Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata
pendapat ini berdasarkan, antara lain konflik di Timur Tengah, perang
mulut antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS) serta cerita palsu yang
disebarkan mengenai Malaysia.
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini berkata 2017 “menjanjikan tahun yang paling sukar diramal dan mungkin ‘berbahaya’ untuk seluruh dunia”.
Beliau berkata pendapat ini berdasarkan, antara lain konflik di Timur Tengah, perang mulut antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS) serta cerita palsu yang disebarkan mengenai Malaysia.
Menerusi catatan terbaharu dalam blognya, Salleh berkata konflik di Timur Tengah akan meningkat menjadi satu tragedi yang tidak ada bandingannya dalam sejarah jika gencatan senjata tidak dapat bertahan.
Beliau berkata perang mulut antara Rusia dan AS juga mengancam untuk membawa dunia kembali ke era perang dingin apabila dunia berdepan dengan senario sangat serius yang boleh berakhir dengan kemusnahan.
“Harapan kami ialah dengan kedatangan tahun baru, (Presiden Amerika yang dipilih) Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin akan duduk bersama dan menyelesaikan perbezaan mereka (AS dan Rusia),” katanya.
Perang mulut antara AS-Rusia berhubung dakwaan Rusia menggodam pilihan raya presiden AS 2016 meningkat sejak beberapa hari lepas, dengan pentadbiran Obama menuduh Rusia terlibat dalam usaha memastikan kemenangan Trump sebagai presiden dalam pilihan raya itu.
Salleh berkata: “Banyak salah faham ini disebabkan persepsi dan maklumat yang salah dan kemudian berkembang menjadi konflik. Pergaduhan antara AS-Rusia merupakan kes berdasarkan khabar angin dan syak wasangka”.
Beliau berkata Malaysia turut mengalami keadaan yang sama.
“Cerita palsu mengenai negara ini disebarkan. Ada yang kata Malaysia akan bankrap. Kemudian mereka katakan Tabung Haji akan bankrap. Semua cerita negatif dan mengelirukan ini berterusan,” katanya.
Salleh berkata rakyat Malaysia cenderung untuk menerima berita palsu dan pembohongan sebagai fakta tanpa memeriksa kebenaran dan kesahihan berita berkenaan.
“Sekiranya kita mahu mengelak daripada terjerumus menjadi mangsa penipuan, maka kita perlu mengesahkan apa saja perkara yang diberitahu kepada kita,” katanya
No comments:
Post a Comment