wfauzdin.blogspot.com
TERBARU difahamkan PKR melalui mesyuarat MPP malam tadi telah membuat
keputusan bahawa jawatan MB Selangor sekarang ini haruslah ditukar bagi
memantapkan lagi kekuatan PR di Selangor khususnya. PKR juga telah
menamakan DS Wan Azizah, Adun Kajang untuk DICADANGKAN kepada Majlis
Pimpinan Pakatan Rakyat yang akan bermesyuarat Rabu ini.
Banyak berita di dalam FB yang telah mewar-warkan bahawa DS Wan Azizah selaku Presiden PKR bakal menggantikan TS Khalid Ibrahim. Berita ini tidak tepat kerana TIDAK SEMESTINYA cadangan dari PKR ini wajib dipatuhi oleh Pakatan Rakyat. DS Wan Azizah hanya satu calon dari PKR sebagai MB Selangor sekiranya PR masih mahu mengekalkan PKR sebagai MB Selangor. Harus diingat, PAS memiliki lebihan satu Kerusi di Dun Selangor, dan tidak mustahil jika PAS turut menamakan calon MB dari parti tersebut.
Sekiranya Majlis PR bersetuju untuk menerima DS Wan Azizah sebagai MB
Selangor yang baru, tentunya tiada sesiapa pun boleh menuduh DS Anwar
atau PKR menggunakan kuasa 'veto' bagi menentukan Kerusi MB Selangor.
Aku yakin, para penyokong Azmin mahu pun TS Khalid mungkin ada
segelintirnya akan membuat dakwaan yang bukan-bukan terhadap DS Anwar.
Tetapi aku cukup yakin kebanyakan daripada ahli-ahli PKR matang dan
boleh berfikir secara rasional tentang isu ini.
Asasnya bagi aku cukup mudah. Sesiapa pun calon yang bakal menduduki Kerusi MB Selangor calon itu mahu tidak mahu mesti melalui tiga proses 'wajib' ini ;
1. Calon itu mesti mendapat sokongan dari partinya sendiri. Seandainya
PR mahu letakkan calon PAS sebagai MB Selangor, calon tersebut juga
semestinya perlu dapat sokongan dari parti itu sendiri. Mana mungkin
seseorang itu boleh dilantik menjadi MB Selangor tanpa 'restu' partinya
sendiri walaupun parti-parti sekutu menyokongnya.
2. Bakal MB Selangor itu juga perlu mendapat perkenan dari rakan-rakan
di dalam PR. Seandainya PKR mencadangkan DS Wan Azizah sebagai MB
Selangor, ditakdirkan PAS atau DAP tidak bersetuju, mana mungkin DS Wan
Azizah boleh menjadi MB Selangor. Begitu juga jika PAS meletakkan
seorang tokoh untuk dinamakan sebagai MB Selangor, tokoh itu juga perlu
mendapat sokongan dari PKR dan DAP. Itu konsep yang WAJIB diikuti untuk
menjaga perpaduan di dalam PR.
3. Laluan terakhir adalah perkenan Sultan Selangor. Di dalam hal ini
aku tidak menyatakan WAJIB mendapat perkenan Sultan tetapi perkenan
Sultan itu perlu. Sekiranya pihak Istana memahami konsep Raja
Berpelembagaan, tidak timbul pihak Istana mahu menolak mana-mana calon
samada dari PKR mahupun PAS. Sekiranya ditolak juga, maka terjadi satu
krisis perlembagaan negeri yang amat malang.
Maka, tidak timbul soal pertukaran itu membelakangkan rakyat kerana yang
menentukan siapa MB Selangor juga adalah dari parti-parti di dalam PR
dan juga Adun-Adun PR yang mewakili rakyat. Jika ikut kepada kehendak
dan kepuasan sendiri, tentulah para penyokong Azmin mahu pun TS Khalid
akan mendakwa mereka punyai sokongan kuat dari rakyat Selangor. PAS
juga boleh mendakwa mereka lebih layak menduduki jawatan itu kerana
mereka lebih Kerusi. Kita tidak perlu marah kepada PAS jika PAS mahu
menjadi MB Selangor, tetapi tertakluk juga kepada perkara Perkara Nombor
2 di atas.
Tentu ada yang bertanya mengapa TS Khalid perlu ditukar. Lojiknya gila
lah PKR jika sengaja-sengaja mahu menukar TS Khalid jika tidak
bersebab. Aku cukup yakin, di dalam MPP kesemua mereka telah pun maklum
mengapa TS Khalid harus diganti. Bahkan aku juga yakin, secara awalnya
rakan-rakan di dalam PR juga sedikit sebanyak faham mengapa TS Khalid
difikirkan oleh partinya sendiri tidak lagi boleh meneruskan
perkhidmatannya sebagai MB Selangor. Dan, pada Mesyuarat Pimpinan PR
Rabu nanti tentulah lebih terperinci akan dimaklumkan mengapa harus ada
pertukaran jawatan ini. Jelas, bahawa tiada tindakan diktator atau
membelakangkan sesiapa pun di dalam isu ini.
Jika ditanya pada aku secara peribadi, memang aku mahu TS Khalid kekal
sebagai MB Selangor. Tetapi apakah kerana kehendak aku dan sekumpulan
yang sama seperti aku boleh melangkau keputusan parti sendiri dan
keputusan PR? Sudah tentu itu bukan politik yang matang. Usaha dan
kempen telah dibuat untuk menyokong seseorang yang kita suka, tetapi
selebihnya kita harus kembali kepada keputusan secara berjemaah.
Tidak munasabah samasekali jika kita gagal mencapai kehendak kita, maka
kita sanggup bersekongkol dengan Umno/Bn. Jika itu pilihan kita,
terbuktilah kita juga berpolitik kerana ada agenda peribadi bukan agenda
kepentingan bersama.
Kesimpulannya, kita serahkan kepada parti kita dan rakan-rakan kita di
dalam PR untuk menentukan pengakhiran kemelut ini. Langkah Kajang
benar-benar menyedarkan sesetengah pemimpin mereka tidak boleh ego dan
bertindak sesuka hati. " Kajang Move" pada aku berjaya.
No comments:
Post a Comment