KOTA KINABALU: Selepas menjalankan siasatan selama hampir tiga bulan
membabitkan jumlah dokumen sehingga setinggi bangunan dua tingkat dan
hampir 100 individu dirakam percakapan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) mendakwa bekas Pengarah Jabatan Air Sabah, Awang Mohd.
Tahir Mohd. Talib, 54, bagi kesalahan menyeleweng dana infrastruktur air
negeri.
Pendakwaan di hadapan Hakim Ummu Khaltom Abdul Samad di Mahkamah Sesyen
di sini itu mendapat tumpuan apabila isteri Awang Mohd. Tahir iaitu
Fauziah Piut, 51, dan bekas timbalan pengarah jabatan itu yang telah
bersara, Lim Lam Beng, 62, turut didakwa atas kesalahan pengubahan wang
haram.
Awang Mohd. Tahir sebagai tertuduh pertama berdepan dengan 12
pertuduhan iaitu memiliki secara haram sebanyak RM56.9 juta yang
ditemukan di rumah dan keretanya
serta di dalam akaun bank, beberapa kenderaan mewah dan 86 utas jam tangan mewah.
Beliau dan isteri didakwa melakukan kesalahan itu di Graceville, Sembulan pada Oktober lalu.
Sementara itu, Fauziah yang ditahan oleh SPRM semalam berdepan dengan
19 pertuduhan iaitu kesalahan memiliki secara haram wang sebanyak RM2.2
juta di dalam akaun bank di Sabah dan Semenanjung termasuk lebih
RM600,000 dalam unit pelaburan dan 93 utas beg tangan daripada pelbagai
jenama terkemuka di rumah mereka pada Oktober serta November lalu.
Selain pertuduhan individu, pasangan suami isteri berkenaan turut
dituduh atas dua kesalahan iaitu secara bersama memiliki sebanyak 921
jenis pelbagai barang kemas dan barangan mewah yang tidak dinyatakan
nilainya di lokasi sama pada bulan Oktober.
Dalam pada itu, Lam Beng yang juga merupakan bekas penasihat kewangan
di Kementerian Kewangan negeri berdepan empat pertuduhan memiliki kereta
mewah dan wang tunai secara haram berjumlah RM2.38 juta di beberapa
lokasi pada Oktober serta November lalu.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dan
bagi pertuduhan individu, mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b)
Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan
Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Pertuduhan bersama antara Awang Mohd. Tahir dan isterinya pula dibuat
mengikut akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, Ummu
Khaltom memberi kebenaran Awang Mohd. Tahir diikat jamin sebanyak RM10
juta dengan dua penjamin, isterinya sebanyak RM2 juta berserta dua
penjamin dan Lam Beng sebanyak RM1 juta oleh dua penjamin.
No comments:
Post a Comment