Sunday, December 25, 2016

Terima kasih, Jasa tapi 1MDB tetap terbelenggu - Kit Siang

MALAYSIAKINI
 



Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) telah menyatakan dengan jelas hukuman penjara 30 bulan ke atas jurubank Jho Low, Yeo Jia Wei di Singapura tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lim berkata, ini kerana sabitan itu adalah khusus untuk Yeo mengganggu para saksi untuk menutup kesalahan besarnya atas dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Perbicaraan bagi kesalahan pengubahan wang haram dengan Yeo menghadapi tujuh pertuduhan akan bermula tahun depan.

Oleh itu, ujar beliau, keadaan ini tidak melepaskan 1MDB dan individu yang Jasa cuba lindungi.

"Hakikat yang tidak dapat dielakkan adalah sabitan dan hukuman penjara ke atas Yeo hanya bertindak sebagai cagaran untuk kesalahan utama termasuk pengubahan wang haram, penipuan dan pemalsuan dalam gerakan haram S$23.9 juta dana berkaitan 1MDB.

"Bagaimana Jasa boleh mendakwa bahawa dakwaan-dakwaanb utama tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Arul atau Najib sebagai individu utama yang bertanggungjawab ke atas keputusan penting yang memberi kesan kepada 1MDB.

"Bolehkah 1MDB dan kerajaan BN terus berpura-pura bahawa mereka tidak bimbang atau tidak mempunyai kaitan dengan siasatan jenayah dan pendakwaan berkaitan dengan 1MDB yang sedang berlaku di kira-kira 10 buah negara di seluruh dunia," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Lim mengulas sebaran mesej media sosial oleh Jasa ekoran hukuman penjara 30 bulan yang dijatuhkan oleh mahkamah Singapura terhadap Yeo pada Rabu lalu.

No comments: