MALAYSIAKINI
Kehadiran lebih 250 warga miskin dan gelandangan untuk mendapatkan
makanan percuma dari sebuah badan NGO di pusat bandar Kuala Lumpur malam
tadi membuktikan kegiatan tersebut masih relevan.
Wartawan Malaysiakini menyaksikan sendiri NGO Pertiwi Soup Kitchen yang
mengedarkan beras, buah-buahan, roti dan minuman kepada kumpulan
gelandangan di satu lokasi Jalan Tunku Abdul Rahman pada malam tadi.
Aktiviti berkenaan sudah menjadi kelaziman pada setiap hari Jumaat di situ.
Namun, apa yang luar biasa adalah kehadiran MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, yang turut membantu mengedarkan makanan.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, naib presiden PKR itu berkata,
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sepatutnya
memahami kehidupan warga tanpa makanan dan tempat tinggal sebelum
memperkenalkan dasar untuk menyekat aktiviti memberi makanan percuma.
"Saya menjemput Tengku Adnan untuk menyertai kita pada malam ini, tetapi dia berkata dia di Labuan," katanya.
Tambahnya, ahli parlimen sepatutnya melibatkan diri dengan pihak yang
mendalami keadaan warga miskin itu, seperti NGO Pertiwi yang membantu
meringankan kesengsaraan gelandangan ini.
Turut hadir dalam program tersebut ialah MP Seputeh Teresa Kok yang
mengakui ini adalah kali pertama dia melibatkan diri dalam aktiviti
sebegitu.
No comments:
Post a Comment