Tuesday, July 8, 2014

Politik baru, politik bazar Ramadan Kluang

lct politik baru


ANAK MAMI DI PERANTAUAN


Di saat Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Johor yang kini Timbalan Perdana Menteri, secara tidak semena-mena mengusik kenangan 13 Mei, Umno di Johor tiba-tiba bikin kejutan yang membuatkan kita sedikit terpana dan hilang imbang seketika.

Ketua Pemuda Umno Kluang Dato’ Khairul Anwar Rahmat melanggar adat dengan mengundang Ahli Parlimen DAP Kluang untuk turun menyampaikan sumbangan di bazar Ramadan.

Menariknya, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong baru sahaja beberapa hari sebelumnya dihalau daripada memasuki kawasan bazar. Video pertembungan kumpulan Umno penjaga bazar dengan tim MP Kluang tersebar merata. ‘Abang Long Kawasan’ yang berkeras meminta surat izin menjadi bahan gelak ketawa ramai pihak.

Lebih memalukan si ‘Abang Long Kawasan’, Dato’ Khairul malah mengecam tindakan menghalau Chin Tong dan rakan-rakan, serta menyifatkan tindakan para ‘samseng’ tersebut sebagai tidak menggambarkan akhlak Islam.

Usaha mencari saudara peminta surat izin masih giat dilakukan, namun khabarnya langsung tidak dijumpai batang hidungnya. Barangkali ghaib menanggung malu.

Namun lebih baik kiranya kita melihat gambaran yang tidak pernah kita jangkakan ini: DAP dan Umno seiring dan sejalan masuk ke bazar Ramadan untuk sama-sama menyampaikan sumbangan kepada orang ramai. Ini luar biasa.

Pertembungan antara DAP-Umno selalunya tidak begitu enak dipandang mata. Barangkali kita masih ingat bagaimana ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur dirusuh para pemuda Umno Wilayah Persekutuan hatta diugut mahu dibakar.

Tiga hari berturut-turut konfrontasi antara Umno dan DAP berlarutan bermula di bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, membawa ke rusuhan di ibu pejabat di Kuala Lumpur dan berlarutan esoknya di pejabat DAP Kuantan yang direjam dengan telur busuk. Kebencian Umno terhadap DAP ini begitu mendalam sekali, walaupun ada kalanya sebab-sebab membenci DAP ini langsung tidak berasas.

Lalu secara tiba-tiba di Kluang sana kita temukan dua pemimpin yang nampaknya betul-betul serius dengan politik baru yang matang dan tidak berkenan dengan politik perkauman dan adu domba.

Masing-masing berlumba-lumba berbuat kebaikan di bulan yang mulia ini, di saat ada menteri Umno secara wewenang mempidanakan amal jariah serta berniat mahu membantut usaha orang ramai memberi makan para warga miskin kota.

Kejadian di Kluang ini luar biasa dan Dato’ Khairul Anwar Rahmat wajar mendapat pujian, meskipun dia Umno.

Dan lagi meskipun Khairul Anwar Rahmat telah menunjukkan tauladan yang baik, janganlah kebaikan itu mengaburi dosa-dosa Umno kepada umat ini. Meski kebaikan meleburkan kejahatan, masih banyak kebaikan yang perlu dilakukan Umno untuk meleburkan kejahatan-kejahatan yang telah ia kerjakan.

Seandainya para soldadu Umno di peringkat akar umbi sudah ada yang mula berganjak dari modus operandi politik tradisional yang melazimi kebencian kaum, agama dan perbezaan pendapat politik; kenapa para kepala utamanya tidak mampu ikut serta?

Kenapa mesti ada lagi ugutan dan peringatan tentang 13 Mei contohnya, dengan ditulis besar-besar pada sepanduk dihiasi lukisan seorang lelaki menghunus parang dalam demonstrasi di Pulau Pinang awal tahun ini. Kenapa juga mesti ada lagi ugutan dengan meletakkan kepala lembu di pagar rumah wakil rakyat beragama Hindu? Kenapa lagi mesti dimaki ‘Cina makan babi’ setiap kali ada yang tidak puas hati dengan DAP?

Cina makan babi, Melayu makan ayam, makanlah makanan masing-masing dalam keadaan harmoni dan tanpa perlu bertelagah. Bukannya susah. – Roketkini.com

No comments: