Roketkini.com
GEORGE TOWN: Sebagai penghormatan kepada 298 mangsa yang terkorban dalam tragedi MH17 semalam, kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk mengibarkan bendera setengah tiang selama tiga hari, bermula hari ini.
“Kerajaan Negeri membuat keputusan ini bagi memperingati semua 298 mangsa yang terkorban, pada masa sama sebagai mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Kami berdoa dengan penuh rasa simpati kepada keluarga mangsa, dengan harapan mereka tabah menghadapi cabaran yang begitu besar ini,” kata Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu majlis di Komtar, hari ini.
Selain itu, keputusan itu dibuat sebagai memperingati penumpang pesawat MH370 yang hilang Mac lalu.
“Kita tidak kibarkan bendera setengah tiang sebelum ini kerana ada keluarga yang merasakan pesawat itu akan dijumpai, dan kita menghormati keputusan mereka ketika itu,” katanya lagi.
Semalam, pesawat MH17 Malaysia Airlines System (MAS) ditembak jatuh di Donetsk, kubu kuat puak pemisah pro-Russia di Ukraine yang berhampiran sempadan Russia.
Dalam ucapannya, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyifatkan tragedi itu sebagai pembunuhan beramai-ramai yang zalim dan mendesak agar keadilan dapat ditegakkan.
“Kerajaan negeri menuntut keadilan dikembalikan kepada mereka yang dibunuh dengan kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Kami berharap bukan sekadar Malaysia, malah seluruh dunia akan memastikan keadilan dapat ditegakkan. Ini tragedi yang menyentuh (perasaan warga) seluruh dunia,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Timbalan Ketua Menteri (TKM) 1 Mohd Rashid Hasnon, TKM 2 Profesor P Ramasamy, barisan Exco dan pegawai kerajaan negeri.
Hadirin turut bertafakur selama seminit bagi memperingati mangsa, diikuti bacaan doa oleh mufti negeri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment