RAKYATNEWS
Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin berkata lagu terbaharunya berjudul
Jaga Dia Untukku merupakan perkongsian tentang perasaannya melalui
waktu-waktu sukar ketika suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau
dikenali sebagai Datuk K terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun
lalu.
Memetik laporan Mstar Online, Siti, 35, berkata, ia bercerita tentang
pelbagai perasaan yang dipendam dan sukar untuk digambarkan ketika
kejadian itu yang hanya dirasai oleh dirinya seorang.
"Lagu ini adalah tentang pengalaman setahun lalu ketika suami saya
terlibat dengan kemalangan jalan raya, ia berkongsi tentang perasaan
hiba, sedih dan berkecamuk ketika itu sehingga saya membuat untuk
berhenti menyanyi selama empat bulan bagi menumpukan perhatian
sepenuhnya mengaja dia.
"Ketika itu orang ramai tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi, jadi
saya minta Aubrey Suwito (komposer) dan kakak ipar saya, Rozi yang tahu
tentang keadaan itu mencipta sebuah lagu dan lirik tentang kejadian
itu," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Fragmen, di
Hotel Le Maridien, di sini, malam Isnin.
Album yang memuatkan sebanyak lapan buah lagu itu turut menerima
Anugerah Platinum apabila jualan album mencecah 5,000 unit dalam masa
seminggu dikeluarkan.
Sementara itu, Siti turut mengakui agak kecewa dan geram apabila
masyarakat memberi pelbagai spekulasi terhadap keadaan suaminya selepas
kemalangan tersebut.
Bagaimanapun, dia enggan mengambil peduli tentang perkara itu dan
menganggap ia sebagai satu cabaran sebagai seorang isteri yang perlu
ditempuhinya.
"Memang geramlah bila macam-macam cerita keluar tentang Datuk K ketika
itu, tetapi saya sabar dan faham ia adalah kerana mereka tidak tahu
keadaan sebenar suami saya.
"Kami tidak benarkan ramai orang datang melawat kerana Datuk K perlukan
rehat dan menjalani rawatan fisioterapi setiap hari, mungkin disebabkan
itu banyak spekulasi tidak betul timbul," katanya.
Dalam pada itu, Siti berkata, kejadian tersebut mempunyai hikmah tersendiri yang menguji kesabarannya sebagai seorang isteri.
Sementara itu, bercerita tentang album Fragmen ini, Siti berkata ia
sarat dengan nilai kasih sayang, semangat dan juga rasa kecintaan dalam
perspektif yang lebih meluas.
Tambahnya, dia mahu menerapkan nilai-nilai positif supaya album ini
bukan sahaja boleh didengar muzik dan lagunya tetapi turut menghayati
lirik-lirik yang ditampilkan.
Fragmen turut memuatkan lagu seperti Aku, Mula dan Akhir, Kau Sangat
Bererti, Sanubari, Terbaik Bagimu, Warna Dunia dan Membunuh Benci.
No comments:
Post a Comment