Monday, December 26, 2016

Jangan sabotaj TMP2017, kata exco Pahang

MALAYSIAKINI

Jangan sabotaj Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017) dengan menyebarkan gambar dan video bencana palsu atau insiden lama melibatkan pusat peranginan di negeri itu.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya akan menimbulkan keadaan panik, menghalang kedatangan pelancong dan merugikan ekonomi penduduk setempat.

Menurutnya, kerajaan negeri telah berbelanja banyak untuk mempromosikan TMP2017, merancang ratusan acara pelancongan dan menambah baik kemudahan sebagai persediaan menyambut kedatangan 15 juta pelancong pada tahun hadapan.

"Saya memang sudah menjangka berlaku penyebaran perkara negatif atau benda tidak benar apabila kita mahu mengadakan TMP2017 yang akan memberi pendapatan kepada negeri, pemain industri pelancongan dan penduduk Pahang.

"Sepatutnya sebagai masyarakat yang bertamadun, yang sedang menuju ke arah negara maju, perbuatan menyebarkan perkara tidak benar seperti ini tidak berlaku walaupun atas niat suka-suka," katanya semasa dihubungi, hari ini.

Mohd Sharkar mengulas penyebaran gambar palsu kononnya kabel kereta kabel di Genting Highlands putus serta video limpahan air di Cameron Highlands yang merupakan insiden pada 2014 di laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Beliau berkata orang ramai seharusnya mendapatkan kesahihan daripada pihak berkuasa jika menerima video atau gambar, bukannya berasa teruja untuk berkongsi di laman sosial masing-masing.

"Malah, kami sendiri akan mengeluarkan kenyataan jika ada bencana yang berlaku. Untuk makluman, semasa musim hujan, kami akan dimaklumkan perkembangan terkini setiap jam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Mohd Sharkar berkata pihaknya juga tidak teragak-agak membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia jika keadaan itu terus berlanjutan sehingga menjejaskan nama baik negeri dan TMP2017.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar juga kesal dengan tindakan golongan yang suka memviralkan sesuatu tanpa memikirkan kesan jangka panjang daripada perbuatan mereka.

"Kami berharap dan berterima kasih dengan media yang membantu menyebarkan maklumat benar. Kami juga sentiasa memantau perkembangan di laman sosial kerana kami kini terpaksa bersaing dengan berita tidak benar di situ," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah menyebarkan berita palsu kerana tindakan tersebut turut menyukarkan pihak berkuasa.

"Sebagai contoh, dakwaan kabel putus di Genting Highlands yang dipercayai gambar kejadian di luar negara, telah menyebabkan polis di Bentong berhadapan dengan banyak pertanyaan daripada orang ramai," katanya.
- Bernama


No comments: