MALAYSIAKINI
Kerajaan perlu berhenti daripada menjadikan pelajar tingkatan tiga
sebagai bahan ujikaji dan menjawab banyak rungutan berhubung kekeliruan
berkaitan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang menggantikan
ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR), kata Ahli Parlimen Serdang, Ong
Kian Ming.
Ong berkata beliau menerima beberapa aduan dari ibu bapa, guru dan
pelajar yang keliru tentang sistem penilaian baru itu, yang hanya
diumumkan pada 31 Mac tahun ini dan dilaksanakan secara tergesa-gesa.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat DAP pagi ini, Ong
menggesa Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri
Idris Jusoh supaya berhenti menjadikan pelajar Tingkatan 3 sebagai bahan
ujikaji.
Ong (kiri) menunjukkan beberapa aduan di laman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di mana perdana menteri mengucap
selamat berjaya kepada kumpulan pertama pelajar yang mengambil
peperiksaan PT3.
Antaranya ialah maklum balas dari Sarala Poobalan yang berbunyi: "Murid
mengambil 2 tahun untuk memahami format UPSR. 2 tahun untuk format SPM
and 1.5 tahun untuk STPM. Berapa lamakah masa yang diberi kepada murid
Tingkatan 3 untuk memahami format PT3? Kurang dari 2 minggu. Merangkak
pun belum dah disuruh berlari."
Seorang lagi, Nurizam Ibrahim pula menulis: "Sepatutnya pt3 dimulakan
utk pelajar tingkatan satu tahun hadapan... kesian anak2 yg menjadi
bahan ujikaji... nak cari buku rujukan utk pt3 pun susah...
Seorang lagi bapa lain dengan nama Kevin YN Ho berkata beliau sedang
menimbang untuk menghantar anaknya ke sekolah swasta walaupun ia akan
menjadi beban kewangan yang serius.
Ong berkata selepas PT3 diumumkan pada bulan Mac, guru, ibu bapa dan
pelajar telah diberi taklimat antara bulan April dan Jun dan pelajar
mula menduduki penilaian itu pada 1 Julai.
No comments:
Post a Comment