Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: PAS hari ini tampil menafikan dakwaan ada desas-desus
mengatakan bahawa tiga ahli Exco Selangor itu bakal meletak jawatan pada
hujung tahun ini, ekoran beberapa kenyataan pemimpin PKR yang banyak
melemparkan tuduhan tidak berasas kepada parti itu.
Menurut
salah seorang daripada exco berkenaan Datuk Yunus Hairi, isu berkenaan
sudah tidak dibincangkan lagi, memandangkan pendirian Menteri Besar
Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang bertegas mahu meneruskan kerjasama
politik dengan parti itu.
"Secara peribadi saya tidak dengar lagi (mengenai exco PAS Selangor
akan letak jawatan), di peringkat PAS negeri pun kita tidak pernah
bincangkan sebab kita memegang konsep kerjasama dengan PKR masih lagi
utuh.
"Kalau di peringkat PAS pusat masih bertegas dengan PKR, pentadbiran
negeri kita masih bersama atas dasar mandat yang diberikan oleh rakyat
pada PRU13 dan pendirian Menteri Besar sendiri yang sama masih lagi mahu
mentadbir kerajaan negeri bersama dengan PAS," katanya ketika dihubungi
Antarapos.
Isu mengenai peletakan jawatan tiga exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor kembali melanda arena politik negeri itu.
Khabar angin ini timbul sekali lagi selepas Setiausaha Agungnya Datuk
Saifuddin Nasution pada September lalu, menyifatkan bahawa PKR lebih
terkesan dengan pengkhianatan yang dilakukan PAS terhadap parti itu.
Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan selepas PAS sering mengatakan
bahawa parti itu dikhianati PKR meskipun masih menjadi rakan tahaluf
siyasi di Selangor.
Terbaru, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ada
menyindir PKR dan menyatakan kekecewaan ekoran kerap dihentam parti itu
ketika Ceramah Mega Rakyat anjuran PAS di Paya Jaras awal bulan ini.
PAS Selangor kini memilik tiga exco antaranya Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.
Pandangan peribadi
Tambah Yunus lagi, kenyataan itu mungkin hanya persepsi sesetengah pemimpin PKR namun ia tidak mewakili parti tersebut.
"Itu hanya perrsepsi katakan PAS khianat PKR dan sebagainya, saya ingat
dia (Datuk Saifuddin Nasution) kena buktikan. Kalau kita nak cari isu
khianat yang rasanya mungkin persepsi masing-masing.
"Mungkin PAS juga boleh cari alasan yang PKR khianat kepada PAS dan
sebagainya. Tapi yang penting adalah persamaan yang kita boleh pegang
untuk bersama-sama dalam memegang pentadbiran dalam blok pembangkang,"
katanya merujuk kepada kenyataan Saifuddin.
Dalam pada itu, Yunus berkata segala keputusan adalah terletak ditangan
PAS Pusat samada ingin meneruskan kerjasama politik dengan PKR di
Selangor atau sebaliknya.
Jelasnya, sehingga kini tiada sebarang arahan yang dikeluarkan kepada PAS Selangor berhubung dakwaan itu.
"Saya tidak pasti di peringkat pusat (bincang mengenai perletakan
jawatan exco PAS Selangor) tapi setahu saya peringkat pusat, Presiden,
PAS Selangor dan ADUN tegas masih lagi sama (ada hubungan dengan PKR)
dan saya rasa tidak pernah dibincangkan di peringkat negeri.
"Apa pun kalau itu yang dimahukan oleh PAS pusat, kita akur. Biasanya
kita (PAS Selangor) beri input kepada (PAS) pusat untuk pertimbangkan
buat keputusan dan kita akur dengan apa jua keputusan.
"Setakat ini tidak ada (isu peletakan jawatan exco PAS Selangor), dalam
apa juga perbincangan di peringkat negeri memang tidak pernah
disebutkan," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment