Saturday, July 19, 2014

Guna saluran diplomatik PBB dan EU siasat nahas MH17

teo_kok_seong

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda DAPSY Kebangsaan Teo Kok Seong menyeru kerajaan Malaysia memanfaatkan saluran dan hubungan diplomatik kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB ) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung nahas penerbangan Malaysia Airlines MH17.

“Jika benar kemalangan ini berpunca akibat tembakan peluru berpandu oleh mana-mana pihak, kita mahu mereka diheret ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang setimpal.

“Ratusan nyawa telah hilang dengan cara yang amat tragis sekali. Kami dapat memahami kesedihan kaum keluarga khususnya rakyat Malaysia yang sedang bersiap untuk menyambut Syawal 10 hari lagi,” kata Teo dalam satu kenyataan.

Menurut Teo lagi, tragedi ini bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia yang baru sahaja berdepan dengan tragedi kehilangan pesawar MH370, ia malah mengejutkan masyarakat dunia, apatah lagi nahas ini dikaitkan dengan tindakan keganasan pihak tertentu di kawasan bergolak antara kerajaan Ukraine dengan pemberontak yang disokong Russia.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sebelum ini berkata, kejadian tragik yang mengejutkan ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan ‘pembunuhnya’ wajib dihadapkan ke muka pengadilan tidak kira sama ada pesalahnya adalah Russia, pemisah Ukraine pro-Russia atau Ukraine.

Justeru itu, Teo yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, kerajaan Malaysia harus segera melancarkan inisiatif diplomatik antarabangsa bagi memastikan setiap sudut insiden MH17 disiasat secara terperinci.

Dalam masa yang sama kata Teo, kerajaan Malaysia, pentadbiran MAS, dan negara-negara terlibat perlu menyalurkan maklumat yang jelas dan tepat serta dapat menguruskan jasad para mangsa untuk dikembalikan ke negara asal masing-masing dengan proses yang teratur.

“Kami mendoakan yang terbaik kepada semua, sama ada kepada petugas dan juga keluarga mangsa agar tabah menghadapi situasi getir ini,” kata Teo. – Roketkini.com

No comments: