Oleh : AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM : Seramai 110 orang murid daripada tiga buah
Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil (T) di negeri ini menerima bantuan
subsidi tambang bas sekolah fasa pertama daripada kerajaan Selangor.
Tiga sekolah berkenaan adalah SJK (T) Sungai Rambai, Kuala Selangor;
SJK (T) Taman Permata, Dengkil dan SJK (T) Batang Kali di Hulu Selangor
yang dikhususkan untuk anak pekerja ladang.
Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau,
berkata program yang dirancang sejak tahun 2008 itu memilih sekolah
yang berada pada kedudukan terpencil, yang mana sasaran utamanya adalah
keluarga berpendapatan rendah.
Katanya, setiap murid yang layak akan diberikan subsidi RM300 seorang untuk menampung tambang bas sekolah selama 10 bulan.
“Program ini sememangnya dikhususkan untuk anak pekerja ladang kerana kita maklum pendapatan keluarga mereka tidak begitu besar.
“Bantuan ini sangat penting bagi mereka kerana ia dapat mengurangkan
beban kos hidup keluarga yang semakin bertambah,” katanya pada Majlis
Penyerahan Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah Fasa Pertama 2014 di
Ruang Legar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), dekat sini,
semalam.
Pada masa sama, Ganabatirau turut menyeru Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) supaya memohon bantuan yang diperuntukkan Kerajaan Negeri
berikutan masih ramai yang belum berbuat demikian.
Katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima kira-kira 18 permohonan
daripada 97 buah sekolah SJK (T) yang wujud di negeri itu untuk
mendapatkan bantuan berkenaan .
“PIBG
tidak menunjukkan kerajinan mereka dalam menggesa ibu bapa supaya
memohon peruntukan ini kerana wang tidak dibayar kepada mereka tetapi
diberi terus kepada murid terbabit.
“Justeru, saya menyeru supaya PIBG lebih aktif dalam mewar-warkan
bantuan ini supaya ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Bantuan berkenaan adalah salah satu program yang dilaksanakan
kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor di bawah agenda Merakyatkan
Ekonomi Selangor (MES) dan dikhususkan kepada keluarga berpendapatan
RM1500 ke bawah.
-NFN-
No comments:
Post a Comment