Friday, December 30, 2016

Setahun berlalu, tapak taman komuniti di Kluang kini masih terbiar kosong


Oleh Syazana Hasanudin


KLUANG- 2016  bakal melabuhkan tirainya, namun tapak untuk projek Taman Komuniti Kampung Melayu Kluang yang dijanjikan oleh Majlis Perbandaran Kluang (MPK) masih kosong tanpa sebarang tanda ia akan dibangunkan.

Demikian keluhan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali yang meminta pihak berwajib memberi jawapan segera dan status semasa pembangunan projek yang menggunakan peruntukan sebanyak RM3 juta dalam Belanjawan Johor 2016 itu.

Beliau berkata, semasa mengedarkan akhbar The Rocket di Pasar Tani Kluang beberapa hari lalu, ramai penduduk termasuk golongan peniaga meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoal sama ada janji yang dibuat oleh MPK tersebut hanyalah ‘cakap tak serupa bikin’.

Lebih-lebih lagi, sebelum ini ia merupakan kawasan perniagaan pasar tani dan pasar malam yang cukup strategik dan memberi kemudahan kepada peniaga serta pengunjung.

Namun, atas arahan MPK dengan alasan akan dibangunkan taman komuniti, mereka terpaksa berpindah ke tapak baru, sedangkan kawasan lama sesuai untuk tujuan parkir, aliran keluar masuk kenderaan dan pemunggahan barang jualan peniaga.



“Hingga kini, tapak tersebut masih kosong. Tidak ada petanda yang sebuah Taman Komuniti akan dibangunkan. Sebatang pancang pun tidak naik.

“Ia menimbulkan tanda tanya di kalangan peniaga pasar tani dan pasar malam yang ‘dihambat’ keluar dan terpaksa memindahkan aktiviti perniagaan mereka sebelum ini,” katanya kepada Roketkini.

Menurut pemerhatian Pegawai Khas Ahli Parlimen Kluang itu, hanya ada tiga papan tanda projek yang dinaikkan, justeru beliau bimbang tapak itu akan menjadi kawasan ‘lepak’ di kalangan anak muda Kluang.
“Kita khuatir hal ini akan membuka pintu kepada aktiviti yang lebih buruk lagi.

“Oleh itu, saya ingin bertanya kepada pihak MPK dan jabatan di kementerian yang terlibat, apakah perkembangan terkini berhubung projek ini?

“Rakyat mahukan penjelasan tentang kedudukan sebenar berkaitan projek taman komuniti yang dijanjikan,” tegasnya. – Roketkini.com


No comments: