Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
PETALING JAYA: Pimpinan tertinggi PKR hari ini enggan memberi komitmen
untuk menyerahkan kerusi tradisi miliknya kepada Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) bagi membolehkan ia bertanding pada Pilihan Raya umum
ke-14 (PRU14).
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PKR mahupun
Pakatan Harapan (PH) perlu menjaga hubungan sesama parti komponen yang
lain dalam isu pembahagian kerusi membabitkan PPBM.
"Kita runding dulu, PPBM masih parti baru. Kita ada rakan lama," katanya dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Minggu lalu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
menyatakan kesediaan partinya untuk menyerahkan kerusi kepada PPBM,
selepas termeterainya muafakat politik antara parti itu dan PH.
Ujarnya 'kekuatan' PKR pada hari ini adalah disebabkan kesediaan
rakan-rakan pembangkang pada suatu ketika dahulu menyerahkan kerusi
kepada mereka.
Reaksi menteri besar Selangor itu menyusul selepas Presiden PPBM, Tan
Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakan-rakan pembangkang memberi kerusi
untuk partinya untuk bertanding dalam PRU14 nanti.
Muhyiddin juga berkata, perjanjian PPBM dengan PH akan menjadi sia-sia,
jika tiada kerusi diberikan kepada mereka untuk bertanding kelak.
Pada sidang media yang sama, Wan Azizah juga ditanya sama ada suaminya,
Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang menjadi perdana menteri walaupun
bekas ketua pembangkang itu masih menjalani hukuman penjara.
Anwar dihukum penjara selepas disabit kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.
"Mengapa (cakap) tidak? Jangan sesekali kata tidak," katanya.
Azizah kemudiannya menyamakan Anwar dengan mendiang Nelson Mandela yang
menjadi presiden Afrika Selatan selepas 27 tahun meringkuk dalam
penjara.
"Mandela jadi presiden..." katanya sambil menambah pembangkang akan membincangkan calon perdana menteri sementara.
14 Disember lalu, Anwar gagal mengenepikan permohonan semakan sabitan
dan hukuman kes liwatnya apabila ia ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
Mahkamah turut memutuskan tidak berlaku ketidakadilan dalam perbicaraan
kes liwat itu berdasarkan integriti sampel, penyalahgunaan proses
mahkamah dan dakwaan konspirasi dalam pertuduhan ke atasnya.
Dengan keputusan itu, Anwar yang sudah menjalani hukuman penjara di
Penjara Sungai Buloh selama setahun 10 bulan perlu menghabiskan baki
hukuman penjara lima tahun yang diperintahkan ke atasnya.
Dalam sebutan keputusan peraturan penjara bersabit dengan kelakuan
banduan bagaimanapun mungkin membolehkan Anwar dibebaskan pertengahan
2018.
Pasukan peguam Anwar juga dijangka menimbang kemungkinan mengemukakan
rayuan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong baru, Sultan Muhammad V.
No comments:
Post a Comment