MALAYSIAKINI
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan menghantar
satu pasukan khas ke Gaza, Palestin Selasa ini, dalam misi menyalurkan
bantuan kepada penduduk di negara bergolak itu.
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata selain menyalurkan bantuan,
pemergian pasukan khas ini juga untuk meninjau situasi dan mengenal
pasti keperluan sebenar penduduk di sana.
"Kita sedang melaksanakan persiapan sebelum menghantar pasukan ke sana
yang terdiri daripada Pengarah Strategik Mapim Sani Arabi Abd Halim dan
beberapa sukarelawan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media
di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura)
Abdul Ghani Shamsudin, Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu
(Teras) Wan Ahmad Tarmizi Abdul Aziz, Pengerusi Persatuan Persaudaraan
Muslimah Malaysia (Salimah) Datin Aminah Zakaria dan Timbalan Pengerusi
Jaringan Muafakat Pertubuhan-Pertubuhan Islam Negeri Perak (Jama'iy)
Zulkifli Ibrahim.
Sani Arabi berkata pihaknya juga sedang mengumpul derma untuk disalurkan kepada penduduk Palestin di Gaza.
"Saya dan sukarelawan lain akan menyusul ke Gaza bagi membawa dana
bantuan yang berjaya dikumpulkan. Kita berharap dalam tempoh beberapa
hari ini, kita dapat mengumpul banyak dana untuk dibawa ke sana," kata
Sani Arabi.
Terdahulu Mapim, Teras, Salimah, Jama'iy dan beberapa Badan Bukan
Kerajaan (NGO) mengadakan mesyuarat khas dan membangkitkan beberapa isu
antaranya menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) segera meluluskan resolusi mengutuk dan menghentikan keganasan
Israel dan serangan ke atas Gaza.
NGO itu turut menuntut supaya sempadan Rafah dibuka dan membenarkan
akses kepada orang ramai membawa masuk barangan ke Gaza dan menyeru
agensi antarabangsa dan kerajaan memberikan sokongan moral dan material
kepada perjuangan Palestin.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi menyeru orang ramai menyertai Mapim dan
pelbagai NGO untuk turut serta dalam perhimpunan 'Pray For Gaza' di
Dataran Kemanusiaan, Shah Alam, 18 Julai ini.
"Perhimpunan ini yang akan bermula pada 3 petang, juga merupakan satu
misi kemanusiaan NGO untuk mendoakan penduduk Gaza serta mengumpul dana
melalui jualan amal yang akan diadakan," katanya.
Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza dalam operasi yang digelar 'Operasi Perlindungan Sempadan' sejak Selasa lepas.
Sehingga kini, media melaporkan sekurang-kurangnya 121 rakyat Palestin
terkorban manakala ratusan lagi cedera akibat serangan bertubi-tubi
roket tentera rejim Israel terhadap Gaza.- Bernama
No comments:
Post a Comment