukul seorang pelajar perempuan lain.

Difahamkan, kejadian berlaku di luar sesi persekolahan di kawasan padang sekolah menengah di daerah ini.

Bagaimanapun motif dan punca kejadian belum dapat dipastikan.

Arab Saudi tuduh Qatar 'isytihar perang'

 MALAYSIA DATELINE




Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir menyifatkan permintaan Qatar untuk mengantarabangsakan ibadat haji tidak ubah seperti pengisytiharan perang terhadap negara itu.

"Permintaan Qatar untuk mengantarabangsakan dua kota suci ini agak agresif dan seolah-olah pengisytiharan perang terhadap negara ini. Kami berhak bertindak balas terhadap usaha itu,"  lapor televisyen al-Araabiya seperti dipetik Reuters.

Bagaimanapun, tuduhan itu disangkal Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani, yang menegaskan tiada pegawai negara itu mengemukakan permintaan sedemikian.

"Kami bosan menjawab kenyataan palsu dan cerita diadakan-adakan," kata Sheikh Mohammed kepada TV al-Jazeera.

Qatar menuduh Arab Saudi mempolitikkan ibadat haji dan melahirkan kebimbangan terhadap halangan yang perlu dihadapi rakyat Qatar mengerjakan haji tahun ini kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kebebasan beragama.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain sebelum ini mengemukakan senarai 13 tuntutan kepada Qatar termasuk menghentikan sokongan kepada gerakan Ikhwanul Muslim, menutup stesen televisyen al-Jazeera, menutup pangkalan tentera Turki dan mengurangkan hubungan dengan Iran.

Pada masa sama, menteri empat negara itu menyatakan kesediaan berdialog dengan Qatar jika negara itu menunjukkan minat terhadap tuntutan mereka.

Mahathir a/l Iskandar Kutty: Khairuddin buat laporan polis terhadap Ahmad Zahid

MALAYSIA DATELINE

Khairuddin zahid 1


Laporan polis dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan mendedahkan maklumat peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di ibu negara hari ini, yang turut menamakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Khairuddin mendakwa Zahid berniat jahat dengan mendedahkan salinan kad pengenalan yang dikatakan milik Mahathir dengan nama "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

Zahid ketika merasmikan majlis penutup mesyuarat Umno bahagian Kelana Jaya semalam mengungkit sejarah keturunan Mahathir dengan menayangkan salinan kad pengenalan lamanya di telefon bimbit.

Bagaimanapun, dalam membuat kenyataan itu, Zahid berkata beliau tidak membuat serangan peribadi dan menegaskan secara "kebetulan" beliau adalah menteri dalam negeri ketika menerima maklumat itu.JPN berada bawah bidang kuasa kementeriannya.

Sementara itu, Khairuddin berkata Zahid dan JPN telah melakukan kesalahan bawah Akta Perlindungan Data Peribadi susulan langkah itu.

“Timbalan perdana menteri dan ketua pengarah JPN telah menyalahgunakan data peribadi untuk agenda peribadi,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

3.8 juta masih belum daftar pengundi

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sebanyak 3.77 juta warganegara berumur 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga 31 Mac lalu.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagi tempoh pendaftaran dari Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 1,454 bantahan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap pengundi baharu di seluruh negara.
 
“Berhubung isu kelayakan pemegang kad pengenalan sementara untuk mengundi, mana-mana pemegang dokumen pengenalan diri tersebut bukan merupakan warganegara.
 
“Oleh itu, pemegang kad pengenalan sementara tidak layak mendaftar sebagai pemilih, seterusnya tidak berhak untuk mengundi dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil,” katanya dalam jawapan bertulis ketika sidang Dewan Rakyat, hari ini. 
 
 

Husam tak layak persoal hasil Ladang Rakyat - PAS Kelantan

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi menyelar kritikan yang disuarakan Naib Presiden Amanah negeri Datuk Husam Musa terhadap hasil Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat yang dibangunkan kerajaan negeri.
 
Katanya, Husam tidak layak untuk menyatakan kritikan sedemikian ekoran sepanjang menjadi salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Ladang Rakyat selama enam tahun, hanya sekali sahaja beliau menghadiri mesyuarat berdasarkan laporan yang pernah dinyatakan badan itu.
 
Justeru beliau mengingatkan Husam untuk tidak mempersoalkan perkara yang beliau gagal laksanakan sewaktu berada dalam badan berkenaan.
 
"Datuk Husam ni seolah-olah terlupa beliau adalah (pernah) ahli lembaga pengarah Ladang Rakyat ni sejak daripada penubuhan sehingga tahun 2012, apabila (Husam) tergugur kerana tidak pernah menghadiri mesyuarat. (Hanya) pernah hadir sekali sahaja dalam masa enam tahun.
 
"Kalau mesyuarat yang merupakan tanggungjawab asas kepada ahli lembaga, di mana lembaga berbincang untuk merancang polisi dan sebagainya pun tidak boleh ditunaikan, (jadi) macam mana sebut nak buat hasil yang banyak dan sebagainya. Tanggungjawab paling asas pun tak boleh hadir," katanya kepada Antarapos.
 
Che Abdullah berkata demikian mengulas kenyataan Husam bahawa Amanah Kelantan mampu melipat-gandakan hasil Ladang Rakyat jika mereka berjaya mendapat mandat rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang itu.   
 
Dakwa Husam, Ladang Rakyat sepatutnya mampu menghasilkan pendapatan sebanyak RM 180 juta setahun, tetapi apabila berada di bawah pimpinan PAS ia hanya memperoleh RM9.6 juta setahun.
 
Sehubungan itu katanya, Jika Amanah atau Pakatan Harapan (PH) diberi peluang mentadbir Kelantan, parti itu akan mengkaji semula perjanjian pajakan ini.
 
Katanya lagi, angka mengenai keluasan ladang dan pendapatan Ladang Rakyat adalah berdasarkan jawapan soalan bertulis sewaktu di DUN Kelantan baru-baru ini

Tiada siasatan semula terhadap 1MDB selepas saman sivil DoJ - PAC

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin memberitahu pihaknya tidak akan membuka semula siasatan terhadap isu kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Bercakap kepada pemberita, Hasan berkata laporan siasatan itu sudah dibentangkan di Parlimen dan terpulang kepada kerajaan jika mahu mengambil tindakan seterusnya.
 
Hasan berkata demikian merujuk kepada saman sivil terbaru oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat pada Jun lalu.
 
"Tiada apa tindakan yang dibuat (terhadap 1MDB). DoJ adalah DoJ, PAC adalah PAC.
 
"Laporan siasatan 1MDB telah dibentangkan di Parlimen dan terpulang kepada pihak kerajaan sama ada untuk ambil tindakan dari apa yang pihak kita bentangkan," katanya kepada pemberita di sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
 
 

Menjinakkan lawan politik adalah lumrah bagi Mahathir

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
[ULASAN] Lambat laun anggota Pakatan Harapan (PH) akan perlu berhadapan dengan realiti dan wajib mendepani isu kontroversi membabitkan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak kira ia kalah atau menang Pilihanraya Umum (PRU14).
 
Jika menang, mungkin isu kesesuaian dan kebijaksanaan mengangkat bekas diktator itu lewat sedikit ditangani. Atau mungkin juga tidak akan sempat diuruskan kerana Mahathir pasti bersedia mempertahankan dirinya daripada menjadi sasaran kerabat PH.
 
Malah dalam kegirangan meraikan kemenangan, parti-parti seperti PKR, DAP dan Amanah mungkin “dilalaikan” Mahathir untuk “melihat ke hadapan” dan melupakan sebarang “kecurigaan” lampau.
 
Bagaimanapun jika PH gagal dalam PRU14, “pemugaran” dalam PH akan terpaksa dibuat dan barulah ketika itu kerabat PH akan menggodam segala pertahanan dan alasan Mahathir mahu menggabungkan diri dengan rancangan besar mereka menumbangkan kerajaan Umno-BN.
 
Ini bukan satu kebarangkalian. Sebaliknya, seperti yang digarap oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, ia adalah satu kepastian kerana menganggap polemik seperti ini sebagai satu lumrah politik.
 
Beliau mengambil pendirian demikian sebagai meluruskan reaksi sebahagian penyokong pembangkang yang membantah tindakan PH melantik Mahathir selaku Pengerusi gabungan berkenaan. 
 
Saifuddin berpendirian bahawa penyokong pembangkang perlu memahami tujuan penubuhan PH sebelum mengkritik keputusan pakatan itu bersabit struktur kepimpinannya yang diumumkan dua minggu lalu. 
 
Beliau menegaskan dalam keadaan sekarang “tawaran atau alternatif politik yang cuba diajukan PH” adalah jauh lebih penting daripada 'menoleh ke belakang dan bercakap tentang sejarah lampau'. 
 
"Kalau kita bercakap tentang sejarah lampau, kita tak bergerak ke depan. Jadi saya takkan layan sebarang soalan berkaitan perkara lampau. Tumpuan sekarang adalah tawaran yang PH nak buat. Itu lebih penting," katanya. 
 
Tun M modal besar?
 
Dalam Forum “Mahathir Agen Perubahan atau Agen Pemusnah” anjuran Kelab Bangsar Utama Selasa lalu ramai penyokong PH menzahirkan bantahan dan masih berbelah bahagi terhadap keputusan melantik Dr Mahathir Pengerusi PH.
 
Antaranya, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvam yang mempertikaikan mengapa pembangkang perlu bergantung pada bekas perdana menteri itu untuk melakukan “revolusi mahupun perubahan”.
 
Pada 14 Julai lalu PH mengumumkan struktur parti itu yang menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.
 
Saifuddin berkata, PH tidak mampu menghalang apa jua reaksi yang muncul daripada setiap keputusan politik yang dibuat oleh pakatan itu, tidak kira ia datang daripada kalangan dalam atau luar parti.
  
"Mereka (penyokong) bebas untuk membuat pilihan. Tapi kalau kita buat satu keputusan politik, melahirkan PH dengan struktur kepimpinan sebegitu, maknanya kita dah sedia bergerak ke depan. Itu lebih penting," kata Saifuddin.
 
Bak api dalam sekam isu “memanfaatkan” penyertaan Dr Mahathir ini pasti akan sentiasa menghangatkan politik PH sebelum dan sesudah PRU14 kerana beliau adalah satu-satunya “modal besar” yang ada pada PH.
 
Rekod silam 'ditelanjang' jika PH kecundang
 
Sebenarnya Saifuddin memang memahami lumrah politik – di kala senang semuanya indah, tetapi bila dibadai masalah masing-masing akan membongkar semua kemungkinan untuk dijadikan alasan mengapa gagal.
 
Buat sementara ini PH akan mengutarakan pemikiran yang “muluk dan suci” Dr Mahathir dan cuba melindungi “sisi bengis dan kejamnya” ketika memerintah dan cuba memadamkan api reformasi suatu masa dahulu.
 
Kini pemimpin PH seperti Saifuddin, Johari Abdul, Lim Kit Siang, keluarga mendiang Karpal Singh akan berusaha menyimpan komen dan parut politik yang dilarik Mahathir 19 tahun lalu apabila beliau memecat dan mengaibkan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Demikian lumrah politik. Jangan hairan jika PH kecundang, Saifuddin akan ‘memimpin’ pula gerakan ‘menelanjangkan’ rekod zalim Mahathir yang pasti dianggap ketika itu sebagai ‘liabiliti’ politik. 
 
Saifuddin ialah ahli politik. Begitu juga rakan-rakannya yang lain dalam PH. Meskipun kini tugasnya untuk menjaja “keelokkan” dan menjunjung “kehebatan firasat” politik Mahathir, semuanya akan berubah jika Mahathir dan PH gagal.
 
Namun beliau dan rakan-rakan seangkatannya haruslah akur bahawa menang atau kalah, Mahathir sudah pasti sedia melakarkan skrip politiknya sendiri untuk menghadapi reaksi yang ‘lumrah’ daripada PH yang kecewa.
 
Paling asas ialah persoalan, benarkah Mahathir sudah insaf dan berubah? Mampukah beliau menukar naluri dan deria politiknya selepas bergelumang dalam politik lebih enam dekad? Atau, Mahathir akan tetap Mahathir?
 
Mahkota kejayaan politik Mahathir ialah kemampuannya ‘menjinakkan’ lawan politiknya. Cubalah tanya Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan mungkin juga Anwar Ibrahim sendiri. Itu lumrah baginya. 


Sunday, July 30, 2017

PAS lancarkan DHPP Nibong Tebal

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
NIBONG TEBAL: Di sebalik tuduhan sebagai anti bukan Islam oleh DAP terhadap PAS, parti itu mencatat sejarah apabila berjaya menubuhkan cawangan baru Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di negeri ini.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sokongan yang diberikan masyarakat bukan Islam kepada PAS disebabkan polisi mesra yang diamalkan parti itu terhadap golongan bukan Islam.
 
Katanya, PAS tidak menjadikan agenda sesuatu bangsa sebagai keutamaan sebaliknya setiap bangsa perlu menyayangi dan menghormati pihak lain.
 
“PAS telah memberi ruang kepada kaum bukan Islam dan ini terbukti dengan penubuhan DHPP dalam parti yang menjaga kebajikan pelbagai kaum lain seperti Cina dan India,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika melancarkan DHPP di Kampung Permatang Tok Mahat di sini malam tadi.
 
Yang turut hadir, Pesuruhjaya PAS negeri, Fauzi Mohd. Yusof.
 
Dalam majlis itu, seramai kira-kira 150 orang yang majoritinya berketurunan India menyerahkan borang menjadi ahli DHPP dan berikrar akan memberi sokongan kepada Pas pada pilihan raya umum akan datang.
 
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS akan terus komited memperjuangkan isu -isu memperkasakan umat Islam di negeri ini di samping memastikan tidak akan mengancam kehidupan masyarakat bukan Islam. 
 
 

PAS Kelantan konsisten perjuang perundangan Islam sejak 27 tahun lepas - Exco

Oleh Athirah Hanapiah & Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS sudah memerintah Kelantan selama 27 tahun dan konsisten memperjuangkan pelaksanaan perundangan Islam di negeri itu, kata Exco Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud. 
 
Justeru, tidak timbul soal kerajaan DUN Kelantan tergesa-gesa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antaranya memperuntukkan hukuman sebat dilakukan secara terbuka.
 
"Kalau nak bercakap soal tergesa-gesa, kita dah memerintah Kelantan selama 27 tahun, adakah ini tergesa-gesa," katanya ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos, baru-baru ini.
 
DUN Kelantan sebelum itu dikritik sebagai tergesa-gesa kerana meluluskan pindaan akta itu tanpa menunggu Akta 355 diluluskan di Parlimen.
 
Nassuruddin bagaimanapun menjelaskan pindaan RUU Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) tiada kaitan dengan Akta 355, kerana ia hanya membabitkan kaedah atau mekanisma sesuatu hukuman sedia ada dilaksanakan.
 
Sementara Akta 355 adalah hanya berkisar soal had hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah syarie.
 
"Tidak timbul soal kita tergesa-gesa sedangkan Akta355 belum pun diluluskan di dalam parlimen, tidak timbul soal itu sebab walaupun enam kali sebatan tetapi secara terbuka.
 
"Bukan kata kita pinda dari segi jumlah hukuman, dari segi jumlah enam juga bukan 40. Nak jadikan (hukuman) 40 (sebatan) mesti kena pinda (Akta) 355 dulu di parlimen," katanya.
 
DUN Kelantan beberapa minggu lalu  telah meluluskan rang undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.
 
Usul yang dibawa oleh beliau itu antara lainnya memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguatkuasa agama untuk menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan penggunaan video sebagai bahan bukti semasa perbicaraan.
 
Sementara itu, beliau yang memegang portfolio Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri yakin rakyat Kelantan memahami dan menerima baik usaha kerajaan negeri memartabatkan perundangan Islam di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
 
"Rakyat Kelantan dari dulu lagi rakyat yang beragama, yang suka kepada agama, dan suka ada pengahayatan ajaran agama di Kelantan.
 
"Di antara sebab rakyat beri sokongan kepada parti Islam ini ialah kerana mereka ingin melihat pemerintahan dilaksanakan secara Islam termasuklah soal perundangan, itu harapan mereka.
 
"Memang rata-rata rakyat Kelantan ni menyokong penuh usaha yang kita buat ni," ujarnya tegas.
 
 

'Dah keluar parti, baru komen', kata Idris Ahmad

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad enggan mengulas khabar angin tiga wakil rakyat parti itu di Kedah bakal meninggalkan PAS.
 
"Kita tunggu dahulu. Esok-esok mereka keluar baru kita komen," katanya ringkas ketika dihubungi Antarapos.
 
Semalam, Sinar Harian melaporkan tiga wakil rakyat PAS Kedah akan meninggalkan parti itu selepas dilihat mesra bergandingan dengan Pakatan Harapan (PH).
 
Ketiga-tiga mereka adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa.
 
Mahfuz, Amiruddin dan Mohd Nasir kini dilihat semakin menonjol dalam program Pakatan Harapan dan hadir di siri-siri ceramah gabungan pembangkang itu.
 
Mahfuz yang juga bekas Ketua Penerangan PAS lantang mengkritik kepimpinan parti itu selepas PAS bertindak memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat (PR) pada 2015 yang lalu.
 
Meskipun mengakui dirinya masih ahli PAS, namun tindakannya mesra-PH menimbulkan resah di kalangan ahli-ahli parti.
 
"Itu biar Jawatankuasa Disiplin. Terpulanglah.. Saya tak mahu komen," ujar Idris lagi.
 
Baru-baru ini Pengerusi Lembaga Disiplin PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan salah laku Mahfuz, dan menyebabkan mereka tidak dapat mengambil tindakan.
 
Mahfuz yang digelar banyak pihak sebagai 'harum manis' pernah digesa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah untuk meninggalkan parti atas kelantangannya menyerang parti akibat ketidakpuasan hati dengan keputusan yang dibuat PAS.
 
 

Malaysia sedia bantu Indonesia tangani kebakaran hutan

Bernama

Kerajaan memandang serius masalah berkenaan yang boleh menyebabkan jerebu.

KUALA LUMPUR: Malaysia sedia menghantar anggota dan pegawai bomba ke Indonesia untuk membantu memadam kebakaran hutan dan ladang di republik itu, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata kerajaan memandang serius masalah berkenaan yang boleh menyebabkan jerebu dan sedia menyalurkan bantuan pada bila-bila masa.

“Saya sudah berbincang dengan Shahidan Kassim yang mengawal selia bomba dan juga pasukan SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia), dia sudah memberi jaminan bahawa kita sentiasa bersiap sedia pada bila-bila masa sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Larian Terowong SMART 2017, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB) memberi amaran mengenai peningkatan ancaman kebakaran hutan berikutan musim kemarau yang dijangka bertambah buruk malah beberapa kawasan panas telah dikesan di Aceh menyebabkan wilayah itu mengalami jerebu.

Bagaimanapun, Agensi Pemulihan Tanah Gambut Indonesia dilaporkan memberi jaminan bahawa negara jiran seperti Malaysia dan Singapura tidak mengalami jerebu kerana pihaknya telah mengambil langkah baharu untuk menghentikan kebakaran hutan.

Menjelas lanjut, Wan Junaidi berkata beliau telah bertemu gabenor Riau dan Jambi selain merancang untuk berjumpa dengan gabenor Acheh bagi membincangkan soal bantuan itu.

Beliau turut berterima kasih kepada Indonesia atas tindakan sistematik dan agresif dalam menangani jerebu dan yakin langkah proaktif yang diambil republik itu mampu menangani masalah jerebu sekali gus menjadikan negara ASEAN bebas jerebu menerusi Pelan Tindakan Bebas Jerebu menjelang 2020.

Terdahulu, Wan Junaidi melepaskan kira-kira 1,800 peserta larian anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan dan Saliran yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-85 penubuhan jabatan itu dan ulang tahun ke-10 pengoperasian Terowong SMART.

Ini merupakan kali kedua program itu dianjurkan sejak Mac 2007.

Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) sejauh 9.7 kilometer yang dibuka pada Jun 2007 itu merupakan terowong dwifungsi yang digunakan sebagai laluan trafik dan aliran air mampu melencongkan limpahan air 1.16 juta meter padu sekiranya berlaku hujan lebat tanpa henti selama tiga jam.

Menurut Wan Junaidi, sehingga 15 Julai lepas, sebanyak 299 kali kejadian banjir berlaku di ibu kota berjaya dilencongkan melalui pelbagai mod iaitu dengan mengalihkan air banjir menerusi tadahan Sungai Klang dan Sungai Ampang ke Sungai Kerayong daripada melimpah ke pusat bandar raya.

“Kejayaan Terowong SMART ini membuktikan negara kita berjaya mewujudkan pakar-pakar dalam bidang ini setanding dengan rakyat di negara maju dan kita seharusnya berbangga kerana ia telah menjadi tarikan negara luar misalnya Putera Mahkota Jepun dan Menteri Sumber Air China kagum dengan operasi SMART,” katanya.

Antara kawasan rendah di ibu kota yang kini hampir bebas banjir hasil terowong SMART ialah Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Jalan Munsyi Abdullah, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kampung Baru, Jalan Tun Razak, Jalan P. Ramlee dan beberapa lagi jalan utama.-Bernama

AirAsia tawar diskaun sehingga 45 peratus

Bernama

Promosi berkenaan sah bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Sydney, Gold Coast Australia, Beijing, Hangzhou dan banyak lagi dengan penerbangan AirAsia X serta dari Kuala Lumpur ke Shantou, Tiruchirappalli, Pekanbaru, Kalibo, Pattaya, Alor Setar, Sibu, Johor Bahru, Langkawi, dan penerbangan AirAsia yang lain

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia menawarkan diskaun sehingga 45 peratus bagi tempahan kumpulan dalam kempen baharunya, ‘Buy More, Save More’.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata diskaun 45 peratus itu untuk empat hingga sembilan penumpang yang dibuat di bawah tempahan yang sama, tiga penumpang (35 peratus), dua penumpang (25 peratus), manakala untuk penumpang bersendirian (15 peratus).

“Promosi ini memberi peluang kepada semua orang, sama ada yang suka melancong bersendirian, dengan keluarga atau rakan, kami akan membawa anda ke destinasi pada kos yang berkurangan,” kata Ketua Pegawai Komersil Kumpulan AirAsia, Siegtraund Teh.

Promosi berkenaan sah bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Sydney, Gold Coast Australia, Beijing, Hangzhou dan banyak lagi dengan penerbangan AirAsia X serta dari Kuala Lumpur ke Shantou, Tiruchirappalli, Pekanbaru, Kalibo, Pattaya, Alor Setar, Sibu, Johor Bahru, Langkawi, dan penerbangan AirAsia yang lain.

Tawaran ini juga termasuk ke destinasi baharu syarikat penerbangan seperti Kuala Lumpur-Sihanoukville, Langkawi-Shenzen dan Langkawi-Kuching, yang akan bermula 9 Ogos, 2017.
-Bernama

Penyeksaan zaman Dr Mahathir kecil berbanding kepentingan rakyat, kata Anwar

Berita Daily Staff

Dr Mahathir kini terpaksa bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas bertindak aktif dan berani.

KUALA LUMPUR: Penyeksaan pembangkang ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri adalah kecil berbanding kepentingan rakyat, hari ini, kata Anwar Ibrahim.

Ketua Umum PKR itu berkata, walaupun terdapat tentangan daripada rakan pembangkang dan aktivis sosial terhadap kerjasama pembangkang dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, beliau secara peribadi mengaku-alukan kehadiran Dr Mahathir bersama pembangkang.

“Pada hemat saya kehadiran Dr Mahathir dan PPBM adalah dalam kerangka memperluas jaringan dukungan kepada agenda perjuangan yang lebih disepakati.

“Secara peribadi saya alukan kesediaan Dr Mahathir untuk turun mengharungi perjuangan bersama.
“Keperitan peribadi dan luka yang dialami adalah kecil berbanding dengan kepentingan rakyat dan masa depan negara,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Otai Reformasi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan beberapa NGO dan badan Islam serta aktivis telah mempertikai keputusan pimpinan Pakatan Harapan meletakkan Dr Mahathir dalam barisan tertinggi mereka.

Kumpulan berkenaan khuatir akan berlaku penyimpangan dari landasan gagasan reformasi dan agenda perubahan serta rasa curiga muslihat sebenar yakni memadamkan keterlanjuran lalu termasuk penahanan tokoh politik dan aktivis rakyat, pelanggaran hukum dan rasuah.

Mereka juga mendakwa akan berlaku cubaan untuk memulihkan corak pemerintahan dan tatakelola era lampau yang juga autokratik seperti rejim kini

“Dr Mahathir kini terpaksa bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas bertindak aktif dan berani.

“Beliau harus diberikan ruang untuk membantu memperluas jaringan gerakan rakyat,” kata Anwar, dan menambah struktur blok pembangkang adalah berbeza daripada Barisan Nasional (BN).

Bekas ketua pembangkang itu berkata, kekhuatiran yang disuarakan mengenai kemungkinan seorang pengerusi parti mengelencong dari hala tuju yang disepakati tidak mungkin dalam struktur yang wujud.

“Dasar bersama yang dipersetujui telah didedah kepada khalayak secara telus.

“Ia adalah agenda rakyat yang diusung oleh Pakatan Harapan,” katanya lagi dan menjadikan Selangor serta Pulau Pinang sebagai contoh kejayaan pembangkang di peringkat Pusat mentadbir negeri.

Anwar berkata rakan-rakan NGO dan aktivis berhak untuk terus memantau perjalanan dan prestasi Pakatan Harapan dan menegur atau mengemukakan cadangan.

“Saya tetap berkeyakinan akan peranan mereka terus menunjangi perubahan menjelang PRU ke 14,” tambahnya.

Anwar bagaimanapun berkata pihaknya menghargai teguran rakan-rakan dan menggesa pimpinan pembangkang berlapang dada berunding dan menjelaskan kedudukan sebenarnya.

Bunuh bayi enam hari, enam suspek disambung reman

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
MELAKA: Reman terhadap enam individu termasuk sepasang suami isteri dilanjut tujuh hari bermula esok bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi lelaki di dalam perigi di Kampung On Lok, Batang Melaka, Jasin dekat sini, 23 Julai lepas.
 
Tempoh reman hingga 6 Ogos itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd Anuar Ostadi, hari ini.
 
Kesemua enam individu berumur di antara 16 hingga 30-an dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka di sini pada kira-kira 10.15 pagi tadi dan mereka dilihat memakai baju lokap dengan tangan bergari selepas tempoh reman tujuh hari sejak Isnin lepas berakhir hari ini.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
 
Ahad lepas, seorang bayi lelaki berusia enam hari sempurna fizikal dan masih berbalut kain lampin putih ditemui mati di dalam perigi sedalam 20 kaki, dipercayai dibunuh oleh ahli keluarga sendiri di Kampung On Lok, Batang Melaka, Jasin.
 
Mayat bayi malang berkenaan ditemui orang awam sebelum dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Balai (BBP) Jasin Bistari, kira-kira 10.30 malam.
 
 

Jawapan kekal atau keluar dari PAS, hanya mereka yang tahu, kata P'jaya PAS Kedah

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
SHAH ALAM: Hanya tiga wakil rakyat PAS Kedah yang dikatakan punya 'hubungan mesra' dengan Pakatan Harapan (PH) tahu niat mereka sama ada mahu terus setia bersama parti atau sebaliknya.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata walau apa pun sikap yang diambil mereka, parti kekal dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
"Persoalan sama ada mereka ingin meninggalkan PAS atau sebaliknya, jawapan ada kepada mereka. Saya tiada jawapannya. 
"Sebagai ahli PAS, tak kira ADUN atau ahli Parlimen sewajarnya akur dengan keputusan yang dibuat oleh pimpinan; tidak hanya di Kedah sahaja tetapi semua YB PAS terikat dengan keputusan dan pendirian semasa PAS," katanya kepada Antarapos menerusi aplikasi WhatsApp.
Fakhruddin diminta mengulas ura-ura tiga wakil rakyat PAS dari Kedah bakal meninggalkan parti itu selepas dilaporkan sering hadir dalam program anjuran PH.
Mereka adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa.
Mereka juga dilaporkan semakin menonjol dalam pentas ceramah pakatan itu.
PAS mengambil pendirian membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP pada 2015 selepas parti pimpinan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu mengkritik agenda politik berteraskan Islam yang dibawanya.
Keputusan itu akhirnya membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat (PR) yang dibentuk sejak 2008.
Mei tahun ini, PAS sekali lagi membuat kejutan memutuskan hubungan politik dengan parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana mendakwa PKR kerap kali melanggar syarat, antaranya bekerjasama dengan DAP dan Amanah.
"PAS telah mengambil ketetapan seiring dengan keputusan Majlis Syura Ulama bahawa PAS tiada hubungan politik dengan parti DAP, Amanah dan yang terakhir adalah PKR. 
"Pendirian ini secara tidak langsung mempengaruhi segala bentuk program kepartian termasuklah program ceramah," tegas Fakhruddin merujuk kepada khabar angin melibatkan tiga pimpinan PAS Kedah itu.
Selepas PAS melakukan 'pembersihan' parti pada Muktamar Tahunan 2015, hanya Mahfuz sahaja dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan utama parti dengan bertindak mengkritik dan mempersoal dasar perjuangan PAS selepas bergerak secara sendirian.
Meskipun mengakui dirinya masih ahli PAS, namun tindakannya mesra PH menimbulkan resah di kalangan ahli akar umbi.
Pun begitu, Pengerusi Lembaga Disiplin PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan salah laku Mahfuz, dan menyebabkan mereka tidak dapat mengambil tindakan.

Tiada kelulusan selagi tiada laporan terperinci - Fadillah

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
GEORGE TOWN: Kementerian Kerja Raya masih belum menerima laporan mengenai kajian terperinci Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang atau Jambatan Ketiga yang sepatutnya dihantar pada Jun lepas.
 
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan negeri menerusi ketua menteri Lim Guan Eng pada Mac lepas telah berjanji untuk menghantar kajian itu bagi membuat permohonan untuk dua projek berkenaan.
 
Menurutnya, sebelum ini, mereka mendakwa kajian itu sudah siap lebih 80 peratus dan dijangka selesai pada Disember.
 
Justeru, katanya, selagi laporan kajian itu tidak dihantar kepada pihak kementerian, projek terbabit tidak boleh mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.
 
“Mereka janji, mula-mula Disember, tapi tak selesai, patutnya bulan Jun inilah. Setakat ini kita belum terima. Mereka yang janji, merekalah yang patut beri, pihak kami tidak menetapkan tempoh,” kata Fadillah.
 
Tambah Fadillah, kerajaan Pulau Pinang telah menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya  tahun lepas untuk meminta kelulusan bagi pembinaan Jambatan Ketiga tanpa mengemukakan apa-apa dokumen sokongan.
 
Kerajaan negeri juga telah dimaklumkan untuk menyertakan surat sokongan juga kajian menyeluruh termasuk berkaitan trafik serta impak sosial untuk proses kelulusan.
 
Fadillah berkata beliau dimaklumkan bahawa kajian projek telah dilakukan dan bayaran kepada konsultan juga telah dijelaskan.
 
Tambah Fadillah, sepatutnya projek itu dibuat segera kerana bimbang kos akan meningkat.
 
Beliau berkata demikian selepas melawat projek menaik taraf jalan persekutuan FT006 dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas pada Ahad.
 
Projek naik taraf jalan persekutuan FT006 berkenaan siap 93 peratus dan dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual pada 23 Disember ini.
 
Katanya, projek meliputi kerja pelebaran jalan daripada dua lorong sedia ada yang dinaik taraf kepada empat lorong itu merupakan kesinambungan kepada pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim yang telah beroperasi.
 
 

Visa: TH mohon maaf, kelewatan bakal selesai

SINAR ONLINE

Visa: TH mohon maaf, kelewatan bakal selesai
Gambar hiasan - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan kira-kira satu peratus jemaah haji yang menghadapi kesulitan penerbangan ke Tanah Suci akibat kelewatan visa supaya bersabar kerana masalah itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Bahagian Hal Ehwal Awam dan komunikasi Korporat TH dalam kenyataan hari ini berkata proses mendapatkan dan mencetak visa haji sedang giat diijalankan yang mana TH dan Kedutaan Arab Saudi sentiasa bekerjasama dan memantau perkara itu termasuk pada cuti hujung minggu.

"TH memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi. Mereka akan diterbangkan ke Tanah Suci sebaik visa diperoleh," menurut kenyataan itu.

Menurut TH, kelewatan pengeluaran visa berlaku akibat permohonan yang sangat tinggi dalam sistem berkenaan yang mengendalikan jutaan permohonan jemaah haji dari seluruh dunia.

TH berkata kelulusan untuk mendapatkan visa perlu melalui proses yang terperinci untuk setiap jemaah haji termasuk data peribadi, perjanjian tempat penginapan di Makkah dan Madinah, penerbangan, pengangkutan dan sajian serta butiran bayaran kepada pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurut TH, jemaah haji yang lewat mendapat visa  akan disediakan tempat penginapan dan makanan di Kompleks Haji Kelana Jaya dengan kos berkenaan akan ditanggung sepenuhnya. - Bernama

Nama anak: Isu cetus polemik, cemar imej Islam


Zamihan Mat Zin
Zamihan Mat Zin
 
SHAH ALAM - Tindakan membenarkan anak luar nikah untuk berbin atau berbintikan kepada nama bapanya akan cetuskan polemik, malah turut mencemar imej negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan kuasa sultan sebagai ketua agama Islam negeri.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, tindakan itu adalah pandangan syadz (ganjil) dalam agama dan ia jelas bertentangan dengan al-Quran, hadis dan Ijmak ulama.

Katanya, tindakan itu merosakkan nasab seseorang dan ia akan turut menjejaskan reputasi ‘kewalian’ nikah kahwin bagi anak perempuan, merosakkan keturunan, hak pewarisan harta pusaka dan menggalakkan amalan zina semakin berleluasa.

“Penelitian yang lebih rapi sepatutnya perlu dilakukan berikutan konsep nama keluarga atau surname tidak semestinya sama dengan bin dan binti terhadap nama seseorang bapa dalam Islam," ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, keadaan ini juga akan menyebabkan kecelaruan dalam isu perwalian nikah dan pewarisan serta pembahagian harta orang Islam.

Pusat Sufi Sedunia akan ditubuhkan

SINAR ONLINE

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - "Pusat Sufi Sedunia akan ditubuhkan di sini sebagai pusat untuk menjalankan kajian dan menghimpunkan pandangan mengenai amalan itu, seterusnya menyebarkannya ke seluruh dunia," kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, sebagai permulaan seorang derwaman bersetuju untuk menyumbang US$1 juta bagi tujuan itu.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada ilmuwan, ulama-ulama dan pemikir-pemikir Islam yang mengamalkan sufisme di seluruh dunia dan mengetepikan perbezaan-perbezaan pendapat dalam kalangan kita.

"Kita gunakan usaha (penubuhan pusat itu) di Kuala Lumpur ini, di Malaysia ini untuk menyatukan pemikiran kita supaya umat Islam di seluruh dunia menjadi kuat semula," katanya semasa berucap bagi menyempurnakan penutupan Konferens Ulama Antarabangsa dan Majlis Zikir Perdana Sedunia 2017 di sini, hari ini.

Katanya, penubuhan pusat itu juga diharap dapat membantu membetulkan pandangan serong, prasangka dan prejudis terhadap agama Islam.

Idea penubuhan pusat itu dipersetujui para ulama, mufti dan ilmuwan Islam daripada 38 negara yang berhimpun di sini pada persidangan itu yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam keseluruhannya untuk memperbetulkan pandangan serong penganut agama lain terhadap agama Islam yang berpunca daripada perbuatan ekstremisme segelintir pihak.

Katanya, umat Islam perlu memberitahu dunia bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan keamanan dan perlu menyisihkan kumpulan pelampau seperti Daesh dan IS daripada agama itu.

"Islamophobia mesti dihakis dari hati penganut agama lain dan Islam juga perlu diterima sama seperti agama lain," katanya.

Dalam konteks Malaysia pula, Ahmad Zahid berkata rakyat negara ini perlu bersyukur dengan keamanan yang dikecapi di sini dan berterima kasih kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam mengekalkan keadaan itu.

"Kita harus berterima kasih kepada mereka dalam kalangan pemimpin atau siapa sahaja yang mungkin berada dalam kumpulan yang berbeza untuk tanda syukur kita kepada Allah SWT," kata timbalan perdana menteri.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia Datuk As'ari Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas majlis itu memberitahu, pusat itu akan mengkaji permasalahan umat Islam terutama dalam mengamalkan amalan sufi.

Katanya, buat permulaan pusat itu yang dijangka ditubuh pada hujung tahun ini akan dikendalikan oleh pertubuhan itu yang mungkin akan bekerjasama dengan pihak universiti tertentu.

"Untuk pusat sekretariatnya mungkin kita boleh tubuhkan dalam tahun ini dan selepas ada bangunan sendiri nanti kita akan pindah ke bangunan itu kerana untuk ada bangunan sendiri akan ambil masa," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. – Bernama

Lupakah Tun M krisis kehakiman 1988?

 
Oleh SYED AHMAD FADHLI 

RAMAI dalam kalangan generasi muda hari ini tidak tahu berkenaan episod hitam krisis Perlembagaan Negara yang berlaku pada tahun 1988 ketika era pemerintahan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Mereka yang pada hari ini berusia 28 tahun ke bawah belum pun lahir ke dunia pada ketika krisis itu termasuklah saya yang menulis ini.

Namun, ia bukanlah penghalang untuk kita mengimbau dan merungkai sejarah lama ini sebagai pengajaran bersama.

Apa sebenarnya yang berlaku pada tahun 1988?

Untuk memahami kisah tersebut, lebih mudah ianya ditulis dalam bentuk kronologi peristiwa kerana setiap yang berlaku itu saling berkait sehinggalah krisis tersebut mencapai kemuncaknya iaitu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada 08 Ogos 1988.

Catatan ini akan menunjukkan bagaimana ketika Tun Mahathir berkuasa, beliau telah meruntuhkan institusi kehakiman (judisiari) yang sepatutnya berfungsi dalam konsep "separation of power" seiring badan Legislatif (Parlimen) dan Eksekutif (Kerajaan).

Apabila pihak Kehakiman dengan beraninya membuat keputusan yang tidak menyebelahi pihak Kerajaan, lalu Tun Mahathir bertindak menggunakan pelbagai cara bagi memastikan para Hakim tunduk kepada Kerajaan.

Kisah ini bermula apabila;

26 September 1986: Tun Mahathir, PM ketika itu turut memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah menggantung permit pengedaran The Asian Wall Street Journal (AWSJ) selama tiga bulan dan dua orang wartawan AWSJ yang bertugas di Kuala Lumpur, John Peter Berthelsen dan Rafael Roy Pura diusir keluar dari Malaysia kerana penerbitan rencana mendedahkan skandal salahlaku kewangan yang berlaku dalam Kerajaan.

Mereka berdua memohon di Mahkamah Tinggi agar perintah usir itu diketepikan.

Hakim Tan Sri Harun Hashim meluluskan permohonan Pura tetapi menolak permohonan Berthelsen.
11 November 1986: Mahkamah Agung menerima rayuan Berthelsen dan mengetepikan keputusan kerajaan membatalkan permit kerja Berthelsen dengan alasan bahawa peluang untuk didengar harus diberikan kepada wartawan itu.

24 November 1986: Dalam satu wawancara Majalah Time, Tun Mahathir mengkritik keras institusi kehakiman kerana Hakim mentafsir undang-undang tidak mengikut kehendak Parlimen yang membuat undang-undang.

11 Disember 1986: Lim Kit Siang memfailkan kes terhadap Tun Mahathir yang menghina Mahkamah sepertimana yang tersiar dalam wawancara Majalah Time.

Hakim Tan Sri Harun Hashim menolak permohonan itu, namun beliau ada berkata bahawa Perdana Menteri keliru dengan konsep pemisahan kuasa dan keperluan badan kehakiman yang bebas dalam sistem demokrasi.

24 April 1987: Tun Mahathir menang tipis iaitu majoriti hanya 43 undi mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah dalam perebutan jawatan Presiden Umno.

Dalam Pemilihan Umno tahun 1987, berlakunya pertembungan yang amat sengit antara Team A yang dipimpin oleh gandingan Tun Mahathir dan Tun Ghafar Baba ditentang oleh Team B yang dipimpin oleh gandingan Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam.

Keputusan pemilihan ini akhirnya berpihak kepada Team A. Oleh sebab Team B tidak berpuas hati dengan kekalahan dalam pemilihan tersebut, Umno 11 (sekumpulan ahli Umno) yang pada asalnya 12 orang telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan pengisytiharan pemilihan Umno dibatalkan dan dibuat pemilihan baru kerana wujudnya 'pengundi hantu' iaitu 78 orang perwakilan daripada cawangan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

25 Ogos 1987: Mahkamah Agung telah membenarkan rayuan Lim Kit Siang untuk menghalang United Engineers (M) Berhad (UEM), daripada menandatangani satu perjanjian dengan Kerajaan Malaysia untuk pembinaan dan pengswastaan Lebuh Raya Utara Selatan.

02 Oktober 1987: Dalam ucapan di Kota Bharu, Kelantan, Tun Mahathir telah menyamakan Badan Kehakiman dengan cawangan perkhidmatan Kerajaan seperti pihak Tentera dan Perkhidmatan Awam.

05 Oktober 1987: Hakim V C George menolak permohonan prosiding oleh UEM dan Kerajaan bagi mengenepikan injunksi interlokutori yang diberi oleh Mahkamah Agung.

Kes ini dibicarakan kembali di Mahkamah Agung dengan keputusan majoriti 3 lawan 2 bahawa Plaintif, Lim Kit Siang, tidak mempunyai locus standi dengan UEM oleh itu, saman tersebut tidak dapat diteruskan.

03 Disember 1987: Tun Mahathir membentangkan Rang Undang-undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 1987 bagi memperkukuhkan kawalan Kerajaan terhadap media.
Akta ini juga mengatakan dengan jelas bahawa “sebarang keputusan Menteri untuk menolak memberi atau membatalkan atau menggantungkan sesuatu lesen atau permit adalah muktamad dan tidak boleh dicabarkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa juga alasan.”

RUU ini telah muncul sebagai tindak balas serta merta kepada keputusan Hakim Tan Sri Harun Hashim dalam kes Persatuan Aliran Kesedaran Negara v Minister of Home Affairs di mana Yang Arif Hakim telah memutuskan bahawa budi bicara Menteri untuk menolak sesuatu permohonan untuk lesen penerbitkan satu majalah yang diterbitkan dua minggu sekali tertakluk kepada semakan kehakiman.

04 Februari 1988: Dalam keputusan yang amat mengejutkan banyak pihak, Hakim Tan Sri Harun Hashim dengan beraninya memutuskan beliau tiada pilihan melainkan mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966. Umno pun diharamkan.

Namun, Umno 11 tetap membuat rayuan kepada Mahkamah Agung kerana mereka bukannya mahu mengharamkan Umno tetapi mahu pemilihan Umno dibuat semula.

Dua minggu selepas itu, Team A pimpinan Tun Mahathir mendaftarkan parti Umno Baru' manakala Team B pimpinan Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 iaitu merujuk tahun penubuhan Umno asal pada 1946.

Tun Mahathir berjaya mengambilalih Umno asal dan membuang perkataan 'Baru' pada nama parti baru yang didaftarkannya.

09 Mac 1988: Hakim Peh Swee Chin telah membenarkan permohonan untuk habeas corpus dan memerintahkan supaya Karpal Singh dibebaskan dan dilepaskan dari tahanan ISA dengan serta merta.

Karpal Singh ditahan dalam Ops Lalang yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987. Dalam operasi ini, seramai 106 ahli politik ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
17 Mac 1988: Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan dibentangkan oleh Tun Mahathir di Parlimen.

Dalam ucapan pembentangan, beliau meneruskan siri serangan terhadap institusi Kehakiman Negara.
Pindaan Perkara 121 (1) Perlembagaan inilah yang telah menyebabkan Institusi Kehakiman Malaysia kehilangan kuasa.

Sebelum pindaan itu, Perkara 121(1) Perlembagaan menyatakan, kuasa kehakiman Persekutuan terletak pada mahkamah.

Pindaan yang baru ini menyatakan kuasa kehakiman Persekutuan adalah setakat mana yang ditentukan oleh undang-undang Perlembagaan dan hal ini menjadikan mahkamah seperti berada di bawah Parlimen.

Maka, prinsip utama negara demokrasi iaitu 'Independence of Judiciary' dan 'Separation of Power' telah dilanggar secara nyata oleh Tun Mahathir.

25 Mac 1988: Rentetan daripada itu, 20 orang Hakim Mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi telah bermesyuarat untuk mencari jalan mengatasi ketegangan antara badan Kehakiman dan Eksekutif.
Dalam mesyuarat tersebut dipersetujui sebulat suara supaya Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan tentang adanya ketegangan antara badan Kehakiman dengan Eksekutif.

Surat keramat bertarikh 26 Mac 1988 itu turut dihantar salinannya kepada sekalian Ahli Majlis Raja-Raja Melayu.

Antara isi surat tersebut ialah;
“All of us (the judges) are disappointed with the various comments and accusations made by the Prime Minister against the judiciary not only outside but inside Parliament.”

17 Mei 1988: Tun Salleh Abas pulang dari luar negara atas urusan menjalani rawatan dan menunaikan umrah.

24 Mei 1988: The Lord President (Ketua Hakim Negara), Tun Salleh Abas memutuskan korum penuh panel 9 Hakim Mahkamah Agung akan mendengar rayuan kes Umno 11 pada 13 Jun 1988.

25 Mei 1988: Tun Mahathir menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong menasihatkan Baginda supaya Tun Salleh dipecat kerana "salah laku". Kemudian dicadangkan juga penubuhan sebuah Tribunal untuk membicarakan Tun Salleh. Yang di-Pertuan Agong bersetuju atas nasihat Perdana Menteri.

27 Mei 1988: Tun Salleh dipanggil bertemu Tun Mahathir di Pejabat PM. Dalam pertemuan itu Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sallehuddin Mohammed turut hadir juga.

Tun Mahathir meminta Tun Salleh meletakkan jawatan dengan sendiri, jika enggan beliau akan dihadapkan di Tribunal untuk dipecat. Tun Salleh enggan berundur lalu beliau pun digantung tugas.
Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Hamid Omar dilantik sebagai Pemangku Ketua Hakim Negara.
28 Mei 1988: Tun Salleh mengutus surat kepada PM menyatakan kesediaan beliau meletakkan jawatan Ketua Hakim Negara dan menghabiskan cuti berkuatkuasa serta merta.
PM menyatakan persetujuan terhadap permohonan Tun Salleh.

29 Mei 1988: Tun Salleh berfikir semula dan menarik kembali surat perletakan jawatan beliau.

Dalam satu wawancara media BBC, beliau mendedahkan bahawa PM mengarahkannya meletakkan jawatan atas tuduhan berat sebelah dalam kes Umno.

Beliau turut mengeluarkan kenyataan media rasmi pada hari yang sama.

03 Jun 1988: Tun Salleh mendesak agar Tribunal yang ditubuhkan bagi membicarakan beliau itu terdiri daripada sekurang-kurangnya sama taraf kelayakan kehakiman dan perbicaraan seharusnya dijalankan secara terbuka.

11 Jun 1988: Penubuhan secara rasmi Tribunal Pertama setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi: Tan Sri Abdul Hamid Omar (Pemangku Ketua Hakim Negara)
Ahli:
a) Tan Sri Abdul Aziz Mohamed Zain (bekas Hakim Mahkamah Persekutuan)
b) T.S. Sinnathuray (Hakim Mahkamah Agung Singapura)
c) Tun Mohd Zahir Haji Ismail (Yang di-Pertua Dewan Rakyat),
d) Justice K.A.P Ranasinghe Hakim Besar Sri Langka
e) Tan Sri Lee Hun Hoe (Hakim Besar Borneo)

21 Jun 1988: Raja Aziz Addruse, Peguamcara bagi pihak Tun Salleh telah menulis surat kepada Setiausaha Tribunal Pertama menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka atas komposisi Tribunal Pertama.

Hal ini kerana mereka akan membicarakan Ketua Hakim Negara sedangkan ahli tribunal itu berpangkat lebih rendah daripadanya.

Tun Zahir adalah Speaker Dewan Rakyat, ini bercanggah dengan prinsip pemisahan kuasa.
Tan Sri Abdul Aziz pula menjalankan perniagaan dan seterusnya memiliki Sijil Amalan Guaman sebagai Peguambela dan Peguamcara.

28 Jun 1988: Tiada maklumbalas daripada pihak Tribunal Pertama terhadap surat peguamcara Tun Salleh.

Maka, Tun Salleh membuat keputusan untuk memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi bagi memperolehi Perintah Penggantungan prosiding untuk menahan Tribunal Pertama daripada meneruskan siasatan dan mengemukakan laporan dan cadangannya.

Prosiding ini telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan ditetapkan untuk pembicaraan pada 1 Julai 1988.

29 Jun 1988: Tribunal Pertama menolak penangguhan prosiding Tun Salleh dan tidak mengendahkan berkenaan pemfailan prosiding penggantungan di Mahkamah Tinggi.

30 Jun 1988: Tribunal Pertama selesai menjalan prosiding. Terdapat empat pertuduhan yang dikenakan terhadap Tun Salleh;

a) Ucapan beliau di Universiti Malaya pada 1 Ogos 1987,
b) Ucapan beliau di Universiti Malaya pada 12 Januari 1988,
c) Penangguhan kes Teoh Eng Huat v Kadhi Pasir Mas yang melibatkan pilihan agama seorang di bawah umur
d) surat Tun Salleh kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 26 Mac 1988

02 Julai 1988: Persidangan Khas Mahkamah Agung yang terdiri daripada 5 orang Hakim telah sebulat suara membenarkan permohonan Tun Salleh untuk penggantungan terhad yang menahan Tribunal Pertama daripada mengemukakan Laporan, cadangan dan nasihatnya kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga perintah seterusnya.

Lima orang Hakim yang bersidang tersebut adalah;
a) Tan Sri Wan Suleiman bin Pawanteh
b) Datuk George Edward Seah
c) Tan Sri Mohd. Azmi bin Kamaruddin
d) Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan
e) Tan Sri Wan Hamzah bin Mohd. Salleh.

05 Julai 1988: Pemangku Ketua Hakim Negara Tan Sri Hamid Omar telah berunding dengan Perdana Menteri kemudian membuat cadangan secara bertulis kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyingkirkan kelima-lima hakim yang menganggotai korum bagi perbicaraan pada 2 Julai 1988.

06 Julai 1988: Kelima-lima hakim Mahkamah Agung yang terbabit dalam perbicaraan 2 Julai digantung tugas. Hal ini menyebabkan Mahkamah Agung tidak dapat berfungsi kerana 6 daripada 10 hakimnya telah digantung tugas.

07 Julai 1988: Tribunal Pertama menghantar Laporan kepada Yang di-Pertuan Agong dan mencadangkan pemecatan Tun Salleh.

08 Ogos 1988: Surat rasmi pemecatan jawatan diterima oleh Tun Salleh
12 Ogos 1988: Penubuhan secara rasmi Tribunal Kedua setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menyiasat 5 Hakim Mahkamah Agung.
6 orang Ahli Tribunal Kedua itu ialah;

a) Pengerusi: Tan Sri Hashim bin Yeop Sani, Hakim Mahkamah Agung
b) Mark Damian Hugh Fernando, Hakim Mahkamah Agung Sri Lanka
c) Tan Sri Edgar Joseph Jr, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya
d) P. Coomaraswamy, Hakim Mahkamah Tinggi Singapura
e) Datuk Haji Mohd Eusoff bin Chin, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya
f) Dato’ Lamin bin Haji Mohd Yunus, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya

30 Ogos 1988: Setelah dibantah, Pengerusi Tribunal Kedua, Tan Sri Hashim menarik diri lalu diganti oleh Tan Sri Edgar Joseph. Tribunal diteruskan dengan korum 5 orang.

23 September 1988: Tribunal Kedua menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong. Mereka berpendapat Tan Sri Wan Suleiman dan Datuk George Seah bersalah dan wajar dipecat manakala Tan Sri Azmi, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah tidak bersalah dan dikembalikan jawatan asal mereka.

Begitulah kronologi titik hitam yang tidak akan dapat dipadam daripada rekod sejarah sistem kehakiman negara ini.

Pada 17 April 2008, Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyatakan kekesalan kerajaan dan mengumumkan pembayaran ex-gratia kepada Tun Salleh dan 5 Hakim yang terbabit. Ironinya, si pelaku utama kisah ini iaitu Tun Mahathir tidak pun pernah meminta maaf atas kesilapan itu.

Apa yang beliau tahu, hanyalah menyalahkan pihak lain iaitu pemecatan Tun Salleh atas aduan daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu Almarhum Sultan Iskandar.

Mungkin Tun Mahathir menyangka kita semua Melayu Mudah Lupa, tidak ingat apa yang beliau telah lakukan semasa 22 tahun memerintah Malaysia.?

Tun Salleh Abas, mangsa utama penganiayaan ini masih ada dan sudah pun mencecah usia 88 tahun. Beliau merupakan anak kelahiran Besut, Terengganu.

Tun Salleh pernah bergelar Exco Kerajaan Negeri Terengganu (Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-Tugas Khas) pada era pemerintahan PAS tahun 1999 hingga 2004.

Beliau ada menulis sebuah buku yang berjudul May Day For Justice terbitan Magnus Book bagi menceritakan secara terperinci episod hitam 1988.

Jikalau hari ini ramai yang bersungut mengenai pemerintahan PM Najib yang bertindak pelbagai cara bagi menutup skandal 1MDB, ia tidaklah begitu menghairankan sebenarnya kerana PM Najib hanya mengikut apa yang pernah dibuat oleh sifunya dulu, Tun Mahathir. PM Najib membersarakan awal Peguam Negara, Tun Mahathir dulu memecat Ketua Hakim Negara.

PM Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin daripada jawatan TPM, Tun Mahathir dulu mempunyai 3 TPM yang bersilih ganti dan Anwar merupakan TPM yang dipecat atas tuduhan rasuah dan salahsaku seks.

PM Najib ada skandal 1 MDB, Tun Mahathir pula ada skandal FOREX Bank Negara yang menyebabkan kehilangan berpuluh bilion pada awal tahun 1990-an dulu.

Dulunya, sekalian pemimpin PKR, DAP dan PAN siang-malam, pagi-petang mengecam Tun Mahathir bahkan sehingga digelar Maha Firaun, Bapa Perosak Negara, Diktator Tua dan bermacam lagi.

Kini, siang-malam mereka menjunjung pula Tun Mahathir bagaikan wira - permata bagi menyelamatkan negara. Mereka pula kini mengikut telunjuk Tun Mahathir yang memimpin Pakatan Harapan.

Sungguh geli hati ini apabila membaca berita janji PH untuk mengehadkan jawatan PM kepada 2 penggal dan janji hendak beri royalti.

Bukankah Pengerusi PH, Tun Mahathir dulu berkuasa selama lebih 20 tahun sebagai PM? Bukankah Pengerusi PH, Tun Mahathir yang merampas royalti Terengganu sebagai hukuman kepada rakyat yang memilih PAS untuk memerintah pada PRU 1999 dulu?

Bukankah Pengerusi PH, Tun Mahathir ketika berkuasa dulu telah mengkayakan anaknya sehingga menjadi jutawan, mengamalkan kronisme, berlakunya penyelewengan dan kerugian dalam deretan kes BMF, Perwaja, Maminco,UEM, Renong, Bank Bumiputera, PKFZ, Maika Holding, MAS, Petronas, Tabung Haji, KWSP, IWK dan banyak lagi.

Adakah akan menjadi trend kebiasaan selepas ini, mana-mana pemimpin yang sudah tidak berkuasa dapat menyucikan dosa salahlaku pemerintahannya apabila menyertai Pakatan Harapan?
Tidak mustahil suatu hari nanti, PM Najib pula yang dijunjung oleh PH sebagai wira mereka apabila PM Najib sudah tidak lagi berkuasa.

PAS tidak lupa dan sentiasa ingat siapa Tun Mahathir dan PM Najib? Oleh sebab itu, perjuangan PAS tidak pernah terhenti kerana PAS bukan hanya menentang individu semata-mata.

PAS mahu mengubah dasar acuan pemerintahan negara agar kembali kepada Islam kerana apa yang berlaku hari ini hanyalah mata-rantai dan pengulangan episod lama, hanya watak sahaja yang berbeza.

* Penulis ialah Pegawai Pusat Penyelidikan PAS

Bin ''Abdullah"

Oleh Syeikh Ahmad Faisol Hj Omar

1. Dalam sedikit masa ini, isu membinkan anak zina atau anak tak sah taraf kepada bin Abdullah menjadi topik hangat di kalangan rakyat Malaysia yang prihatin. Ada yang bersetuju anak zina dibinkan Abdullah dan ada yang tidak bersetuju dibinkan Abdullah, bahkan mereka mahu anak zina itu dibinkan kepada suami ibunya iaitu lelaki yang berzina dengan ibu anak itu sehingga menyebabkan kelahirannya. 

Mereka yang mahukan anak zina dibinkan Abdullah adalah dari kalangan ulama dan juga orang awam. Mereka yang membantah juga dari kalangan ulama dan orang awam. 


2. Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa anak zina atau anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan atau dibinkan kepada lelaki yang berzina sehingga menyebabkan kelahirannya dan lelaki itu mengahwini ibu anak itu. Alasannya ialah haram menasabkan atau membinkan seseorang anak zina kepada lelaki yang bukan bapanya.

3. Fatwa Negeri Perlis pula memutuskan di sebaliknya apabila membenarkan anak tak sah taraf tidak dibinkan kepada Abdullah, tetapi dibinkan kepada suami ibunya yang telah menyebabkan kelahirannya. Alasan yang diberikan untuk menutup keaiban ( malu) anak tersebut pada hari mukanya.

4. Sebenarnya membinkan anak zina kepada bin Abdullah memang betul boleh memalukannya. Tetapi membinkannya kepada lelaki yang bukan bapanya adalah haram, lebih memalukan dan memudaratkan. Jika bin Abdullah memalukan dan memudaratkan, maka dibinkan anak zina dengan bin bapa yang bukan sebenar bapanya lebih memalukan dan lebih memudaratkan.

5. Bayangkan kalau 'bapa' itu tidak berterus terang dengan anak zina itu, bahawa dia adalah anak tak sah taraf, bagaimana urusan perkahwinan anak itu jika dia perempuan, bagaimana dengan urusan harta pusaka dan bagaimana dengan pergaulan anak itu dengan anggota keluarga 'bapa' nya yang bersilang jantina. Tidakkah perkara-perkara seperti ini menimbulkan masalah di kemudian hari.

6. Kesimpulannya, saya menyokong keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan kerana mufti-mufti yang bermuzakarah lebih bertanggungjawab, berautoriti dan berhati-hati sebelum membuat keputusan penting ini. Saya percaya majoriti ulama juga sependapat dengan keputusan muzakarah ini. Saya juga yakin, majoriti umat Islam di Malaysia menerima keputusan muzakarah ini.

7. Anda bagaimana? Sokong yang mana satu ?

Saturday, July 29, 2017

DUA SEPUPU YANG "KE LAUT"

shahbudindotcom



Presiden UMNO, Najib Razak menegaskan, parti itu tidak pernah bermain dengan dimensi politik yang menakut-nakutkan rakyat, sebaliknya sentiasa memberi keyakinan dan pengharapan kepada mereka.

Katanya, parti yang memainkan politik menakut-nakutkan rakyat ialah pihak yang tidak ada kuasa dan mahu menumbangkan parti yang sedang memerintah negara.

Sehubungan itu, tegas beliau ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit di Perak, rakyat mempunyai pilihan dalam pilihanraya umum akan datang sama ada memilih Pakatan Harapan yang diterajui DAP atau terus bersama BN yang ditunjangi UMNO.

Benarkah kata-kata Najib bahawa UMNO tidak bermain dengan politik menakut-nakutkan rakyat?
Siapakah yang selalu menjerit perkataan "Hidup Melayu" selama ini?

Apakah tujuan perkataan itu dilaungkan sedangkan tidak pernah kedengaran kaum-kaum lain berteriak melaungkan "Hidup Cina", "Hidup India", "Hidup Kadazan", "Hidup Iban" dan sebagainya?

Tidakkah laungan itu memberi makna ketakutan dan untuk menakutkan?

Siapakah yang pernah mengingatkan bahawa Melayu akan terbangsat jika UMNO hilang kuasa?

Siapakah juga yang mengatakan hanya UMNO pembela kepada orang-orang Melayu dan mereka dikatakan akan merempat macam di Singapura jika  parti itu tidak lagi berkuasa?

Apakah semua itu bukan menakut-nakutkan namanya?

Bahkan, dalam keadaan basah lagi bibir Najib berucap di Parit dengan mengatakan UMNO tidak bermain dengan politik menakut-nakutkan rakyat, apakah makna peringatan beliau bahawa rakyat menpunyai pilihan sama ada memilih Pakatan Harapan yang diterajui DAP atau terus bersama BN yang ditunjangi UMNO?

Tidakkah beliau sendiri sedang menakut-nakutkan rakyat dengan peringatan itu?

Bila Pakatan Harapan diterajui oleh DAP?

Siapa yang berada di tiga kedudukan teratas dalam hireaki kepimpinan Pakatan Harapan?

Bukankah Salleh Said Said Keruak pernah mengatakan DAP telah dipinggirkan berikutan tiada pemimpin parti itu dalam tiga kedudukan teratas Pakatan Harapan?

Kenapa Najib masih terbelenggu dengan stigma lama dan bercakap cuma berdasarkan pemilikan kerusi Parlimen yang dimiliki DAP yang dimenanginya dalam pilihanraya lalu?

Apakah tidak mungkin dalam pilihanraya akan datang,  kedudukan akan berubah di mana PKR, Amanah dan Bersatu akan memiliki lebih kerusi Parlimen berbanding DAP?

Adakah ketakutkan hilang kuasa dan penolakan rakyat yang semakin membesar telah membuatkan Najib gelabah, keliru dan celaru dengan apa yang diperkatakannya sehingga hujah-hujahnya macam nampak "ke laut" saja?
Bersama Najib dengan hujah "ke lautnya", sepupu beliau, Hishammuddin Hussein yang diura-ura sedang diprojekkan untuk dinaikkan pangkat lebih tinggi sehingga ketika ini diberi dua jawatan menteri, turut sama keliru dan celaru dengan abang sepupunya itu.

Ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di hari yang sama dengan Najib berucap di Perak, beliau menggesa Pakatan Harapan agar memulakan siasatan terhadap Tun Mahathir sekarang dan tidak menunggu setelah memperolehi kuasa untuk berbuat demikian.

"Apa yang menjadi tanda-tanya, kenapa nak tunggu menang pilihanraya baru nak siasat?" soal beliau.

Hello bro....macam mana Pakatan Harapan nak memulakan siasatan jika belum ada kuasa dalam tangan?

Tunggulah ada kuasa dulu kerana selepas siasatan, ia perlu disusuli dengan tindakan dan hukuman. Semua itu hanya boleh dilakukan setelah kuasa berada dalam genggaman.

Tun Mahathir sebelum ini pernah secara terbuka mengalu-alukan untuk dirinya disiasat setelah Pakatan Harapan berkuasa berkaitan pentadbirannya selama 22 tahun jika didapati beliau melakukan apa-apa kesalahan atau tindakan yang merugikan negara.

Tetapi, tegas bekas Perdana Menteri itu, tumpuan ketika ini harus diutamakan untuk menyingkirkan Najib terlebih dahulu kerana bala dan bahana daripada kepimpinannya amat besar dan merosakkan kehidupan rakyat serta negara.

Kalau Tun Mahathir sendiri bersikap terbuka dan tidak takut untuk disiasat, apa lagi yang Hishammuddin perlu bimbangkan?

Tunggu sajalah nanti bila UMNO dan BN tumbang, Tun Mahathir atau Najib yang akan lari lintang-pukang?