KELANA JAYA: Sekumpulan penyokong yang mendakwa dari Gabungan Penyokong
Bola Sepak Selangor hari ini mengadakan demonstrasi mendesak semua Exco
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) meletakkan jawatan serta- merta.
Timbalan Presiden gabungan berkenaan, Asrul Nizam Adnan berkata
keengganan Exco FAS berbuat demikian adalah satu penderhakaan terhadap
titah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, yang sebelum ini mengarahkan
mereka meletak jawatan.
"Tujuan utama kami datang ke sini hari ini adalah untuk mendesak Exco
FAS menjunjung titah Raja Muda Selangor yang meminta mereka meletak
jawatan.
"Sebagai penyokong Selangor, kami tidak mahu lagi mendengar sebarang
alasan supaya mereka boleh kekal di atas 'takhta' (jawatan) sekarang.
"Kami berharap mereka tidak membelakangi titah Raja Muda Selangor.
Keengganan berbuat demikian adalah satu bentuk penderhakaan kepada
Institusi Raja dan Istana Selangor," katanya ketika ditemui selepas
mengadakan demonstrasi aman bersama sekumpulan 20 penyokong tegar The
Red Giants di hadapan Bangunan FAS, di sini, sebentar tadi.
Konflik membabitkan pengurusan FAS sebelum ini mendapat perhatian
Tengku Amir, apabila membuat teguran menerusi akaun rasmi Instagramnya.
Baginda turut menyarankan 'orang lama' dalam organisasi terbabit supaya berundur diri dengan cara terhormat.
Tambah Tengku Amir, mentaliti pengurusan FAS yang mengharapkan subsidi
dan dana kerajaan negeri perlu dihapuskan selain rombakan penuh Exco
badan induk bola sepak negeri itu agar ia lebih relevan dan sesuai
dengan kehendak generasi sekarang.
Pandangan itu kemudiannya disokong Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali supaya pengurusan persatuan bola sepak negeri itu dirombak
semula.
No comments:
Post a Comment