Friday, December 30, 2016

'Tetapkan harga siling RON95 pada RM2 seliter'

DETIK DAILY
 



Ahli Parlimen Pandan dari PKR, Rafizi Ramli mahu kerajaan menetapkan harga siling RM2 seliter bagi minyak petrol gred RON95 dengan mengembalikan subsidi minyak

Kata beliau, sebarang kenaikan harga petrol gred itu yang melepasi RM2 seliter perlulah diimbangi dengan kenaikan pendapatan luar yang diperolehi kerajaan ekoran lonjakan harga minyak mentah.

"Saya jangka harga (petrol gred) RON95 mengikut formula kerajaan akan kekal sekitar RM2.20 bagi beberapa bulan pertama 2017.

"Ia setelah mengambil kira suasana ekonomi global yang menunjukkan harga minyak mentah akan kekal melebihi paras ASD55 setong bagi beberapa bulan akan datang dan nilai ringgit yang kekal lemah," katanya dalam kenyataan.

Sebulan yang lalu, kerajaan mengumumkan harga minyak petrol RON95 dan RON97 serta diesel turun lima.
Harga baru untuk bulan ini ditetapkan pada RM1.90 untuk RON95, RM2.25 untuk RON97 dan RM1.80 (diesel).

Kerajaan menentukan harga minyak melalui sistem apungan terkawal yang mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kekuatan mata wang negara untuk bulan sebelumnya.

Mengulas lanjut, kata Rafizi, berdasarkan kajian yang dilakukan, kenaikan melebihi 25 sen seliter itu adalah tinggi bagi keluarga berpendapatan bawahan dan pertengahan.

"Bagi keluarga biasa yang mempunyai sebuah kereta dan tinggal di bandar atau separa bandar, dengan anggaran purata penggunaan petrol sebanyak 250 liter sebulan, kenaikan 25 sen ini bermakna peningkatan kos sebanyak RM62.50 setiap isirumah bagi bulan Januari 2017.

"Bagi keluarga yang pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan (sekitar 60 peratus dari keluarga di Malaysia), peningkatan kos petrol RM62.50 sebulan ini bersamaan dengan kehilangan 2.5 peratus gaji mereka bagi bulan itu," kata Rafizi.

Oleh itu, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membenarkan harga ditetapkan mengikut formula yang beliau sendiri tetapkan sebelum ini, ia adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan kejam dalam keadaan sebahagian besar isirumah Malaysia bergelumang dengan gaji yang rendah dan kenaikan kos sara hidup, katanya.


No comments: