KUALA LUMPUR: “Pegawai kami memberitahu bahawa kami menembak sebuah
pesawat Kiev. Kami ingatkan kami mencari juruterbang Ukraine yang
dikatakan sempat menyelamatkan diri, tetapi kami menemui mayat-mayat
orang awam.”
Itu pengakuan yang dibuat oleh seorang anggota militan pro-Rusia dari
unit kombat Oplot kepada akhbar Itali Corriere della Sera pada Rabu.
Menurut laporan portal tersebut, mereka menerima arahan untuk bergegas
ke sebuah lokasi menggunakan sebuah lori dipenuhi muatan senjata dan
peluru sejurus selepas satu letupan kedengaran di udara.
Mereka diberitahu bahawa pasukan mereka telah menembak jatuh sebuah pesawat milik puak fasis Kiev.
“Objek-objek putih kelihatan berterbangan di udara. Kami mungkin perlu
bertempur untuk mengumpulkan objek-objek terbabit.” ujar anggota Oplot
terbabit yang enggan mendedahkan namanya serta nama sekutunya.
Dia turut memberitahu bahawa ketika mereka mencari payung terjun di
tanah dan pokok, dia menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan yang
berusia tidak lebih dari lima tahun.
“Mayat itu tertiarap. Ia sangat mengerikan. Itulah ketikanya saya
sedari bahawa pesawat yang ditembak itu ialah sebuah pesawat komersial
dan bukan pesawat tentera.
Semua mangsa ialah orang awam. Beberapa beg pakaian mengesahkan jangkaan saya.” tambahnya.
Unit Oplot ini telah berada di lokasi nahas sejak tragedi itu berlaku.
Menurut portal Corriere della Sera, mereka bagaimanapun tidak
menunjukkan rasa bersalah apabila mengeluarkan kenyataan bahawa bukan
mereka sahaja yang menembak jatuh pesawat terbabit serta tidak mempunyai
senjata yang mampu mencapai ketinggian pesawat itu.
“Jenayah ini dilakukan oleh penjahat yang menerima arahan daripada
kerajaan Kiev. Salah seorang pejuang mereka mungkin menembak jatuh
MH17,” kata mereka.
Pengkuan ini dibuat selepas lima hari pemimpin puak pemisah pro-Rusia
Igor Girkin memuat naik di laman sosial bahawa mereka terlibat dengan
nahas terbabit dan mereka yang menembak jatuh pesawat malang itu.
Muat naiknya berbunyi: “Kami telah menembak jatuh sebuah AN-26, ia kini
berada di sekitar ‘Progress’. Kami telah memberi amaran kepada kamu –
jangan terbang di ‘ruang udara kami’. Ini video pengesahan ‘kejatuhan
burung’ itu.”
Muat naik itu bagaimanapun dipadam setelah pesawat yang ditembak jatuh
itu merupakan sebuah pesawat komersial yang dinaiki orang awam.
No comments:
Post a Comment