KUALA LUMPUR: Tidak kesemua tindakan kerajaan berhubung tragedi MH17
perlu dihebahkan, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Abdul Razak.
Apa yang penting adalah hasil dan dapatan daripada siasatan yang
dijalankan oleh pasukan khas yang terdiri daripada pegawai-pegawai
teknikal, kumpulan perubatan dan pihak keselamatan ke kawasan bencana
tersebut.
"Dengan izin "sometimes we must work quitely in the service of a better
outcome" yakni adakalanya kita mesti bekerja secara senyap dalam
perkhidmatan demi mendapatkan keberhasilan yang lebih baik, terutama
ketika berhubung dengan ketua kumpulan pemisah.
"Dengan nawaitu dan hasrat murni bagi memastikan mangsa-mangsa dapat
dikembalikan serta diberi penghormatan untuk disemadikan, meskipun
masanya sudah berlalu," katanya di Sidang Khas Dewan Rakyat ketika
membentangkan usul mengenai tragedi malang yang menimpa MH17 17 Julai
lalu.
Najib seterusnya mendesak Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa ICAO
mengeluarkan resolusi mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas
pesawat tersebut sebagaiman yang turut dilakukan terhadap pesawat lain.
Malah kerajaan Malaysia turut menuntut kerajaan Ukraine
bertanggungjawab menjalankan siasatan, selain kerjasama siasatan oleh
badan bebas antarabangsa.
"Saya juga telah mengarahkan Peguam Negara mengkaji perkara ini dengan
mendalam dan teliti, bagi memastikan sebarang tindakan yang akan diambil
oleh Malaysia kelak, berlandaskan undang-undang antarabangsa yang
terpakai dalam hal begini.
"Kita menggesa penyiasatan dilakukan oleh sebuah pasukan bebas bagi
menyiasat punca pesawat MH17 terhempas. Beberapa persoalan yang inginkan
jawapan seperti adakah ia ditembak dengan peluru berpandu, angkara
siapa, siapa bekalkan senjata, apa motif mereka sebenarnya ," ujarnya.
Sehubungan itu, Najib mahu kesemua rakyat Malaysia memperkukuhkan
solidariti dan semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang agama,
kaum dan fahaman politik.
"Janganlah kita membuat spekulasi yang boleh mengaibkan mangsa dan
keluarga mereka. Ini bukan masanya kita berwenang-wenang di sosial media
menceritkan sesuatu yang barangkali faktanya tidak tepat atau tidak
sahih," demikian menurut Najib.
Usul berkenaan telah disokong oleh Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Seri Dr G. Palanivel.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa
kerajaan memastikan tidak ada kuasa besar yang menjadi dalang terhadap
tragedi tersebut sengaja diselindungi tanpa diseret ke muka pengadilan.
"Saya merasa terkesan dengan kejadian yang menimpa pesawat negara kita.
Semestinya tindakan rundingan ini mengundang kontroversi namun saya
menyokong tindakan PM mengadakan rundingan secara peribadi demi menjaga
keperihatinan rakyat yang terkorban.
"Tiada jalan mudah untuk merujuk kepada kumpulan pemberontak tersebut,
tetapi kita harus beri penekanan apakah langkah yang akan diambil
terhadap pihak yabg bertanggungjawab," katanya sebagai menyokong usul
perdana menteri itu.
Pesawat Malaysia Airline Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang
dan 15 krew, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur
apabila ia terhempas di Donetsk, di timur Ukraine Khamis lalu,
dipercayai ditembak menggunakan peluru berpandu dari darat ke udara.
Pada Isnin, Malaysia memperoleh persetujuan bagi membawa keluar mayat
penumpang dan kotak hitam penerbangan MH17 dan juga bagi para penyiasat
antarabangsa mendapat laluan selamat ke tapak nahas di timur Ukraine.
Puak pemisah pro-Rusia di timur Ukraine dilaporkan telah menyerahkan
kedua-dua kotak hitam itu yang dijumpai di tapak nahas kepada pasukan
penyiasat Malaysia semalam.
No comments:
Post a Comment