PETALING JAYA: Mufti Perak memuji pengusaha bas ekspres TransMalaya
mengasingkan jantina penumpang dalam bas sebagai usaha baik menepati
kehendak Islam kerana haram untuk bukan muhrim duduk bersebelahan
sepanjang perjalanan.
Tan Sri Harussani Zakaria berkata, umat Islam yang cuba menentang usaha
syarikat bas ekspres itu dianggap jahil agama dan menentang hukum
Tuhan.
“Usaha itu cukup baik dan patut dicontohi syarikat bas lain.
“Malah tindakan pengasingan itu bukannya untuk menyekat kebebasan
kerana dari segi Islam, suami isteri atau muhrim boleh duduk sekali,
tetapi kalau pasangan bukan muhrim duduk bersebelahan haram bagi mereka
sepanjang jalan dan berdosa sepanjang jalan.
“Orang kafir ini dia tidak akan bersetuju dengan undang-undang Islam,
apa pun mereka tidak bersetuju dengan Islam kerana mereka hanya mahukan
kebebasan,” lapor FMT hari ini.
Semalam, pemilik dan pengasas KRZ Management Sdn Bhd, Noorlini Ramli
yang menguruskan TransMalaya berkata, pengasingan itu dilaksanakan sejak
Februari 2015 bagi mencegah pasangan bukan muhrim melakukan perkara
tidak senonoh sepanjang perjalanan.
“Saya biasa naik bas berseorangan ketika belajar di UiTM Jengka dan
pada masa itu juga saya nampak sendiri beberapa pasangan berkelakuan
tidak senonoh dalam bas
yang boleh dilihat penumpang lain.
“Saya juga terpaksa duduk di sebelah orang asing yang mengganggu saya.
Ini adalah asas kepada inisiatif kami hari ini. Wanita yang menaiki bas
berseorangan selalu terdedah kepada bahaya,” kata Noorlini.
Usaha itu bagaimanapun diselar peguam dan aktivis, Siti Kasim yang mahu penumpang diberikan kebebasan semasa menaiki bas.
“Saya tidak akan guna syarikat ini. Jika saya hendak duduk sebelah
lelaki atau perempuan, itu pilihan saya. Siapa mereka hendak jadi polis
moral?” kata Siti.
Ketua Biro Agama Pemuda PKR, Wan Ji Wan Hussin berkata, setiap syarikat
mempunyai cara tersendiri menarik pelanggan dan kerajaan tidak perlu
campur tangan dengan menjadikannya peraturan supaya syarikat lain turut
mencontohi TransMalaya.
“Terpulang kepada syarikat bas terbabit atas inisiatif mereka dan pihak
kita perlu meraikan inisiatif terbabit,” kata pendakwah bebas itu.
No comments:
Post a Comment