[ULASAN] Gabungan
hemah, firasat dan kebijaksanaan barisan pemimpin PKR masih belum dapat
menandingi “kecerdikan” Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim; baik di bidang politik mahupun pengurusan.
Malah akal pengatur siasah terbaik parti itu, Rafizi Ramli yang
diangkat menjadi Pengarah Strategi parti reformasi itupun tidak berdaya
“melentur” Khalid supaya taat pada keputusan parti.
Walhal
Rafizi sudah lebih lima tahun belajar dan mengkaji pemikiran politik
dan cara pengurusan Khalid apabila beliau menjawat tugas sebagai Ketua
Pegawai Operasi (COO) di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Ketika menjadi COO Anwar, Rafizi juga bertindak sebagai setiausaha
mesyuarat mingguan di antara Khalid dengan Anwar. Seharusnya Rafizi
sudah masak dengan cara Khalid menepis dan menghindar nasihat serta
arahan Anwar.
Namun keperluan menggantikan Khalid demi menjayakan strategi Langkah
Kajang tidak dapat dilaksanakan dengan licin dan teratur. Khalid enggan
memberi bekerjasama. Malah beliau mengulangi ikrar mahu menjadi Menteri
Besar hingga tamat penggal kedua pemerintahannya di Selangor.
Khalid bijak mengikat perkenan Sultan Selangor untuk terus jadi MB
Ikrar itu dibuat pada media dan dipersembahkan juga pada duli Sultan
Selangor. Beliau berikrar dengan amat santun dan berlapik. Sesungguhnya
Khalid berikrar tidak mahu melanjutkan khidmatnya untuk penggal ketiga;
cukup jika beliau dapat menghabiskan “kontrak” penggal kedua.
“Kontrak Khidmat” bagi Khalid ialah, apabila diberi kepercayaan oleh
partinya, PKR, DAP dan PAS, untuk menjadi Menteri Besar Selangor bagi
penggal kedua (2013 hingga 2018), itu sudah menjadi tanggungjawab
hakikinya.
Khalid berazam untuk bekerja sehingga kontraknya tamat. Maka tiada
sesiapapun dalam parti perlu “mencabar kesahihan” kedudukannya di
Selangor selagi “kontrak”nya belum tamat.
Memang herot pemikiran politik Khalid ini. PKR dan Pakatan Rakyat
melantiknya, tetapi apabila parti memerlukan sedikit “pengorbanannya”
bagi melaksanakan “agenda lebih besar Pakatan Rakyat”, beliau enggan
tunduk.
Khalid Ibrahim mula makan tuan?
Malah pimpinan parti pula disergah Khalid. Beliau yakin keabsahan
kedudukannya sebagai Menteri Besar adalah bersandarkan rekodnya
mentadbir Selangor sepanjang penggal pertama. Projek Merakyatkan Ekonomi
Selangornya meraih simpanan hampir RM 3bilion.
Lebih penting lagi kecemerlangan ini direstui rakyat. Dalilnya, dalam
pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lalu, beliau berjaya memimpin Pakatan
Rakyat menawan Selangor dengan majoriti bertambah. Umno cuma tinggal 12
daripada 56 kerusi di Selangor.
Rumusan Khalid ialah, ini semua tidak mungkin dicapai jika rakyat
tidak percaya padanya. Maksudnya, Khalid yakin beliau lebih faham
sentimen dan kemahuan rakyat Selangor. Baik pimpinan PKR mahupun Pakatan
rakyat, gagal menyelami hati dan minda rakyat sebaik dirinya.
Lantas Khalid kini berdiri sebagai seorang pemberi peringatan kepada
pemimpin-pemimpin PKR bahawa mereka sebenarnya jahil tentang realiti
politik Selangor.
Oleh itu, anak jati Selangor ini melaungkan peringatan -- usah
mencampuri urusan pentadbiran negeri Selangor. Beliau lebih tahu.
