Oleh Zeanaaima Md Yusuf
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tiada kuasa untuk membuat keputusan mewakili parti bersabit apa jua isu, kata Sallehen Mukhyi.
Sebaliknya semua keputusan yang dicapai dalam PAS adalah hasil
mesyuarat pimpinan tertinggi parti itu termasuk Hadi dan Tuan Ibrahim,
jelas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu.
"Semua keputusan yang kita buat hanya datang daripada satu sumber sahaja, iaitu PAS.
"Apa pun yang dibuat oleh timbalan presiden, semuanya adalah keputusan
yang dicapai dalam mesyuarat bersama presiden sendiri. Yang mana
presiden tidak sempat nak layan, kerana kekangan masa, dia akan minta
timbalan dia, Datuk Tuan pergi.
"Sebagai contoh, ceramah Mega Rakyat di Paya Jaras, mungkin timbul
polemik, sebab Tok Guru Hadi tak datang. Orang akan fikir itu tindakan
(hadir ke ceramah) Datuk Tuan sendirian. Itu persepsi dan akan jadi
fitnah," ujar Sallehen ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos,
baru-baru ini.
PAS yang diwakili Tuan Ibrahim baru-baru ini tampil sepentas dengan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR dalam Ceramah Mega Rakyat,
di Paya Jaras.
Pantas menepis persepsi, Tuan Ibrahim memberitahu ribuan hadirin yang
hadir bahawa, kedatangannya ke program itu direstui Hadi sendiri.
Hadi dan Tuan Ibrahim sering dilabelkan sebagai bercanggah pendapat terutama isu melibatkan Umno Barisan Nasional (BN).
Hadi cuba digambarkan lebih mesra Umno sementara Tuan Ibrahim pula
cuba membawa PAS kembali bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain.
Mengulas perihal itu, Sallehen berkata, PAS tiada masa untuk melayan persepsi tidak berasas sebegitu.
"Kita malas nak layan itu ini. Macam kita tak ada kerja lain pula.
Sebab itu kadang-kadang kita senyap saja. Tumpuan kita sekarang
perkemaskan organisasi. Kita adakan usrah daripada peringkat bawah
hingga ke pimpinan tertinggi.
"Kita baru sahaja selesai membuat tamrin di Terengganu yang wajib
libatkan semua ahli majlis syura ulamak, pimpinan PAS Pusat, pimpinan
Pemuda PAS Pusat, Muslimat PAS Pusat, semua ahli Parlimen PAS, semua
ADUN PAS. Semuanya mesti terlibat dalam tamrin ini.
"Kita nak satukan organisasi. Sebab itu sumber kita satu sahaja...ia
dari PAS. Tidak dari presiden semata, tidak dari Datuk Tuan semata, tapi
konsensus bersama dalam parti," katanya lagi.
Sallehen juga menafikan Hadi kini semakin lemah selepas ketiadaan
sahabat seilmu dengannya, Allahyarham Datuk Haron Din dan Allahyarham
Datuk Harun Taib.
"Kalau kata presiden PAS dah lemah sebab kawan-kawannya dah
meninggal...dia pun kudratnya sudah tidak kuat dan (begitu juga)
pemikirannya. Tapi ada orang muda yang cergas disisi Tok Guru.
"Ada orang baru yang dididik dalam PAS yang kini sudah naik dan
berkembang menjadi pemimpin dan sanggup bersama Tok Guru yang akan
pertahankan presiden PAS," tegas Sallehen yang juga bekas Exco Selangor.
No comments:
Post a Comment