ULASAN | Selepas genap seminggu kempen berlangsung, bahang pilihan raya kecil (PRK) ini semakin dirasai.
PRK itu adalah pertama perlu didepani Pakatan Harapan (HARAPAN) sejak
mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan pada 9 Mei lalu.
Justeru ia menjadi medan eksperimen buat kedua-dua parti yang bertanding iaitu PKR mahupun Umno.
Bagi PKR, mereka ingin menjadikan PRK itu sebagai kayu pengukur
terhadap sokongan rakyat kepada kepimpinan Harapan yang kini semakin
hampir kepada tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.
Pada masa sama Umno pula mahu menjadikan ia sebagai medan uji kaji
terhadap parti itu selepas ia mengalami kekalahan paling teruk sejak 61
tahun lalu.
Namun apa yang lebih menarik tentang PRK Sungai Kandis kali ini ialah
ia turut menunjukkan sokongan PAS kepada BN - suatu pendekatan yang
amat berbeza berbanding suatu ketika dahulu.
Dalam PRK kali ini, PAS tidak segan silu meminta anggota parti
terbabit menyokong BN dengan menjadikan kepentingan orang Melayu dan
Islam sebagai alasan.
Orang tempatan, orang luar
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Pusat
PAS, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali contohnya malam tadi secara terbuka
menggesa anggota parti itu mengundi calon BN.
Selain itu, melalui pengamatan
Malaysiakini, kedua-dua pihak
juga mula melakukan perang poster dengan meletakkan gambar calon dan
bendera parti masing-masing di sekitar kawasan Sungai Kandis dan jalan
menuju ke Kampung Jawa dari Shah Alam.
Jika memandu dari Shah Alam ke Kampung Jawa, bendera parti dan gambar
calon dilihat dipacak di tepi jalan sebelah kiri manakala BN di sebelah
kanan jalan.
Pada PRK kali ini, PKR mempertaruhkan seorang guru agama Mohd Zawawi
Ahmad Mughni manakala Umno meletakkan Datuk Lokman Noor Adam sebagai
calon BN.
Lokman terkenal sebagai seorang aktivis reformasi sehingga pernah
ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998.
Mohd Zawawi yang popular di kalangan penduduk Sungai Kandis pula
dilihat begitu yakin dapat membantu partinya mengekalkan kerusi yang
disandang Shuhaimi Shafiei sejak tiga penggal lalu.
Sebelum ini kerusi berkenaan dikenali sebagai Seri Muda.
Pada masa sama kepimpinan PKR juga yakin bahawa Mohd Zawawi dapat
mengekalkan majoriti 12,480 undi yang dimenangi Shuhaimi pada PRU lalu
jika pun tidak mendapat majoriti lebih besar.
Keyakinan itu berasaskan ‘mood’ penduduk, rekod cemerlang PKR di
kawasan itu, kepercayaan pengundi terhadap Zawawi serta tiada isu besar
yang boleh dimanipulasi pembangkang.
Dari segi kempen pula, Mohd Zawawi turut memberi perhatian terhadap
isu setempat dan bukan hanya tertumpu kepada isu nasional semata-mata.
Antaranya kemudahan infrastruktur awam, program kebajikan dan pembangunan modal insan untuk rakyat setempat.
Antara GST, SST
Selain itu, pengetua maahad tahfiz itu juga membangkitkan faktor
beliau sebagai anak tempatan untuk menunjukkan bahawa pengundi perlu
memilihnya kali ini.
Mohd Zawawi juga yakin akan berlaku ‘perpindahan’ undi penyokong PAS kepada beliau.
Sementara itu bagi Lokman pula, kempennya banyak diwarnai dengan
pendekatan mempertikaikan isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang
akan menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Lokman berhujah SST akan mengenakan cukai lebih tinggi berbanding GST bermula 1 September depan.
Beliau juga banyak memainkan isu-isu nasional seperti hak
keistimewaan orang Melayu, kedudukan Islam, bahasa Melayu dan raja-raja
Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia yang didakwanya
terjejas di bawah kerajaan HARAPAN.
Selain itu, Lokman dilihat sering memainkan isu kerajaan HARAPAN banyak tidak menunaikan janji selepas menang PRU14 lalu.
Justeru katanya rakyat perlu kepada pembangkang yang kuat di Selangor
untuk memastikan wujudnya mekanisme semak dan seimbang dalam
pentadbiran kerajaan.
Namun begitu Lokman mengakui misi untuk menawan Sungai Kandis adalah
sukar, namun tetap yakin menang akan diperolehinya walaupun tipis.
Congakan Lokman itu ialah andainya BN berjaya menarik 80 peratus undi
PAS dan 17 peratus penyokong HARAPAN. Dalam keadaan begitu Lokman yakin
akan merampas kerusi Sungai Kandis dengan kelebihan 135 undi.
Seorang calon Bebas, K Murthy, pula dipercayai berkempen secara senyap.
Kesenyapan itu begitu ketara kerana setakat ini pihak media sendiri
tidak mengetahui pergerakan mahupun melihat kelibatnya di kawasan Sungai
Kandis.
Dalam keadaan begiu hanya parti yang mempunyai strategi perang paling
bijak pada pusingan kedua kempen minggu depan saja akan dinobatkan
sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis yang baru
pada malam 4 Ogos ini.