MALAYSIAKINI
Sebagai wartawan yang pernah menghasilkan laporan khas mengenai
masyarakat gelandangan yang bertajuk 'Berbumbung Langit', dan memenangi
pula beberapa anugerah nasional antara tahun 2010 hingga2011 untuk
laporan itu, saya terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai isu
masyarakat gelandangan di Malaysia.
Saya yakin, hanya golongan yang pernah meluangkan masa bersama golongan
ini akan memahami sebab individu ini tersisih sehingga ke jalanan. Jika
tidak, pandangan bahawa individu gelandangan terdiri dari penagih dadah
dan juga pendatang asing hanyalah satu andaian.
Berdasarkan kajian saya , golongan penagih dan pendatang ini hanya
meliputi kurang 10 peratus daripada bilangan warga gelandangan, manakala
yang selebihnya adalah insan biasa yang terhimpit dengan cabaran hidup
sehingga tersisih ke jalanan dan tidak mampu bangkit kembali.
Berikut adalah hasil kajian saya yang boleh membantu orang ramai lebih
memahami mengenai golongan gelandangan terutamanya pihak berkuasa:
Siapakah golongan gelandangan?
Mereka terdiri daripada individu yang sedang bekerja di beberapa tempat
dengan gaji yang tidak seberapa. Ianya tidak cukup untuk menyewa rumah
ataupun bilik kerana pendapatan terpaksa dihantar ke kampung halaman.
Ada juga golongan warga emas yang tersisih dari keluarga atas pelbagai
sebab. Ada juga mereka yang cacat anggota badan, namun mahu hidup
berdikari tanpa mahu menyusahkan keluarga serta remaja yang lari dari
rumah datang dari beberapa lokasi luar Kuala Lumpur, namun terpaksa
hidup di jalanan kerana gagal mencari pekerjaan. Dan sebilangan kecil
dari golongan gelandangan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai
masalah psikiatri.
Gelandangan malas bekerja?
Berdasarkan kajian saya, kebanyakkan mereka amat terdesak untuk mencari
pekerjaan. Namun kerana faktor umur yang sudah meningkat, mereka hanya
mampu mendapat pekerjaan tidak tetap.
Saya juga pernah menghabiskan masa dengan sekumpulan tujuh orang pemuda
serta seorang wanita bersama seorang anak kecil menjadikan kawasan di
bawah tiang bendera di Dataran Merdeka sebagai tempat tinggal.
Apabila hujan terpaksa berlari masuk ke tempat letak kereta bawah tanah
di sana. Disebabkan berstatus bekas banduan, kumpulan pemuda ini
langsung tidak mendapat pekerjaan tetap untuk membolehkan mereka
menyewa tempat tinggal. Akhirnya memutuskan untuk hidup di jalanan buat
sementara waktu, dengan keyakinan akan mendapat pekerjaan tetap pada
suatu hari nanti. Pejam celik, sedar tidak sedar, kumpulan ini sudah
hidup di jalanan selama lebih satu tahun, dan tidak mampu mendapat
pekerjaan tetap.
Gelandangan tak layak terima bantuan?
Golongan ini tidak berdaftar sebagai golongan miskin untuk melayakkan mereka mendapat bantuan yang telah disediakan kerajaan.
Golongan gelandangan ini seolah-olah tidak wujud di Malaysia. Namun
selepas laporan saya bertajuk 'Berbumbung Langit' disiarkan, kerajaan di
bawah Kementerian Pembangunan Wanita Dan Masyarakat telah menyediakan
'Anjung Singgah' pada tahun 2011 yang bertindak sebagai pusat sehenti
untuk mendaftar golongan gelandangan dan cuba mencari pekerjaan
bersesuaian dengan mereka termasuk kerja di ladang, di restoran serta
juga kilang.
Operasi menangkap dan kemudiannya menghantar mereka ke pusat perantara
untuk memberi mereka latihan dua minggu dalam bidang pertanian dan
kraftangan, mungkin bukan penyelesaiannya.
Mengapa sukar mendapat pekerjaan?
Apabila seseorang individu hidup bergelandangan, bermakna dia sudah
tidak mempunyai tempat bersih untuk bermalam dan menyimpan barang
keperluannya seperti pakaian, berus gigi dan sebagainya.
Cara membersihkan diri serta mencuci pakaian adalah di tempat awam
biasanya di waktu malam. Dan individu itu seperti juga insan lain sudah
pastinya memerlukan makanan paling kurang pun dua kali sehari.
Namun apabila bekerja di sesuatu tempat, tempoh bulan yang pertama amat
mencabar kerana mereka terpaksa bekerja dan ‘berlakon’ sebagai orang
lain yang mempunyai tempat tinggal tetap dan terurus.
Cuba bayangkan apabila individu gelandangan ini balik dari tempat kerja,
tempat tidurnya sudah diambil orang lain, atau ketika sedang tidur
barang-barang berharganya seperti pakaian dan kasut sudah hilang dicuri?
Bagaimana dia hendak ke tempat kerja pada keesokan harinya? Begitu juga
dengan makanan. Tanpa wang pendahuluan, bagaimana dia hendak mengisi
perutnya? Justeru mereka akan kembali ke kehidupan asal dan juga terus
mengharapkan makanan percuma di berikan NGO dan membuat kerja dengan
pendapatan tidak tetap.
Justeru, kesimpulan yang boleh dilemparkan terhadap mereka dari jauh adalah, mereka adalah pemalas dan suka makan percuma.
Sebaliknya, golongan ini perlu diberikan pekerjaan yang boleh menawarkan
tempat tinggal serta memberikan mereka wang pendahuluan untuk membeli
bekalan makanan, sekurang-kurangnya di bulan yang pertama mereka
bekerja. Namun bukan mudah untuk mencari pekerjaan seperti itu.
Makanan percuma beri keburukan?
Tanpa makanan percuma yang disediakan akan menyebabkan ramai individu
yang kelaparan. Dalam keadaan lapar, manusia akan berada dalam keadaan
terdesak untuk melakukan apa sahaja termasuk jenayah demi kelangsungan
hidup, terutamanya golongan seperti bekas banduan.
Mereka dengan begitu bersungguh-sungguh ingin memulakan hidup baru yang
bersih. Apabila ada makanan disediakan, sekurang-kurangnya ada kudrat
untuk mereka berfikir cara untuk mencari rezeki halal. Malah saya pernah
merakamkan dengan lensa kamera sendiri, golongan ini terpaksa
menggeledah tong sampah di belakang beberapa restoran segera bagi
mencari sisa makanan.
Bagi kita jijik, namun bagi mereka ianya rezeki halal yang bukan datang
dari hasil mencuri atau merompak. Dan mereka juga tidak mengemis.
Mewujudkan ‘zon sifar gelandangan’ dan menjauhkan aktiviti memberi
makanan percuma dari pusat bandaraya hanya akan meningkatkan risiko
jenayah. Jangan kerana Menteri bertanggungjawab ingin menjaga imej Kuala
Lumpur sebagai bandaraya yang bersih mengusir jauh gelandangan, tetapi
sebaliknya jenayah pula meningkat kerana individu lapar ini terdesak
mendapatkan sumber bagi mengisi perut mereka.
Jangan kita lupa pada bidalan bahawa 'orang yang lapar akan menjadi
orang yang marah'. Kegiatan memberi makan percuma bukan sesuatu yang
mudah. Pada setiap hari yang telah ditetapkan, walau hujan atau ribut
melanda, mereka akan berada di lokasi yang sama untuk mengisi kelaparan
golongan gelandangan.
Perlu diingatkan, pengedaran makanan percuma ini sebenarnya bukan hanya
membantu mengisi perut kosong golongan gelandangan sahaja, tetapi juga
golongan miskin tegar yang ada tempat tinggal turut datang untuk
mendapatkan makanan panas dan berkhasiat yang dimasak dan dibungkus
dengan penuh keikhlasan.
Jika saya tidak berada bersama kumpulan NGO ketika itu, untuk melihat
sendiri pengedaran makanan percuma, tidak mungkin saya akan dapat
memahami perkara ini. Kita perlu membuka mata, telinga dan hati
seluas-luasnya untuk mendengar suara dan rintihan golongan ini daripada
asyik menghukum mereka dari jauh.
Dan penting juga untuk pihak berkuasa mengetahui, pengemis dan
gelandangan adalah dua golongan dan isu berbeza. Jangan cuba hendak
wujudkan satu mekanisme yang sama untuk mengendalikan kedua-dua isu ini.
Kerana tindakan itu hanya akan mendiskriminasi dan menekan golongan
yang benar-benar memerlukan bantuan.
Puspavathy Ramaloo adalah bekas wartawan kanan stesen TV3.
No comments:
Post a Comment