shahbudindotcom
Menjadi pengacara televisyen dan sering pula muncul menemubual tokoh
politik dan pemimpin negara dengan pakaian segak bergaya adalah
kelebihan yang tidak dimiliki oleh semua orang. Hanya insan terpilih dan
berbakat besar saja berpeluang menceburi bidang seperti itu.
Sekali imbas juga tentulah ramai yang menyangka kehidupan mereka
pastilah agak selesa, seiring dengan wajah ceria dan kepetahan
berkata-kata yang dizahirkan di kaca televisyen itu.
Namun tidak begitu realitinya bagi beberapa pengacara Bernama TV, sebuah
stesen televisyen milik kerajaan yang diletakkan dibawah Kementerian
Komunikasi dan Multimedia kerana sudah beberapa bulan elaun kemunculan
mereka tidak dibayar atas alasan kekangan kewangan yang dihadapi.
Di sebalik wajah cerita, senyum, ketawa dan petah berkata-kata
menemubual tokoh politik dan pemimpin negara dalam berbagai isu di
Bernama TV, hakikatnya mereka sedang memendam kecewa serta sengsara
seolah-olah titik peluh dan bakat mereka langsung tidak dihargai.
Meskipun elaun kemunculan itu sudah tertunggak beberapa bulan, tapi
setiap kali pertanyaan dibangkitkan mengenai bayaran, jawapan yang
diterima ialah diminta bersabar kerana masih menghadapi masalah kewangan
untuk membayar gaji kakitangan.
Menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma ini pun, difahamkan belum
ternampak bayang-bayang bayaran elaun tertunggak itu bakal dilangsaikan.
Adalah difahamkan, masalah kewangan yang dihadapi oleh Bernama TV ini
adalah berpunca daripada kelemahan pengurusannya mengendalikan syarikat
tv di mana mereka seolah-olah hanya bergantung sepenuhnya kepada
sejumlah peruntukan yang diberikan oleh kementerian tanpa ada usaha mahu
menambah kantung kewangannya melalui pendapatan iklan dan sebagainya.
Ini menjadikan, walaupun Bernama TV adalah milik kerajaan dan membawa
imej pemerintah yang sedang berkuasa, tetapi sumber pendapatan daripada
iklannya terlalu sedikit, seolah-olah tiada usaha memperkemaskan jabatan
iklan dan pemasaran atau melantik syarikat luar untuk menguruskan
pencarian iklan. Malah iklan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan
lun tidak singgah ke Bernama TV.
Melalui peruntukan khas yang diberikan oleh kementerian itu, Bernama TV
pula lebih mengutamakan kepada pembayaran gaji kakitangan tetapnya tanpa
memikirkan bahawa pengacara jemputan atau sambilan yang mengendalikan
program-program khas itu adalah otai-otai berbakat yang sarat dengah
pengalaman dan menjadi nadi kepada stesen itu.
Lebih malang lagi, dalam beberapa kes pula, disebabkan masalah kewangan
itu, pengacara-pengacara itu juga sedia bertolak-ansur agar elaun
kemunculan dikurangkan daripada kadar biasa. Ironinya, setelah elaun
dikurangkan pun tetap tertungak juga.
Dengan kelemahan pengurusan dan ketiadaan pendapatan iklan yang
menggalakkan itu, selain berhadapan dengan masalah membayar elaun
beberapa pengacaranya, Bernama TV boleh dikatakan masih beroperasi
dengan peralatan dan kamera jenis lama serta jauh ketinggalan berbanding
stesen-stesen televisyen yang lain.
Sebagai sebuah stesen TV yang membawa berita dan maklumat terkini serta
kerap pula menjemput menteri dan pemimpin negara datang ke studionya dan
dimiliki pula oleh kerajaan, kedaifan peralatan dan isu pembayaran
tertunggak ini tentulah sesuatu yang memalukan dan tidak seharusnya
berlaku.
Ia memberi imej seolah-olah kerajaan yang ada sudah tidak tidak berwibawa dan kehilangan upaya.
Lebih dari itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Shabery Cheek juga
dikatakan kurang memberi perhatian untuk memajukan lagi Bernama TV
sedangkan di luar negara, stesen televisyen yang memfokuskan kepada
berita dan maklumat seperti CNN misalnya, amat maju dan berkembang
dengan pesat sekali.
Tidak seperti menteri terdahulu, Dr Rais Yatim yang sangat mengambil
berat dan memberi perhatian kepada perkembangan Bernama TV, Shabery
Cheek sebaliknya dikatakan sangat perlahan mengenainya walaupun Perdana
Menteri, Najib Razak kerapkali menyatakan dunia akan datang adalah dunia
maklumat dan mahu setiap rakyat memperolehi makluma sebanyak-banyaknya.
Dan ditambah dengan pengurusannya yang lemah itu, Bernama TV seolah-olah selesa berada di takuk lama saja.
No comments:
Post a Comment