shahbudindotcom
Pada
mulanya saya agak malas untuk menulis mengenai Jamal Mohd Yunus yang
sekali lagi menjadi percakapan ramai berikutan aksinya yang hanya
bertuala kerana mahu menumpang mandi di pejabat Menteri Selangor di Shah
Alam, baru-baru ini.
Hati kecil saya merasakan, Jamal sengaja berbuat sesuatu untuk menarik perhatian bagi tujuan yang dia saja yang tahu.
Tetapi,
ramai rakan-rakan bertanyakan kenapa saya tidak mencuit walau sepatah
pun tentang aksi terbaru Jamal itu. Dalam blog ini pun, ada juga yang
meminta saya menulis mengenainya.
Untuk
tidak menghampakan mereka, walaupun mungkin agak terlewat dan isu
berkaitan Jamal juga sudah mulai sejuk, saya akur akhirnya.
Sesiapa
pun yang waras pasti akan mengatakan bahawa pemimpin politik,
lebih-lebih lagi jika berjawatan Ketua UMNO Bahagian, bertitle Datuk
Seri dan sedang melobi-lobi untuk bertanding dalam pilihanraya, tidak
wajar sama-sekali berkelakuan sebegitu rupa.
Perbuatan
Jamal bertuala adalah kelakuan yang memalukan UMNO sebagai parti yang
sudah lama berkuasa. Perlakuan Jamal hanya sesuai dilakukan oleh
watak-watak jalanan yang tidak ketentuan kedudukan serta tarafnya.
Bagi
pemimpin politik, akal dan fikiran haruslah mengatasi pertimbangan
emosi dan perasaan. Membantah sesuatu isu, tidak menjadi kesalahan
apa-apa, tetapi sampai sanggup bertuala, adalah keterlaluan dan
seolah-olah sudah hilang pertimbangan akal fikiran.
Sebab
itu, aksi Jamal tidak mendapar respon yang baik daripada UMNO dan para
pemimpinnya. Saya cuba bercakap dengan beberapa kawan yang berjawatan
dalam parti itu, semuanya terasa malu dan diaibkan dengan perlakuan
Jamal itu.
Kata
mereka, dalam kedudukan UMNO dan Najib Razak yang makin ditolak dan
dipersoalkan, munculnya watak "badut" seperti Jamal lebih menyukarkan
lagi parti itu untuk mewajarkan perlunya ia terus disokong dan
dikekalkan kuasanya.
Akan ada yang mempersoalkan, begitukah rupa wajah parti yang ingin diberikan kuasa?
Mujur hanya ada satu Jamal, kata mereka lagi.
Isu
mengenai ketiadaan air baru-baru ini tidak seharusnya diprotes secara
keterlaluan. Ia adalah berkaitan TNB yang perlu melakukan
penyelenggaraan dan Syabas tidak dapat beroperasi dalam tempoh tidak
lebih empat hari hanyalah kerana kerja-kerja itu terpaksa dijalankan dan
tidak dapat ditangguhkan lagi.
Notis
awal sudah pun diberitahu beberapa minggu sebelum itu, malah
penghantaran air juga turut dilakukan. Apa yang perlu bagi setiap orang
ialah melakukan penyediaan tong-tong dan simpanan air yang secukupnya
sebagai bekalan.
Lagi
pun hanya Jamal saja yang kecoh-kecoh kerana tiada air dan kononnya
tidak mandi sampai empat hari, rakyat yang lain, termasuk
menteri-menteri, malah Najib dan Rosmah pun tidak mengomel walau sepatah
pun tentang ketiadaan air itu.
Jamal
juga terlihat tidak matang dan kebudak-budakan apabila beliau menyimbah
air longkang kepada seorang perempuan yang datang ke rumahnya untuk
tujuan menghantar air.
Jika
beliau boleh beraksi "tak semenggah" dengan hanya bertuala ke pejabat
rasmi kerajaan negeri, di mana kematangannya sehingga bertindak seperti
samseng dengan orang-orangnya menyimbah air kotor kepada orang lain yang
sekadar melakukan reaksi kepada perlakuannya?
Kemudian
apabila beberapa artis, termasuk Siti Nurhaliza dengan budi bahasa yang
cukup tinggi menegur ketidakwajaran perlakuannya itu, Jamal sekali lagi
memperihatkan watak tidak matangnya sebagai seorang pemimpin.
Komennya
berkaitan Siti Nurhaliza yang masih tidak mempunyai anak, bukan saja
saja tersasar daripada perdebatan hujah lawan hujah, bahkan juga
tentunya menyinggung perasaan ramai pasangan lain di negara ini yang
tidak mempunyai zuriat.
Soal
zuriat adalah soal rezeki, bukan soal tak cukup air atau tidak subur.
Ada orang yang disahkan subur, tapi tetap tidak mempunyai anak dan ada
juga orang yang tidak subur, tetapi akhirnya dapat memperolehi anak
setelah melakukan pelbagai usaha, termasuk berdoa sehingga ke depan
Kaabah.
Dengan
komen Jamal itu, bukan saja peminat Siti Nurhaliza, bahkan ramai
pasangan yang tersinggung dan terasa hati, mungkin mula menjarakkan diri
daripada UMNO dan kerajaan.
Jamal
juga sebenarnya tahu beliau ada masalah lesen berkaitan hotelnya di
Sungai Besar. Mungkin juga beliau turut berdepan dengan perkara-perkara
lain yang kita tidak tahu.
Biasanya,
orang yang ada masalah hanya akan duduk diam-diam kerana apabila mereka
mula membaling batu ke rumah orang lain, rumah kacanya juga akan
dibalas dengan balingan batu yang sama.
Jamal
tentu sedar perkara itu, tetapi mungkin dalam waktu yang sama beliau
juga belajar daripada Annuar Musa yang tiba-tiba meletakkan jawatan
dalam KAFA dan seterusnya disusuli persatuan bolasepak negeri itu mahu
menarik diri daripada Liga Malaysia, tetapi kemudian sepantasnya datang
"wahyu" daripada Najib yang seolah-olah mahu menawarkan bantuan segera.
Sama
seperti Annuar Musa, Jamal juga adalah pemimpin UMNO yang sepertinya
sudah bertekad "sanggup sehidup semati" untuk mempertahankan Najib.
No comments:
Post a Comment