Monday, December 26, 2016

'Beralih 5% peratus undi Felda cukup jatuhkan BN'

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, pembelian 37 peratus pegangan dalam PT Eagle High Plantations Tbk adalah kesilapan terbesar pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Ia memberi peluang kepada saya masuk ke tanah perancangan Felda untuk menerangkan dengan terperinci kebertanggung jawaban Datuk Seri Najib (Razak) dalam urusniaga ini.

"Saya juga yakin tanah perancangan Felda adalah medan tempur saya dan Umno/BN iaitu satu-satunya institusi Melayu/Islam yang saya belum tumpukan sepenuh tenaga saya untuk diselamatkan dari kerakusan pimpinan yang ada sekarang.

"Dengan beralihnya sokongan 3 hingga 5 peratus pengundi dari tanah peracangan Felda, akan jatuhlah pentadbiran Najib," kata beliau dalam kenyataan.

Sebelum ini, Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak turut mempersoalkan kewajaran Felda yang ditubuhkan oleh bapanya, arwah Tun Abdul Razak Hussein mengenai pembelian pegangan dalam PT Eagle High Plantations Tbk.

Felda mengumumkan pembelian terancang dalam unit perladangan konglomerat Indonesia Rajawali Group selepas kegagalan Felda Global Ventures (FGV) untuk membeli pegangan saham yang sama.

FGV, syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dikritik oleh para pemegang sahamnya apabila bercadang untuk membeli 37 peratus kepentingan dalam PT Eagle High Plantations Tbk pada harga AS$680 juta.

Antara pengkritik tersebut adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah melupuskan semua sahamnya dalam FGV.

Felda, tidak seperti FGV, bukan syarikat tersenarai awam dan dimiliki oleh kerajaan. Felda memiliki pegangan sebanyak 21 peratus dalam FGV.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, apabila pembelian itu dibuat melalui Felda (bukannya FGV), kesan dari penggunaan dana Felda untuk urusniaga ini yang mahal ini sudah tentu akan dirasai terus oleh peneroka Felda di seluruh negara.

"Bagi peneroka yang masih menjual buah kelapa sawit mereka melalui Felda, mereka mungkin terkesan dari segi tawaran harga atau tempoh bayaran.

"Bagi peneroka yang menyerahkan kerja-kerja penanaman semula kepada Felda, mereka akan terkesan dari segi kemajuan kerja-kerja penanaman semula pokok kelapa sawit, hutang yang terpaksa tanggung dari penanaman semula itu serta ketepatan bayaran elaun sara hidup sementara menunggu hasil kelapa sawit," ujar beliau.

Malah, bagi keseluruhan warga Felda yang masih menetap di tanah perancangan, mereka akan terkesan hatta dari segi barang runcit yang dibekalkan melalui kedai-kedai yang diusahakan oleh Felda, jelas Rafizi lagi.


No comments: