SHAH ALAM: Bekas senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengesahkan
keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), selepas kurang
daripada tiga bulan menyertai parti tersebut.
"Ya, betul," katanya dipetik Malaysiakini.
Terdahulu, portal Free Malaysia Today yang memetik sumber melaporkan,
Ezam memaklumkan perkara itu kepada setiausaha agung PPBM dalam
suratnya.
Menurut sumber portal itu, Ezam mengambil tindakan berkenaan kerana
kecewa dengan haluan parti yang baru-baru ini menyaksikan Anina
Saadudin, diturunkan daripada jawatan ketua sayap wanitanya, Srikandi.
Namun Ezam menafikan sebeb pengundurannya ada kaitan dengan masalah
dalaman parti. Beliau sebaliknya berkata mahu menumpukan perhatian
kepada NGO antirasuah Hisbah yang dipengerusikannya.
Katanya, mesyuarat tahunan lembaga pengarah Hisbah juga memintanya
menjadi tidak partisan dalam menumpukan perhatian kepada kemelut 1MDB
dan dakwaan berkaitan Felda.
“Atas sebab itu saya secara rasmi hantar surat undur diri dari PPBM kepada setiausaha agung.
“Tidak ada sama sekali soal masalah dalaman parti. Saya tidak pernah
terlibat dalam pimpinan parti sama sekali dan saya tidak mahu
dilibatkan,” katanya.
Untuk misi antirasuah melalui Hisbah itu, kata Ezam lagi, beliau akan bekerjasama dengan semua pihak, termasuk PPBM.
Ezam berkata telah menghantar surat pengundurannya seminggu lalu.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PPBM yang dihubungi Antarapos petang
ini berkata mereka tidak tahu menahu berkaitan perkembangan itu.
Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh ketika ditanya perkara itu hanya menjawab 'Maaf, tiada maklumat'.
Ini adalah kali ke-2 PPBM berdepan dengan 'pengunduran' ahli selepas
kali pertama oleh Datuk Khairuddin Abu Hassan pada 27 Oktober lalu.
Untuk rekod, Ezam menyertai PPBM pada 13 Oktober lalu, selepas mengumumkan keluar Umno pada 2 Oktober.
No comments:
Post a Comment