MALAYSIAKINI
NGO Save Rivers Network Sarawak (Save Rivers) bimbang masalah yang
dikesan pada turbin janakuasa Empangan Murum akan menjejaskan ratusan
ribu nyawa dan harta benda, malah Empangan Bakun di hilir sungai.
“Save Rivers bimbang dan menuntut tindakan segera dan sewajarnya untuk
menghentikan empangan air di Empangan Murum,: kata pengerusi NGO
tersebut, Peter Kallang ketika dihubungi Malaysiakini.
“Jika tidak, ia akan menjadi masalah keselamatan yang akan menyebabkan
bencana yang membunuh nyawa, membinasa bangunan di laluannyna dan juga
Empangan Bakun di hilir sungai juga akan terjejas.
“Ratusan ribu orang yang tinggal di segenap tebing Sungai Rajang, dari
Belaga ke Sibu dan Sarikei akan bimbang dengan keselamatan mereka,” kata
Peter.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan terbaru Sarawak
Report yang mendedahkan bahawa Empangan Murum bernilai RM4.28 bilion
mengalami kecacatan serius di bahagian turbin, yang boleh menyebabkan
kerosakan besar.
Menurut portal tersebut, pemilik projek berkenaan Sarawak Energy Bhd
(SEB) dimaklumkan mengenai masalah tersebut sejak Mac tahun ini, namun
ia tidak didedahkan kepada umum.
Ia bagaimanapun muncul ke pengetahuan umum melalui laporan firma Norway,
Norconsult, yang ditugaskan untuk menjalankan penilaian bebas ke atas
turbin tersebut, yang didedahkan kepada Sarawak Report.
Syarikat yang membina Empangan Murum, Three Gorges Development
(Malaysia) Sdn Bhd, ditugaskan untuk membaiki turbin yang mengalami
kerosakan.
No comments:
Post a Comment