Friday, December 30, 2016
PAN 'bayi tabung uji' DAP?
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
SELIDIK secara teliti di seluruh negara, PAN didirikan kerana atau oleh mereka yang punya tiga faktor utama iaitu kecewa, kedudukan dan keras. Untuk tubuh satu wadah hakikatnya mereka tidak punya kekuatan, jauh sekali asas atau dasar. PAN hanya lahir dari golongan yang bercampur dengan serpihan genetik JIM dan disuntik dengan ubat 'booster' khas DAP.
DAP mahu melanjutkan agendanya dan mengukuhkan dendamnya akibat diputuskan tahaluf oleh Majlis Syura Ulamak PAS yang menyaksikan kedudukannya di arena politik tergugat, apatah lagi setelah gagal menguasai Pakatan Rakyat.
Maka PAN ditubuhkan kononnya menggantikan PAS yang dilabel telah tergelincir dari landasan perjuangan Islam. PAN dikatakan lebih Islam dan moderat, walaupun PAN sebenarnya diambil alih asalnya dari Parti Pekerja berlogo cangkul di mana pengerusi atau pengasasnya seorang India beragama Hindu. Jadi, di mana dasar atau asas dan Perlembagaan Islam PAN?
Malah, ulama seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsudin yang mulanya ditonjolkan ketika menyaingi kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, hari ini langsung tenggelam dari kepimpinan PAN.
Begitu juga penubuhan Pakatan Harapan (PH) gabungan bersama DAP, PKR dan PAN, hakikatnya sekadar merawat kesedihan sendiri dan cuba menunjuk kuat. Sebaliknya, sokongan kepada PAS semakin menunjukkan peningkatan.
Penubuhan itu juga membuktikan ketidaktelusan DAP kerana Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak diikat bersama. Sedangkan, PAS dijadikan mangsa dengan seteruk-teruknya dalam isu Kota Damansara pada PRU13 lalu. Walhal, PAS berpendirian kerana pembahagian kerusi hanya melibatkan sesama anggota Pakatan Rakyat (PR). PAS mengambilnya sebagai waspada dari risiko memberi kemenangan percuma kepada BN, sementelah lagi PSM pula bukan anggota PR.
Bermakna wujud percaturan lain dibelakang yang turut didalangi (baca: dikhianati) beberapa pimpinan PAS ketika itu. Tetapi hari ini, setelah PAS tiada dalam gabungan mereka, mengapa tidak dijemput PSM untuk bersama? Kerana PSM juga hanya mahu dijadikan alat mereka.
Apatah lagi pimpinan PSM boleh dikatakan terdiri dari mereka yang berprinsip dalam sesuatu perkara di mana hal itu kurang disenangi DAP. Kerana DAP sudah terpalit pelbagai skandal dan kontroversi seperti hidup mewah atas jawatan, rasuah, melindungi kegiatan-kegiatan pusat hiburan dan rumah urut yang dipercayai berselindungnya gangsterisme, pelacuran, arak dan sebagainya.
Usaha DAP untuk berlagak dengan dengan PH tidak menjadi, akhirnya melenting apabila pemimpin PKR masih sepentas bersama PAS dalam program-program besar. Ketika sama, program PAN terlalu hambar dan mengecewakan.
Begitu juga tatkala ditubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sedaya upaya diusahakan bersama PH supaya PAS dilihat sendirian. Malangnya PPBM sekadar berminat menjalin kerjasama pilihan raya, tetapi tetap bebas bersama PAS.
Begitu angkuhnya DAP hingga cuba menghalau PAS dari Kerajaan Negeri Selangor. Padahal mereka lupa, tidak akan tertegak kerajaan tanpa gabungan bersama PAS+DAP+PKR. PAS terus kekal atas mandat asal yang datang daripada rakyat. Jika keluar PAS, maka tidak cukup gabungan untuk menjadi kerajaan, mandat rakyat akan dikecewakan atau dikhianati.
PAS boleh sahaja mengambil langkah berani, tetapi yang sengsaranya ialah DAP, kerana dengan tindakan itu tentunya PKR memilih untuk bersama PAS dan menjauhi DAP. Reputasi nasional DAP akan terjejas dan hanya menambah kekusutan serta melambakan masalah.
Maka, segalanya serba tidak menjadi bagi DAP ditambah PAN yang sememangnya dari dulu populis sering mengeluarkan pendirian bercanggah dan kalut.
Malah, mutakhir ini DAP dilihat semakin menikus apabila banyak isu-isu berlaku berkaitan Islam, Melayu dan Raja. Tidak mampu mereka untuk menampakkan muka. DAP barangkali sedar bahawa imej politik mereka akan kian merudum jika masuk campur. Maka terpaksalah digunakan PAN sebagai khadam yang setia.
Percayalah, selepas ini semakin PAS memperkasakan "Inilah Penyelesaian Kita" iaitu merujuk kepada penyelesaian Islam, akan semakin banyak hiruk pikuk dan sibuk tak tentu pasal yang PAN timbulkan untuk menyaingi PAS.
Hakikatnya, mereka dibayangi DAP yang tidak pernah selesa dengan agenda Islam dimartabatkan dalam negara ini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment