Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia digalakkan untuk
menyebarkan mesej keamanan oleh NGO Negara-Ku apabila pulang ke kampung
halaman masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri.
Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Negara-Ku Zaid Kamaruddin
berkata, beliau yakin majoriti rakyat Malaysia berkongsi keinginan dan
cita-cita bersama Negara-Ku dan menjemput orang ramai turut serta dalam
kegiatan gerakan itu.
“Kami yakin majoriti rakyat menyokong idea Negara-Ku.
Mereka selama ini hanya membisu sehinggakan ruang awam dikuasai oleh
suara segolongan kecil yang mengajak kepada perpecahan.
“Kita semua perlu memainkan peranan untuk mengambil kembali
ruang awam ini. Maka amat penting untuk mesej dan usaha Negara-Ku ini
disebarkan,” kata Zaid pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala
Lumpur-Selangor (KLSCAH) hari ini.
Piagam Negara-ku antara lain bertujuan menggerakkan rakyat
untuk menolak sebarang bentuk ketaksuban dan diskriminasi serta
membentuk masyarakat inklusif dengan kembali kepada asas pembentukan
negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia dan
Rukunegara.
Gabungan yang dianggotai 68 NGO ketika penubuhannya 10 Julai lalu kini telah disertai 85 NGO.
Justeru peningkatan sokongan yang diterima, Negara-Ku turut
menyediakan borang atas talian untuk diisi sesiapa yang berminat
menyertai gerakan, selain memudahkan Sekratariat Negara-Ku menghubungi
mereka melalui pautan ini (http://bit.ly/1nThNkx)
“Anda boleh mencetak piagam serta menyalin video dari laman Facebook kami dan sebarkan kepada saudara-mara dan rakan.
“Marilah kita sama-sama memberikan pemahaman kepada orang
ramai tentang apakah gerakan Negara-ku ini,” kata Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) itu lagi.
Negara-Ku kembang sayap ke Sabah dan Sarawak
Dalam pada itu, Zaid berkata, Negara-Ku bakal mengembangkan
sayapnya ke Sabah dan Sarawak melalui beberapa penganjuran program
sejurus selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri.
No comments:
Post a Comment