Monday, July 7, 2014

Hudud: Semakin jelas dolak-dalik Umno


Oleh LANJUSOH


KESUNGGUHAN beberapa pemimpin Umno mahu menyokong Kelantan melaksanakan perundangan syariah dilihat semakin hambar. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir seperti keseorangan sekarang.

Keputusan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak membawa masuk enam pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam kabinet 25 Jun lalu memberi cabaran kepada Jamil Khir. Enam pemimpin bukan Islam mendapat hadiah jawatan menteri dan timbalan menteri.

Presiden MCA, Dato’ Seri Liow Tiong Lai dilantik Menteri Pengangkutan, Presiden Gerakan, Dato’ Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Dato’ Wee Ka Siong diberi jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tiga Naib Presiden MCA iaitu Dato’ Lee Chee Leong dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Pada Mei lalu tentunya ramai masih ingat ada pemimpin Gerakan membuat kenyataan, tidak menyertai pilihan raya kecil (PRK) di Bukit Gelugur kerana mahu memberi tumpuan menentang pelaksanaan hudud di Kelantan.

Begitu juga Setiausaha Agung MCA, Dato’ Ong Ka Chuan dilaporkan parti itu tidak bertanding dalam PRK tersebut kerana mahu memberi tumpuan isu hudud.

Secara terang-terangan mereka menghalang usaha dilakukan kerajaan Kelantan.

Lebih teruk lagi seorang pemimpin MCA, Gan Ping Sieu dilaporkan mahu Jamil Khir disingkirkan daripada kabinet.

Mungkin tidak pernah ada keberanian seperti itu dalam kalangan kompenan BN sebelum ini. Ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi pun tiada kedengaran ada parti kompenan menuntut menyingkir pemimpin Umno daripada kabinet.

Apakah penasihat perdana menteri tidak terkesan agenda tersebut.

Biar pun nampak seperti ada keikhlasan di lubuk hati Jamil Khir menyokong hasrat Kelantan, namun beliau tidak mampu berdepan dengan rempuhan besar.

Kata banyak pihak ia akibat silap percaturan Najib.

Naib Presiden KeADILan, Tian Chua sejak dari awal lagi meragui keikhlasan pemimpin Umno menyokong Kelantan melaksanakan hudud.

Katanya, kalau Umno benar- benar serius sudah tentu mereka memberi penjelasan kepada parti-parti kompenan BN mengenai kelebihan perundangan hudud.

“Inilah sikap hipokrit Umno. Mereka membuat kenyataan awal menyokong usul hudud tidak lebih sebagai strategi politik,” katanya di Pasir Puteh, 21 Jun lalu.

Pada 28 Mac lalu, ketika berucap di Dewan Rakyat Jamil Khir menegaskan, sekiranya ada kerajaan negeri mahu melaksanakan hudud, kerajaan pusat turut bersedia bersama-sama.

“Terpulang kepada ahliahli Yang Berhormat untuk membawa usul persendirian bagi membentang Rang Undang- Undang daripada ahli yang bukan ahli kerajaan di Dewan Rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di- Pertuan Agong.

Bagi pensyarah Sains Politik, Prof Madya Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, Umno cuba mengikut rentak PAS berkaitan isu hudud kemungkinan tersembunyi matlamat lain di sebaliknya.

“Hudud mungkin senjata paling berkesan untuk merenggang hubungan Pakatan Rakyat. Harapan mereka berlaku pertembungan di medan terbuka antara PAS dan DAP.

“Apabila rakyat melihat ada kecelaruan dalam Pakatan Rakyat, mereka bimbang tiada lagi pencabar yang mampu menggantikan BN,” katanya ketika ditemui.

Namun Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berhujah biar pun apa keputusan Umno nanti, PAS tetap tidak rugi.

Taktik Umno

Kata beliau kalau Umno benar-benar bermain tarik tali dalam isu hudud, rakyat akan menilai mereka. “Kalau mereka tidak sokong semasa usul hudud dibawa ke parlimen nanti, nyatalah kata orang sebelum ini Umno itu jahat dan khianat.

“Sebaliknya kalau mereka benar-benar sokong usul tersebut, kitalah yang akan untung kerana Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan sudah diluluskan sejak 1993,” katanya di Gual Ipoh, baru-baru ini.

Hujah yang serupa dipertahankan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mohd Yusnan Yusof. Dalam situasi apa sekalipun baginya PAS dan kerajaan Kelantan akan memperolehi labanya.

“Kita tidak tahu sama ada Umno benar-benar ikhlas mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Hudud Kebangsaan bagi memudahkan pelaksanaan hudud di Kelantan atau ada agenda lain di sebaliknya.

“Kalau mereka sengaja mahu melengah-lengahkan dan berdolak-dalik, tunggulah rakyat akan menghukum mereka,” katanya yang juga Adun Melor.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Dr Muhamed Fadzli Hassan berkata, kesungguhan kerajaan Kelantan mahu merealisasikan perundangan syariah tidak dapat dinafikan.

Sehingga sekarang dua jawatankuasa diwujudkan iaitu jawatankuasa induk dan jawatan prateknikal.
Malah ceramah dan program penerangan digerakkan ke seluruh Kelantan.

Adun Kemuning, Ustaz Mohd Roseli Ismail berkata, beliau kasihan melihat ahli Jawatankuasa Induk Hudud berceramah hampir setiap malam bagi menjelaskan isu tersebut kepada rakyat.

Kata Roseli, sepatutnya Kelantan mendapatkan surat ìhitam putihî daripada Umno.Kini tumpuan lebih terarah kepada tindakan selanjutnya kerajaan pusat.

Kewujudan Jawatankuasa Khas Teknikal Hudud Kebangsaan selepas isu “private member’s bill” hangat diperkatakan di Kelantan.

Apakah ia dianggap sebagai taktik Umno bagi meredakan keghairahan fenomena hudud di Kelantan.
Mungkinkah Jawatankuasa Teknikal Hudud Kebangsaan seperti mengulangi nasib pelbagai jawatankuasa diwujudkan kerajaan sebelum ini.

Pada akhir 2012 kerajaan pusat mewujudkan Jawatakuasa Khas Mengkaji bayaran hasil petroleum negeri- negeri Pantai Timur.

Perdana Menteri berkata, jawatankuasa khas royalti turut dianggotai wakil dari Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka menyelesaikan kajian dalam tempoh enam bulan.

Sekarang melewati lebih setahun setengah, belum lagi ada sebarang keputusan mengenainya.

Selain itu kerajaan juga mewujudkan Jawatankuasa Khas bagi meneliti dan mengkaji Laporan Ketua Audit Negara 2012. Namun setiap kali laporan tahunan Ketua Audit Negara dibentang di parlimen, masih banyak ditemui penyelewengan dana kerajaan.

Mengambil kira contoh di atas mungkinkah nasib serupa juga berulang terhadap Jawatankuasa Khas Teknikal Hudud Kebangsaan.

Bagi peguam veteran, Dato’ Wan Mutalib Embong, apabila kerajaan mewujudkan sesuatu jawatankuasa khas bermakna apa yang dihasratkan rakyat tidak akan menjadi kenyataan.

Benarkah begitu. Inilah keraguan yang tidak dapat ditepis dalam kalangan rakyat. Tunggulah sejarah tidak pernah berbohong.

No comments: