Saturday, July 19, 2014

Malaysia Mahu Pasukan Siasatan Khas MH17 Diberi Akses Penuh

alt


Sepang  - Kerajaan kini fokus bagi memastikan pasukan siasatan khas yang berlepas ke Kiev semalam diberikan akses sepenuhnya bagi melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau sendiri akan berlepas ke Kiev hari ini agar akses di tempat kejadian diterima secepat mungkin

"Kita akan memastikan pasukan kita di Kiev dapat mengakses secara penuh di kawasan kejadian dan kita sedang berusaha ke arah itu.

"Saya sendiri akan ke Kiev hari ini, untuk memastikan kita dapat masuk ke kawasan kejadian secepat mungkin," katanya di Lobi Hotel Sama Sama di sini hari ini.

Beliau dijadual akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tengahari ini.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, Kerajaan Malaysia masih belum menerima laporan rasmi mengenai status kotak hitam yang didakwa telah ditemui semalam.

"Ia masih berita yang belum dapat dipastikan, dan kita akan membuat pemeriksaan mengenai laporan mengenai kotak hitam tersebut," katanya.

Semalam, Pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dilaporkan terhempas di sempadan Rusia.

Pesawat yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu dikatakan ditembak menggunakan misil anti-pesawat darat ke udara oleh pihak yang tidak diketahui.

No comments: