Wednesday, July 23, 2014

Selesaikan krisis di Selangor sebelum raya




Oleh ABD SHUKUR HARUN


PENYOKONG Pakatan Rakyat Selangor rata-rata menyatakan kebimbangan yang amat sangat terhadap kemelut politik berhubung isu kedudukan Menteri Besar Selangor dan rangkaian isu itu yang berhubung dengannya.

Mereka bimbang jika isu ini tidak diselesaikan segera, maka Pakatan Rakyat Selangor akan kehilangan sokongan yang teruk dari rakyat yang mengundi Pakatan dalam dua PRU yang lalu.

“Suasana sangat merbahaya,” kata seorang penyokong DAP di Subang Jaya, yang di kenal dengan nama Mr. Lim. Beliau menambah, “keadaan sangat serius, jika tidak diselesaikan segera krisis ini, rakyat sangat kecewa.”

Seorang lagi penyokong Pakatan Rakyat, Idrus Samad dari Petaling Jaya berkata, “Para pemimpin Pakatan Rakyat baik PAS, PKR dan DAP perlu memikirkan nasib Pakatan Rakyat lebih dulu daripada memikirkan kepentingan peribadi dan parti masing-masing.”

Para penyokong Pakatan sudah lama menyatakan kebimbangan ini, tetapi lebih bimbang lagi apabila membaca hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) yang merumuskan sokongan kepada PR di Selangor merudum 35 peratus.

Bahkan Ketua DAP Selangor Tony Pua mengakui sokongan terhadap PR sememangnya sudah makin jatuh, bagaimanapun dia tidak menyangka ia akan jatuh begitu teruk."Saya sangat bimbang. Keputusan itu lebih teruk daripada jangkaan. Kami tahu sokongan berkurangan tapi yang membimbangkan adalah tahap kejatuhannya," kata Pua.

Sokongan kepada PR di Selangor itu sangat berbeza dibandingkan dengan setahun lalu ketika ia menewaskan Barisan Nasional (BN) untuk memegang tampuk kuasa di negeri paling kaya dalam negara.

Walaupun UMcedel tidak menyatakan alasan jelas penurunan sokongan itu, umum mengetahui puncaranya ialah mengenai kontroversi yang dihadapi pentadbiran negeri tersebut.

Iaitu daripada isu kalimah Allah, kepada isu kitab Bible oleh Jabatan Agama Negeri hingga ke kontroversi Lebuh Raya Kidex dan pertembungan politik dalaman melibatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tan Sri Khalid kehilangan banyak sokongan daripada partinya sendiri selepas dilantik menteri besar untuk penggal kedua.

Bagi ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, adalah sangat penting untuk PR mengkaji laporan UMcedel itu dengan serius dan mengambil langkah proaktif untuk mengembalikan keyakinan orang ramai.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula meminta semua pihak menerima dengan baik kajian yang dibuat UMcedel dan tidak menafikannya.

"Jangan ada di kalangan kita dalam mood 'sindrom penafian' terhadap kajian ini kerana ia menunjukkan realiti reputasi kita. Tambahan pula UMcedel mempunyai reputasi tersendiri dalam kajian mereka.

Pada pendapat saya pandangan Saifuddin sangat tepat apabila beliau berkata, pimpinan Pakatan khasnya di Selangor perlu terbuka dan mengakui adanya masalah yakni  Pakatan wajib menyelesaikan masalah itu bersama.

Dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat janganlah ada yang memikirkan kepentingan parti masing-masing saja, tanpa menghiraukan kepentingan Pakatan Rakyat pada keseluruhannya. Justru kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ini dibina dari tiga parti – PAS, DAP dan PKR.

Dengan kekuatannya yang padu inilah menyebabkan Pakatan berkuasa di Selangor, sebuah negeri yang terkaya dan ternama di Malaysia. Maka itu kekuatan yang padu inilah mesti dikekalkan.

Para pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor juga perlu meruntuhkanlah sikap ego peribadi masing-masing dan janganlah sentiasa memikirkan pengaruh dan kekuatan parti masing-masing saja yang menyebabkan Pakatan kuat di Selangor.

Rakyat yang mengundi Pakatan dalam dua pilihan raya umum dulu bukan semata-mata kerana kekuatan satu-satu parti dalam komponan Pakatan itu, tetapi kerana gabungan kekuatan ketiga-tiga parti.

Rakyat telah menggantungkan harapan yang tinggi kepada Pakatan Rakyat untuk terus memerintah Selangor, negeri yang disifatkan sebagai mahkota permata pada negara Malaysia kerana ia menjadi negeri pusat perniagaan negara ini dengan pelaburan dari dalam dan luar negara yang tinggi.

Ia menjadi pusat perkembangan ekonomi dan pengurusan yang dimegahkan. Begitu di Selangor begitu banyak pusat pengajian tinggi, jumlah rakyat terpelajar begitu besar berbanding dengan negeri lain. Selain itu ia memiliki peluang perniagaan yang begitu luas, tanah yang begitu subur dan sebahagian besar kawasan di Selangor adalah kawasan bandar dan semi bandar yang pesat membangun.

Lebih istimewa lagi, negeri Selangorlah menjadi cermin masyarakat majmuk di Malaysia, dengan perkembangan agama Islam begitu pesat sekali. Kerana itu apabila Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor, ia memberi gambaran bahawa Pakatan Rakyat diterima oleh masyarakat majmuk di Malaysia, selain daripada Pulau Pinang.

Inilah antara ciri penting dan istimewanya Selangor. Maka itu Pakatan Rakyat perlulah mengekalkan kuasanya di Selangor kerana nilainya terlalu tinggi.

Setelah hampir dua penggal memerintah, Pakatan Rakyat mestilah mengukuhkan perpaduan dan kekuatan untuk meneruskan pemerintahannya.

Maka itu, harapan rakyat terlalu tinggi supaya krisis yang berlaku sekatang di Selangor segera di atasi, malah kalau dapat diselesaikan sebelum hari raya ini.

Rundingan peringkat tinggi Pakatan Rakat – Majlis Presiden - khabarnya akan bersidang sehari dua lagi. Mudah-mudahan ia akan dapat menyelesaikan segera krisis ini.

Perlu diingat, jika krisis ini tidak juga dapat diselesaikan, maka ia hanya akan menguntungkan parti lawan yang sekarang ini sedang memerhatikan dengan penuh minat akan apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

Akhirnya hendaklah diingat bahawa Pakatan Rakyat janganlah sekali-kali mengecewakan rakyat Selangor yang mengundinya dulu

No comments: