Tuesday, July 22, 2014

Sidang khas MH17: Tiga wakil PAS sedia berbahas

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: PAS menyediakan tiga orang pembahas pada sidang Parlimen Khas yang akan berlangsung esok bagi membincangkan insiden membabitkan nahas pesawat MAS MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di sempadan Ukraine Rusia pada 17 Julai lalu.

Ketua Whip Ahli Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, kelaziman parlimen hanya memberi peluang tidak kurang dua orang wakil bagi setiap parti untuk berbahas, namun PAS tetap menyediakan tiga nama bagi tujuan tersebut.

"Kita tidak dimaklumkan berapa orang wakil yang dibenarkan untuk berbahas untuk setiap parti dan berapa lama masa diperuntukkan sepanjang sidang bermula 10 pagi hingga 5.30 petang itu.

"Namun kita menyediakan tiga nama iaitu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar mewakili Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff yang mewakili Muslimat dan termasuk saya sendiri yang mewakili Presiden PAS yang tidak dapat hadir," jelasnya.

Menurut Mahfuz, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak dapat hadir kerana faktor kesihatan beliau yang masih belum mengizinkan.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, isu perbahasan dijangka lebih terfokus kepada insiden membabitkan MH17 termasuk dasar luar dan juga percaturan politik peringkat antarabangsa.

"Kita akan tekankan hubungan antara Malaysia-Rusia dan Ukraine, dan apa yang kita perlu lakukan.

"Selain itu kita juga akan selitkan isu yang berlaku di Gaza sekarang kerana itu turut membabitkan isu kemanusia sejagat," sambung beliau.

Sementara itu, sidang Parlimen Khas bagi membincangkan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap pesawat MH17 itu akan disiarkan secara langsung di TV1 esok mulai jam 10 pagi.

Perkara itu dijelaskan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam satu kenyataan.

Pesawat MH17 yang membawa penumpang seramai 283 orang bersama 15 anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu telah terhempas di Donestk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia dipercayai ditembak. - HARAKAHDAILY

No comments: