Khalid Ibrahim
KONGKALIKONG! memang sukar untuk dicari perkataan paling tepat menggambarkan apa yang sedang dan akan berlaku dalam politik Selangor selepas Dr Wan Azizah diumumkan oleh suaminya bakal ambil alih jawatan menteri besar daripada Khalid Ibrahim, lewat malam semalam.
Kemelut politik paling dahsyat sedang melanda negeri yang paling maju itu. Anwar Ibrahim umum keputusan tengah malam selepas mesyuarat PKR di Petaling Jaya. Ianya mengejutkan sesiapa juga.
Banyak sebab untuk kita rasa terkejut. Pertama, apakah Selangor akan dapat menteri besar yang pertama wanita dan jadi negeri yang pertama di Malaysia bermenteribesarkan wanita? Apakah ini adab dan tatacara yang betul untuk mengganti menteri besar sedia ada yang sihat dan mampu bekerja? Apa salah Khalid hingga perlu diganti? Mengapa Anwar begitu tergesa-gesa hingga keputusan dibuat dalam mesyuarat PKR, bukan PR?
Dua minggu lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali selepas mesyuarat Majlis Setiausaha PR berkata kedudukan Khalid sebagai MB Selangor akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PR yang berlangsung hari ini.
Anwar bagaimanapun tidak sabar-sabar mahu umumkan sendiri keputusan partinya memilih Wan Azizah, apa yang dilihat oleh pemerhati sebagai tindakan membelakangkan parti sekutu yang lain.
Dia barang kali terlupa bahawa PKR bukan menang bersendirian di Selangor, malah jika dibandingkan dari segi komposisi parti itu kurang satu kerusi di belakang Pas-DAP.
Akibat tindakan terburu-burunya itu, bom yang pertama diletupkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Samad tengah hari semalam. Parti itu bantah keputusan PKR mengganti Khalid dengan Wan Azizah dan dengan tegas mempertahankan Khalid yang dinilai telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
Anwar menggali sendiri lohong untuk dia berbalah dengan Pas. Hal yang demikian tidak akan berlaku jika dia hormat rakan sekutunya itu.
Dalam parti, Azmin Ali juga pagi semalam mengkritik keputusan itu menerusi twitter, walaupun kemudiannya dinafikan. Dalam kritikan yang dinafikan itu, Azmin dikatakan menyindir Anwar sebagai tamak kuasa.
Semua orang tahu, selain Wan Azizah, Azmin disebut-sebut yang paling layak ganti Khalid sebagai menteri besar. Dan keputusan melantik Wan Azizah itu juga diterima sebagai lantikan interim untuk meredakan konflik Khalid - Azmin.
Bayangkanlah, keputusan yang melibatkan kepentingan dua individu, korbannya adalah satu negeri. Kepentingan rakyat yang berjuta, diketepikan hingga jadi sejarah - seorang menteri besar yang sihat walafiat, mampu jalankan tugas dengan baik disingkir untuk beri laluan kepada seorang menteri besar wanita pertama, yang tidak pernah diuji.
Lebih besar daripada itu, apa pula pandangan istana? Sudahlah bukan anak negeri, wanita pula. Di mana adab dan tatacaranya? Di mana undang-undang tubuh negeri yang mesti dipatuhi?
Itulah cacamerbanya keputusan yang dibuat Anwar Ibrahim. Bijak sungguh Rafizi Ramli yang merancang pelan Kajang Move!
Melihat reaksi di media sosial daripada kalangan rakan-rakan yang dikenal pasti sebagai pendokong dan penyokong tegar Pas, isu ini sedikit sebanyak telah mengubah pandangan mereka terhadap Anwar. Ramai yang secara terbuka mempertahankan Khalid malah ada yang melabel Anwar sebagai tamak kuasa.
Kalaulah pandangan yang semakin banyak ini diambil kira, boleh diterima bahawa orang Pas hari ini tidak lagi melihat Anwar sebagai hero yang serba betul dan perlu dipertahankan sebagaimana dahulu. Tersilap besarlah Anwar jika dia sangka dirinya masih dipandang begitu!
Dan kalaulah mahu diteropong lebih jauh, mungkin juga boleh dianggap bahawa saat kejatuhan Anwar sudah semakin hampir. Ya, benar dia selama ini dipandang sebagai wira oleh penyokong pembangkang, memperjuangkan kebenaran dan keadilan, memerangi rasuah, kebejatan dan segala yang bobrok.
Namun hari ini, nepotisme itu pelakunya siapa?
Apa pernah Tun Mahathir - musuh No 1 Anwar - sepanjang tempoh 22 tahun sebagai perdana menteri pernah melantik isterinya selain daripada jawatan Yang Dipertua Bakti?
Apakah Yang Dipertua Bakti itu kedudukannya lebih tinggi dan lebih berkuasa daripada menteri besar?
Ini baharu ketua parti, belum perdana menteri!
Saya tidak mahu bercakap mengenai Najib kerana dia masih dalam jawatan dan sekarang ini pula sedang sibuk berfikir mencari penyelesaian tragedi MH17 di Ukraine. Pastinya dalam keadaan ini, dia tidak sempat pun untuk tidur apa lagi bermimpi mahu melantik Rosmah Mansor sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Apa pun, saya tidak melihat mimpi Anwar akan jadi kenyataan. Masih banyak ranjau yang perlu dilalui, tembok yang perlu didaki terutama tembok Istana Kayangan. Apa mungkin Sultan Selangor yang punya kuasa untuk perkenan pelantikan menteri besar, akan bersetuju dengan kehendak politik yang sangat luar biasa itu?
Dan Khalid juga, saya yakin tidak akan mudah menyerah kalah.
Rakyat Selangor juga ramai yang masih menyokong Khalid kerana tidak ada cacat cela baginya sepanjang menjalankan tanggungjawab menjaga negeri. Yang melihat Khalid dengan pandangan serba tidak kena hanya seteru politik dalam partinya sendiri.
Lagi pun, Selangor negeri paling maju. Ini bukan Pulau Kezambo tetapi negeri yang ada undang-undang. Justeru, penggantian menteri besar sebagai ketua eksekutif kerajaan, ada prosedur, adab dan tatacaranya, mana mungkin boleh dibuat suka-suka!
Apa yang paling baik boleh dilakukan, Khalid dengan kuasa menteri besar, boleh bubarkan Dun dan adakan pilihan raya negeri.
Ya, saya tahu... pasti akan ada yang kata membazir. Bukankah di Kajang dahulu, anda sendiri juga yang membazir?
Boleh lompat masuk Pas
Apa pun, bubar Dun harus difikir sebagai langkah terakhir. Saya menduga, bantahan Pas Selangor bukan kosong tetapi mungkin ada isi.
Jika mahu dielak pembubaran Dun, Pas harus punya cukup keberanian untuk menongkah kehendak Anwar. Anwar sedang menuju kedudukan yang semakin lemah, dan inilah masanya bagi Pas.
Sudah sampai masa untuk Pas keluar dari bawah telunjuk Ketua Pembangkang. Mereka boleh sahaja terima Khalid untuk melompat parti sertai Pas. Dan ambil kira bahawa Khalid sudah dapat restu daripada istana, dia boleh terus kekal jadi menteri besar tanpa perlu Dun dibubarkan.
Soalnya, apakah Pas berani untuk bertindak demikian?
Apakah Pas berani untuk mengorbankan kepentingannya dalam pakatan secara keseluruhan?
Pada hemat saya, jika Pas mahu berbuat demikian, ini bukan soal untuk menyelamatkan kedudukan Khalid tetapi untuk survival Pas sendiri di mata rakyat.
Pas adalah parti yang paling berintegriti dalam pakatan dan untuk kekalkan rasa hormat rakyat, parti itu harus menunjuk ketegasan dengan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan, bukan lagi mengikut apa sahaja kehendak Anwar yang semakin menjadi-jadi kongkalikongnya!
Jika Khalid melompat, Pas akan punya 16 kerusi dalam Dun, PKR berkurang kepada 13 dan DAP
kekal 15. Dikira dengan ilmu matematik apa pun, Pas sudah jadi majoriti dan berhak untuk jadi menteri besar.
Pokok pangkalnya, Pas harus berani untuk kekal relevan di mata hati rakyat dan tidak hanyut dalam kongkalikong PKR politik Anwar yang semakin suram.
No comments:
Post a Comment