Kematian biduanita negara Datuk Sharifah Aini menjadi inspirasi kepada
penerbit filem sensasi Raja Azmi yang ingin meninggal dunia dalam
keadaan tenang.
Sehubungan itu, Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiman
55, mengambil tindakan membuang lebih 300 keping gambar-gambar lamanya
tidak bertudung yang dimuat naik di laman Instagram.
"Selepas sembahyang subuh hati saya terdetik untuk membuang
gambar-gambar lama yang tidak bertudung, saya rasa gambar-gambar itu
tidak sesuai untuk dipertontonkan lagi kepada umum, kalau boleh saya
mahu pergi seperti Allahyarham Sharifah Aini.
"Saya lihat pemergian Allahyarham Sharifah Aini Ahad lalu sangat tenang
dan di dalam keadaan yang dia sudah bersedia untuk menemui tuhan.
Allahyarham meninggal dalam bulan Ramadan dan Allah permudahkan segala
urusan kematiannya, dia juga bertuah mendapat anak yang soleh," katanya
ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Sharifah Aini meninggal dunia di Pusat Pakar Damansara di sini pada
Sabtu lalu pada usia 61 tahun akibat komplikasi pelbagai penyakit
termasuklah fibrosis paru-paru.
Raja Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas tentang status
terbaharu di laman sosial tersebut yang mengakui tenang selepas membuang
gambar-gambar lama tersebut.
Bagaimanapun, Raja Azmi berkata, dia tidak mempunyai halangan jika
gambar-gambar tidak bertudungnya keluar daripada simpanan pihak lain
terutama media.
Dalam pada itu, katanya, sebagai insan yang baharu sahaja berhijrah, dia
sentiasa mencari dan berusaha untuk membetulkan kesilapan yang pernah
dilakukannya.
"Alhamdulillah, saya rasa sangat tenang lepas membuang gambar-gambar
tersebut, selepas bertudung ini saya banyak mencari apa yang tidak betul
lagi dalam diri saya.
"Saya nampak Allah taala tunjuk satu persatu apa yang patut saya perbaiki bagi menjadi seorang insan yang lebih baik," katanya.
Sementara itu, sepanjang Ramadan ini, Raja Azmi berkata dia banyak menolak undangan berbuka puasa sepanjang Ramadan kali ini.
Katanya, dia mengambil peluang bulan puasa ini untuk melakukan sebanyak mungkin ibadah dan melakukan solat terawih.
"Ramadan kali ini saya banyak tolak undangan berbuka puasa sebab tidak mahu tertinggal solat terawih.
"Bulan ini juga saya mula mengaji semula dan banyak membuat ibadah bagi mendapatkan keberkatan," katanya.
No comments:
Post a Comment