Mesej ini dilontarkannya bukan secara berselindung. Khalid tergamak
menyampaikan pesan ini kepada kepimpinan de facto PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Dengan perkataan lain, Khalid mahu menyelitkan mesej bahawa itulah
rasional mengapa beliau tidak sentiasa akur pada nasihat dan arahan
Anwar sebagai Penasihat Ekonomi negeri. Mengapa Rafizi, arkitek Langkah
Kajang, tidak faham hakikat ini?
Malangnya, Rafizi tidak tajam kepekaannya. Beliau gagal membaca
keyakinan diri Khalid. Seharusnya beliau perlu lebih banyak belajar
daripada anak Melayu yang berjaya menawan semula syarikat gergasi
Guthrie daripada “penjajah” British.
ADUN Pelabuhan Klang sedang ajar 'silat politik' pada pemimpin PKR
Kini Khalid mengatur strategi untuk menyedar dan mengajar Pakatan
Rakyat supaya bersikap lebih bijak dalam berpolitik dengan menunjukkan
cara bagaimana beliau akan menghindari desakan supaya meletakkan
jawatan.
Seperti dalam perniagaan Khalid perlukan rakan niaga yang boleh
dipercayai. Khalid pilih PAS. Malah hubungan yang penuh takzim dengan
PAS sejak mula menjadi Menteri Besar, kini menjadi modal strategi
pertahanannya.
Meskipun ada yang dapat membaca strategi Khalid itu, ia sudah
terlambat untuk “menekannya” supaya meletak jawatan. Khalid sudahpun
menyusun orang-orang kanan PAS Selangor di kedudukan yang strategik di
negeri itu.
Sebab itu, walaupun gemuruh politik Anwar Ibrahim, Rafizi, DAP dan
segelintir Anwarinas dalam PAS mahu beliau berhenti menjadi Menteri
Besar, Khalid tidak peduli. Hasutlah dan fitnahlah. Yang penting
pimpinan PAS masih di sebelahnya.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad masih memberi sokongan
terbuka kepadanya. Malah mesyuarat pimpinan PAS Pusat sendiri masih
samar pendirian mereka. Khalid telah “melabur kuasa dengan menempatkan
personaliti penting PAS dalam agensi dan konglomerat negeri Selangor”.
Khalid percaya PAS sendiri insaf tidak mudah memimpin Selangor. Jika
PAS boleh dibantu dan diberi kedudukan strategik yang boleh
mengembangkan pengaruhnya di Selangor, itu lebih afdhal.
Buat masa ini PAS tentu suka dan selesa jika Khalid boleh membantunya
meluaskan pengaruh tanpa dibeban masalah mahu memimpin negeri itu.
Khalid sejak dari awal pasak askar-askar politiknya
Sehubungan itu, Khalid juga ada cara untuk memikat perkenan istana
Selangor untuk terus mempertahankan kerusinya. Beliau perlu ada
“jurucakap untuk mewar-warkan” prestasi baiknya mentadbir Selangor. Itu
sudah diaturnya dan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang,
sedar hakikat ini.
Paling penting ialah Khalid mempunyai pasukan penasihat dan pelaksana
strategi rahsianya yang cekap. Komando politiknya telah membuktikan
dalam tempoh tiga tahun berstrategi beliau mampu mengalahkan Timbalan
Presiden, Azmin, di negeri ini dalam kempen pemilihan PKR yang sedang
berlangsung.
Khalid
ada Faekah Husin yang cekal menghadapi sesiapa sahaja yang cuba
memperkecil kebolehannya. Beliau melengkapkan Faekah dengan kuasa untuk
mentadbir Menteri Besar Incorporated (MBI) yang menguruskan kewangan
anak-anak syarikat negeri Selangor.
Faekah juga diberi kuasa politik untuk menjadikan Pelabuhan, kawasan
dewan undangan negeri Khalid menjadi pangkalan gerakan politik akar umbi
Khalid.
Pendek kata, sebenarnya Khalid sudah lama mempunyai “komando”
politiknya dan bersedia menghadapi “kebencian, irihati, fitnah dan
kedengkian” musuh-musuh politiknya. Kini masa menggerakkannya.
PKR dan Pakatan Rakyat nampaknya masih bungkam dengan kehebatan Khalid Ibrahim.
No comments:
Post a Comment