MALAYSIAKINI
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa pemimpin
parti itu bersetuju dengan satu "peralihan kuasa yang lancar" bagi
jawatan menteri besar Selangor.
Seperti dilapor Malaysiakini sebelum ini, Anwar memberi isyarat bahawa
menteri besar baharu kemungkinan besar adalah isterinya dan Presiden
PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Namun, beliau tidak mendedahkan sebarang nama lagi memandangkan majlis
presiden Pakatan Rakyat belum bertemu membincangkan perkara itu.
Azizah disebut-sebut bakal menggantikan Menteri Besar Tan Sri Khalid
Ibrahim yang memegang jawatan itu untuk penggal kedua tetapi berhadapan
pelbagai kritikan terhadap caranya menguruskan negeri.
Ia termasuklah cara beliau menguruskan sumber negeri sehingga kepada
pendekatannya yang kurang berbincang dengan orang ramai dalam hal ehwal
projek-projek mega seperti Lebuh Raya Kidex.
Anwar berkata sekretariat Pakatan Rakyat telah dimaklumkan tentang
keputusan itu walaupun majlis presiden akan hanya bertemu pada minggu
hadapan.
"Biro politik PKR dan pemimpin-pemimpin parti dalam majlis pimpinan
pusat sepakat dengan satu peralihan kuasa secara lancar di Selangor dan
bersetuju ia patut dibincangkan secara tertib dengan Khalid," katanya
sewaktu ditemui di Guar Perahu, Pulau Pinang hari ini.
No comments:
Post a Comment