Sunday, July 20, 2014

Skandal Bank Rakyat: Jawapan kepada Hasan Malek

MAHFUZ OMAR 


Saya telah membaca sepenuhnya penjelasan YB Dato Sri Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertarikh 16/7/2014 berkaitan isu penyelesaian pinjaman Bank Rakyat kepada peniaga karpet Deepak Jaikishan (meskipun YB Menteri tidak langsung menyebut nama Deepak di dalam penjelasan tersebut). Saya percaya penjelasan YB Menteri tersebut adalah merujuk kepada kenyataan-kenyataan terkini yang dibuat oleh saya dan Ahli Parlimen Pandan, YB Rafizi Ramli berkaitan dengan isu tersebut.

Setelah meneliti penjelasan YB Menteri tersebut, saya amat kecewa kerana penjelasan yang diberikan adalah suatu penjelasan bersifat umum yang hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Bahkan di dalam penjelasan tersebut seolah-oleh menunjukkan YB Menteri ingin meletakkan beban di pihak pengurusan Bank di mana kononnya terma-terma penyelesaian dengan Deepak adalah dibuat berdasarkan cadangan pengurusan Bank Rakyat dan bukannya atas arahan YB Menteri.

YB Menteri sesungguhnya tidak boleh berdalih dan menafikan fakta bahawa YB Menteri sendiri yang mengeluarkan surat ‘arahan’ kepada Bank Rakyat bertarikh 30 Januari 2014 supaya tindakan undang-undang ke atas syarikat milik Deepak Carpet Tile Sdn. Bhd. ditangguhkan dan baki tertunggak sebanyak RM32 juta diselesaikan melalui bayaran bulanan selama 10 tahun melalui 120 keping cek yang setiap satunya bernilai RM270,000.00.

Bahkan saya ingin mendedahkan di sini, bahawa sebaik menerima surat dari YB Menteri bertarikh 30 Januari 2014 tersebut, pihak Lembaga Pengarah Bank Rakyat (yang ketika itu dipengerusikan Tan Sri Sabbaruddin Chik) di dalam satu mesyuarat pada 27 Februari 2014 telah MENOLAK ‘arahan’ YB Menteri di dalam surat bertarikh 30 Januari tersebut. Lembaga Pengarah Bank Rakyat sebaliknya telah meletakkan syarat supaya Carpet Tile Sdn. Bhd. menjelaskan terlebih dahulu bayaran sebanyak RM5 juta sebagai menunjukkan komitmen di pihak Carpet Tile untuk mematuhi perjanjian dengan Bank Rakyat. Lembaga Pengarah Bank Rakyat di dalam mesyuarat yang sama juga memutuskan bahawa hanya selepas Carpet Tile membayar RM 5 juta tersebut, barulah Bank Rakyat akan mempertimbangkan sebarang cadangan dari Carpet Tile berkaitan penstrukturan pembayaran balik baki tertunggak bagi pinjaman tersebut. Hasil dari keputusan ini, Bank Rakyat telah menghantar surat makluman kepada Carpet Tile pada 28 Februari 2014 di mana Carpet Tile diberi masa seminggu untuk menjelaskan RM5 juta ringgit tersebut dan mengemukakan cadangan pembayaran yang berikutnya.

Namun apa yang mengejutkan, YB Menteri, yang dipercayai telah mengetahui kandungan surat Bank Rakyat kepada Carpet Tile bertarikh 28 Februari 2014, telah sekali lagi menghantar surat kepada Bank Rakyat pada 5 Mac 2014 yang mana YB Menteri telah mengarahkan supaya Bank Rakyat menangguhkan perlaksanaan syarat-syarat yang dikenakan Bank Rakyat kepada Carpet Tile sebagaimana surat Bank Rakyat bertarikh 28 Februari 2014. Lanjutan dari surat kedua YB Menteri inilah yang membuatkan Lembaga Pengarah Bank Rakyat di dalam mesyuarat pada 1 April 2014 akhirnya terpaksa bersetuju supaya Carpet Tile dibenarkan menjelaskan baki pinjaman sebanyak RM 32 juta selama 10 tahun tanpa dikenakan sebarang denda lewat (ta’widh).

Apa yang ingin saya tegaskan di sini, berdasarkan fakta-fakta yang saya nyatakan di atas, penjelasan bertulis yang diberikan YB Menteri sebenarnya telah gagal menyembunyikan hakikat bahawa YB Menteri telah memainkan peranan yang begitu aktif di dalam ‘menyelamatkan’ Carpet Tile dan Deepak Jaikishan dari diambil tindakan undang-undang oleh Bank Rakyat. Bahkan penjelasan tersebut sebenarnya membangkitkan lebih banyak persoalan. YB Menteri tidak boleh lagi berdusta dengan memberi alasan layanan istimewa yang diberikan kepada Deepak dan Carpet Tile ini adalah atas keputusan yang dibuat oleh pengurusan dan Lembaga Pengarah Bank Rakyat. Sekiranya YB Menteri merasa berada di pihak yang benar, saya mencabar YB Menteri supaya menafikan fakta-fakta yang saya nyatakan di Perenggan 4 dan 5 di atas.

Bagi melindungi segala perbuatannya, YB Menteri seterusnya mendakwa bahawa selaku menteri yang menjaga hal ehwal Bank Rakyat, beliau berkuasa untuk membuat sebarang keputusan berkaitan perjalanan Bank Rakyat sebagaimana kuasa yang diberikan oleh Seksyen 16 Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Peruntukan Khas) 1978. Saya akui kewujudan peruntukan Seksyen 16 tersebut. Namun YB Menteri hendaklah membaca sehingga habis Seksyen 16 tersebut. Seksyen 16 sebenarnya tidak memberi kuasa mutlak kepada YB Menteri untuk membuat sebarang keputusan atau arahan yang sewenang-wenangnya di dalam hal ehwal Bank Rakyat. Jelas dinyatakan di dalam Seksyen 16 tersebut bahawa sebarang arahan menteri hendaklah ianya suatu arahan bagi melindungi kepentingan ahli atau pendeposit Bank Rakyat. Soalan saya, dengan memberi keistimewaan kepada Deepak dan Carpet Tile untuk membayar baki pinjaman selama 10 tahun tanpa dikenakan sebarang bayaran denda lewat, bagaimana ianya dikatakan boleh melindungi kepentingan ahli dan pendeposit Bank Rakyat yang lain? YB Menteri sesungguhnya bertangungjawab untuk menjelaskan perkara ini dengan jujur dan telus.

Saya juga menyeru supaya Bank Negara, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia supaya tidak tunduk kepada tekanan dan menyiasat perkara ini dengan penuh ketelusan.

*Penulis adalah Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap Ketua Whip Ahli Parlimen PAS dan Ketua Penerangan PAS Pusat.

No comments: