Wednesday, July 16, 2014

Senjata makan tuan


anakmuda


NOR MISWARY



Kita sedari kecil seringkali diugut – diugut oleh kawan-kawan; diugut oleh guru-guru; malah, bila tiba saat berkhatan bagi kanak-kanak lelaki, Tok Mudim turut mengambil kesempatan mengugut.

Kawan-kawan suka mengugut untuk tidak lagi ajak main bersama jika kita selalu ketinggalan
berbasikal. Guru mengugut dengan denda bila kita selalu saja terlupa membawa buku latihan. Tok Mudim dengan pelbagai idea yang entah dari mana dia dapat, dan pelbagai lagi jenis ugutan yang timbul tenggalam sepanjang kedewasaan kita.

Namun, kesemua ugutan-ugutan tersebut sebenarnya berupa larangan-larangan positif yang meransang semangat, agar kita berani mecabar ugutan-ugutan tersebut lalu kekal berani mempertahankannya.

Ingat lagi bilamana kita bersama rakan-rakan lain cuba memanjat pokok mempelam (atau mangga) untuk memulas tangkal buahnya. Buah-buah yang begitu ranum dan hampir masak kuning memang menggiurkan sesiapa saja yang mendongak memandang dari bawah.

Lalu siapa yang akan mengugut dan memarahi kita atas tindakan tersebut? “Hang naik lagi! Naik la lagi! Naik!” Terngiang-ngiang pekik-jerit ugutan ayah berbaur ‘reverse psychology’ dari celah tingkap rumah di saat kita hampir mencapai nikmat kemanisan buah mempelam. Lalu kita turun perlahan-lahan tanda mentaati ugutan tersebut. Larangan dan ugutan-ugutan seperti ini kemudiannya berlalu di sepanjang jalan kita membesar.

Kedua ibu-bapa, sampai ke bilik-bilik darjah, malah menjalar mencapai ke tapak-tapak pasar malam, kita masih mendengar ugutan-ugutan tersebut kepada anak-anak yang membesar.

Tetapi, tanpa kita sedar ia secara perlahan-lahan telah membina teras sifat ingin tahu kita. Ia telah membentuk suatu rasa yang aneh sebenarnya. Rasa ingin tahu di sebalik setiap larangan-larangan yang berupa negatif tetapi membawa roh postif dalam setiap laungannya.

Maka bila berbondong-bondong anak-anak muda menawar diri untuk berkhidmat dan memberi bakti dalam parti Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sejak kecil telah dimomok dan diugut dengan pelbagai label, mereka ini sebenarnya menterjemahkan sifat ingin tahu tadi yang dibina atas ugutan-ugutan yang diterima sejak zaman lampau mereka dahulu.

Larangan-larangan berupa ugutan seperti larangan memanjat pokok tadi sebenarnya telah berjaya membentuk perasaan ingin tahu yang akhirnya diterjemah ke dalam setiap proses menghadapi hidup dan perjuangannya termasuklah dalam urusan berpolitik kepartian.

Nah. Senjata makan tuan bilamana kerajaan minoriti BN dan penghambat mereka membedil dengan pelbagai peluru kosong kepada mana-mana anak-anak muda yang berani melawan ugutan-ugutan mereka ini.

Anak-anak muda ini kemudiannya terus memanjat dan memanjat mencapai mempelam lalu dikongsi pula dengan ayah yang memarahi tadi.

Kata mereka pada ayah: “Ya ayah, memanjat tinggi mungkin jatuh, mencuba juga mungkin jatuh, tetapi mencapai kemanisan mempelam nikmat berbaloi, ayah!” Ayah lalu tersenyum sambil menjamah potongan mempelam.

Tahniah buat mereka yang mengungguli perasaan ingin tahu ini dan berjaya membuka jalan pula buat mereka yang lain.

Maka, kepada sesiapa yang masih berazam mengugut lain-lain anak muda tentang sebuah parti seperti DAP ini, waspadalah, kerana kalian mungkin melarang mereka ini memanjat pokok mempelam yang menyebabkan mereka akan naik lebih tinggi. – Roketkini.com

No comments: