MALAYSIAKINI
Presiden Rusia Vladimir Putin memberi jaminan untuk menggunakan
pengaruhnya bagi membolehkan pasukan penyiasat memasuki kawasan pesawat
Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas, bagi memulakan
siasatan berhubung tragedi itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam perbualan
telefon dengan Putin selepas berbuka puasa tadi, Presiden Rusia itu
menyatakan Moscow memahami keperluan untuk menyelesaikan persoalan
mengenai insiden berkenaan.
"Presiden Putin berkata beliau juga berharap Presiden Ukraine (Petro
Poroshenko) bersetuju untuk gencatan senjata sementara untuk membolehkan
pasukan siasatan ini memasuki kawasan pesawat terhempas.
"Dari segi pandangan Putin, beliau berkata pihak yang menguasai kawasan
itu tentu hendak siasatan yang objektif dilakukan dan Putin turut
berkata Rusia tiada kemampuan untuk menembak jatuh pesawat itu," kata
Najib kepada pemberita selepas menerima panggilan daripada Putin malam
tadi.
Terdahulu, Najib menghadiri majlis berbuka puasa bersama media anjuran
Kementerian Komunikasi dan Multimedia di perkarangan Masjid Al-Muhammadi
di
Angkasapuri.
Perdana menteri berkata kumpulan yang menguasai kawasan MH17 terhempas
dan kerajaan Ukrain mesti bersetuju melakukan gencatan senjata sementara
bagi membolehkan pasukan penyiasat memasuki kawasan insiden secepat
mungkin.
"Komitmen untuk gencatan senjata ada oleh kedua-dua pihak, tetapi ia
perlu diterjemahkan dalam bentuk persetujuan...saya telah memberitahu
Presiden Putin bahawa pasukan penyiasat kita telahpun berlepas ke Kiev
dan bila sampai nanti, saya mahu mereka terus dibenarkan masuk ke
kawasan itu," katanya.
Dalam perbualan telefon itu, Najib turut menegaskan kepada Putin
mengenai perlunya pasukan penyiasat diberi kebenaran memasuki kawasan
tragedi secepat mungkin untuk memulakan siasatan.
Menurutnya pasukan siasatan itu, yang Malaysia perlu menjadi sebahagian
daripadanya, harus diberikan jaminan dalam soal keselamatan semasa
menjalankan tugas.
"Saya juga menegaskan (kepada Putin) betapa kawasan itu tidak boleh
diganggu dan tidak diusik apa jua yang boleh disifatkan sebagai asas
dalam sisastan nanti," katanya.
Ketika diitanya pihak mana yang bertanggungjawab terhadap insiden itu,
Najib berkata Malaysia menjadi mangsa kepada pertembungan geopolitik
yang sengit di kawasan itu.
Semasa mengulas mengenai penglibatan beberapa kuasa besar dunia terhadap
insiden ini, beliau berkata perkara itu amat kompleks memandangkan
semua mempunyai pandangan tersendiri dan bertentangan.
Najib juga berkata beliau belum ada rancangan untuk ke Kiev namun akan sentiasa berhubung dengan pemimpin-pemimpin tertentu.
Menurutnya pada hari ini sahaja, beliau menerima panggilan daripada
beberapa pemimpin negara lain termasuk Presiden Indonesia Susilo Bambang
Yudhoyono, Perdana Menteri Australia Tony Abbot, Perdana Menteri New
Zealand John Key, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB) Ban Ki-moon dan Perdana Menteri United Kingdom David Cameron.
Berhubung laporan pesawat MH17 ditembak jatuh dan pihak mana yang harus
dipertangungjawabkan, Perdana Menteri berkata ia perlu disiasat
sepenuhnya berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh.
Najib berkata jika pesawat itu ditembak jatuh, siasatan forensik pasti
dapat menentukannya kerana banyak bukti yang boleh ditemui daripada
pesawat itu.
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan
dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine
berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.
Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari
(waktu Netherlands) pada Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.
Daripada 298 penumpang MH17, seramai 44 orang adalah warganegara Malaysia.- Bernama
No comments:
Post a Comment