Jika benar TS Khalid akan diberhentikan kerja sebagai Menteri Besar Selangor, ia tidak boleh diselesaikan dengan menggantikan orang lain dalam PKR untuk memegang jawatan penting itu dengan begitu mudah. Pengguguran Khalid itu merupakan kemuncak kepada kemelut PKR dan ia akan membawa masalah sampingan yang leboih besar setelah beliau dilucutkan jawatan itu.
Ia bukan setakat menggantikan
dengan Wan Azizah atau Azmin misalnya kerana ia berlaku diatas permainan
politik pucuk pimpinan parti itu. Yang bercakap meminta Khalid berhenti ini
hanyalah mereka yang di rancang untuk berkata seperti yang kita dengar
sekarang. Baik kata-kata dari Rafizi atau pun sesiapa seperti Shamsul Iskandar
Akim serta beberapa yang lain itu, ubarat parang bengkok untuk menebas belukar
sahaja.
Rafizi dan Shamsul Iskandar itu
hanyalah ibarat parang bengkok itu. Yang menghayun parang bengkok itu ialah
Anwar sendiri. Maka yang akan menjadi tirus dan nipis mata parangnya ialah
Rafizi atau Shamsul setelah begitu hebat hayunan yang dilakukan oleh pucuk
pimpinan parti itu untuk menebas Khalid dan sesiapa yang bersama dengan Khalid.
Yang boleh memberhentikan hayunan
dan tebasan parang-parang bengkok tadi hanyalah yang menghayun parang-parang
bengkok itu, iaitu Anwar sendiri. Jika Khalid ditebas licin maka yang
menebasnya ialah Anwar pada hakikatnya. Jika Anwar mahu menyimpan parang-parang
bengkok itu mudah sahaja, tetapi Anwar mahukan parang bengkok itu terus menebas
belukar yang bernama Khalid itu.
Tetapi berjayakah usaha menebas
Khalid ini tanpa menghadapi risiko kepada parti itu sendiri? Kalau hendak
menebas atau membersihkan belukar ia perlu di hapuskan urat-urat belukar itu
sekali, kerana urat-urat yang masih hidup itu akan kembali bercambah dan
merimbun.
Sedikit sebanyak TS Khalid telah
membina dan mempunyai sokongan akar umbi yang bertambah kuat. Kenyataan PAS
yang parti itu tidak terlibat dengan memaksa Khalid berhenti itu adalah
tindakan yang bertepatan, kerana jika timbul penolakan kepada PKR itu ia akan
membawa padah kepada parti-parti komponen Pakatan Rakyat juga. Shamsul Iskandar
telah menempelak Khalid yang Khalid menjadi MB itu ialah kerana sokongan
parti-parti dalam PR maka Khalid harus akur kepada kehendak PR jika beliau
terpaksa berhenti kerja kali ini.
Apa pun dan siapa pun bersetuju
dengan kata-kata Shamsul itu tidak penting kerana hakikatnya Pakatan Rakyat
telah mendapat kekuatan dengan rekod Khalid mentadbir Selangor dan itu pun
sebabnya PAS dan DAP mendapat sokongan padu sehinggakan UMNO hanya mempunyai 12
kerusi sahaja dalam Dewan Undangan Negeri Selangor itu.
Memberi notis berhenti kerja
kepada Khalid merupakan usaha yang bukan mudah untuk dilakukan. Jika tidak
dilakukan dengan cara yang baik, kehilangan sokongan kepada Pakatan Rakyat di
Selangor itu akan terjejas dan ia merupakan peluang untuk UMNO dan BN kembali
bertapak kembali di Selangor.
Jika akhirnya Khalid diketepikan
maka sesiapa dari PKR mengambil alih akan menghadapi masalah besar. Jika benar
ada kejujuran dikalangan komponen Pakatan Rakyat maka sesiapa yang
menggantikannya tidak perlu datang dari PKR. Ia boleh datang dari PAS kerana di
Selangor PAS mempunyai ahli-ahli legislatif yang mempunyai ketokohan besar.
Yang perlu seseorang yang mengambil alih jawatan MB itu seorang Melayu Islam
seperti yang dikehendaki oleh undang-undang tubuh negeri Selangor itu.
Saya tidak nampak bagaimana PKR
boleh memperkuatkan kedudukannya di Selangor dengan mengalih dan menganjak
Khalid Ibrahim. ‘Consequence’ nya dikalangan rakyat akan menjadi besar dan
belum tentu ia boleh memperkuatkan PKR jika sokongan akar umbi terjejas. Ia
bukan sahaja menjejaskan sokongan terhadap PKR malahan ianya juga menjejaskan
parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat sendiri di Selangor, malahan ia akan
juga membabitkan sokongan terhadap PR di seluruh negara sedikit sebanyak.
Tetapi selalunya apabila sudah
bergaduh dan bersalah-salahan jarang diantara mereka yang bersalah-salahan itu
mahu dan mampu berfikir sampai ketahap itu. Keegoan dan sifat amarah itu susah
untuk dibendung dan lazimnya pertubuhan itu akan jatuh merudum akhirnya.
Mungkin dalam PKR itu ramai yang
berpelajaran, tetapi harus diingat, dalam politik itu seperti kata-kata orang
tua-tua dahulu, ilmu tanpa akal tidak mencukupi. Akal itu lebih penting. Ada perbilangan ‘biar
ilmu itu sebelit, asalkan akal itu dua belitnya’. Kita telah melihat dari dulu
sehingga sekarang betapa ramainya pemimpin yang berpelajaran yang tinggi jatuh tersungkur kerana tidak mempunyai
‘wisdom’ yang tinggi semasa memegang kuasa.
Kita yang ramai-ramai di Selangor
sedang melihat pimpinan PKR yang mana satu yang lebih, akal atau ilmu
semata-mata.
No comments:
Post a Comment