KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Syariah di sini, hari ini menolak rayuan
Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan tuduhan qazaf terhadap bekas
pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Panel tiga hakim syarie dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Md. Yusup
Che Teh turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada 14
April 2010 yang mengetepikan permohonan Anwar supaya pihak pendakwa
syarie memulakan prosiding pertuduhan qazaf Mohd. Saiful.
Hakim Md. Yusup yang bersidang bersama Hakim Datuk Yusof Musa dan
Mohd. Amran Zin sebulat suara memutuskan demikian selepas bekas ketua
pembangkang itu gagal mengemukakan bukti untuk memulakan tindakan qazaf
terhadap Mohd. Saiful.
Mahkamah turut memutuskan Ketua Pendakwa Syarie mempunyai kuasa eksekutif untuk memulakan atau tidak suatu kes pendakwaan.
Terdahulu pada Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menolak
permohonan qazaf Anwar terhadap peguam kanan Datuk Seri Muhammad Shafee
Abdullah selepas memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa
untuk mendengar permohonan yang berkaitan dengan liwat.
Ini kerana negeri Selangor tidak menganggap liwat satu kesalahan sama dengan zina.
Pada 23 April 2010, Anwar memfailkan notis rayuan dan semakan terhadap
keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pada 14 April 2010, yang
menolak permohonannya bagi memulakan prosiding pertuduhan kes qazaf
terhadap Mohd Saiful.
Dalam permohonan itu, beliau menamakan Shamsuddin, bekas Pengarah
Jabatan Agama Islam (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai responden.
Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang
melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit
kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau
denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment