Oleh Haizal Yatiran
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak perlu menunggu
PAS dalam meneruskan hasratnya untuk menjatuhkan kerajaan Umno-Barisan
Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki ketika dihubungi
Antarapos hari ini berkata, perkara itu berikutan pendirian partinya
yang masih kekal untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak yang
bersama dengan DAP dan Amanah.
"Dia (Mahathir) tak perlu tunggu PAS sebenarnya sebab kita sudah memang putus hubungan langsung dengan DAP dan Amanah.
"Jadi untuk duduk sekali memang kita takkan boleh jadi pun. Sebab kita dah putuskan benda tu," katanya.
Pada masa sama, Zuhdi turut menempelak tuduhan yang dibuat oleh bekas
Presiden Umno itu bahawa partinya mempunyai agenda tersembunyi untuk
memberi kemenangan kepada Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Cuma tuduhan dia kita ada hubungan dengan Umno tu, terpulang pada
dialah. Sebab kita sudah nyatakan lama sebelum ini bahawa PAS tidak
bersama dengan Umno dan Pakatan Harapan.
"Kita akan duduk dalam blok lain. Kita ada blok yang ketiga. Kita bukan
pembangkang yang tegar, dan kita bukan juga kerajaan yang tegar,
kerajaan yang tak dengar cakap orang," tegas beliau.
Semalam, Tun Mahathir mengugut akan meninggalkan PAS sekiranya parti
dari blok ketiga itu tidak memberikan komitmen untuk menentang BN pada
PRU yang dijangka diadakan pada tahun depan.
Katanya, PPBM dan parti pembangkang yang lain tidak boleh menunggu
lebih lama lagi dan bersedia untuk pertandingan tiga atau empat penjuru.
Dalam ucapannya pada sidang media di Konvensyen DAP semalam, Tun
Mahathir turut melempar tuduhan kepada PAS bahawa mempunyai hubungan
politik dengan Umno-BN.
No comments:
Post a Comment