MALAYSIAKINI
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta kes
Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail yang didakwa melakukan pecah
rumah dan serangan seksual di New Zealand tidak diadili di 'mahkamah
media dan umum.'
Beliau berkata tindakan itu tidak adil kepada pegawai berkenaan dan keluarganya sebelum mahkamah membuat keputusan.
"Kes ini tiada kaitan dengan polemik, geopolitik atau hubungan dua hala.
"Ini berkaitan keadilan... keadilan bukan hanya kepada mangsa tetapi
juga kepada tertuduh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri
majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat di Seri Bendahara hari
ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Hishammuddin juga berkata kerajaan akan membantu melantik peguam bagi
membolehkan Muhammad Rizalman mendapat pembelaan yang adil.
"Pulangnya (Muhammad Rizalman) ke New Zealand akan bersama pegawai dari
pihak Angkatan Tentera Malaysia, seorang peguam yang kita akan bantu
lantik dan pegawai-pegawai dari Pejabat Peguam Negara," katanya.
Muhammad Rizalman, 38, bekas pembantu staf pertahanan Suruhanjaya Tinggi
Malaysia di New Zealand didakwa melakukan pecah rumah dan serangan
seksual dengan niat untuk merogol seorang wanita 21 tahun pada 9 Mei
lepas.
Pada majlis itu, Hishammuddin menyampaikan sumbangan baju kurung dan
wang tunai kepada 48 penghuni Kompleks Anak Yatim Fatimah Az-Zaharah.- Bernama
No comments:
Post a Comment