Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Semenjak tahun 1999, Malaysia mengalami pentadbiran yang pincang apabila Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan adalah orang yang sama, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.
Beliau berkata, ‘tradisi’ yang dimulakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir itu menyebabkan amalan semak dan imbang tidak dapat dipraktikkan secara sistematik dalam kabinet .
“Peranan Perdana Menteri ialah membelanjakan peruntukan (Belanjawan), manakala Menteri Kewangan memantau dan mengawasi perbelanjaan.
“Dalam keadaan seperti sekarang, bolehkah Menteri Kewangan (Datuk Seri Najib Razak) mengawal perbelanjaan Perdana Menteri?” soal Chin Tong, mengundang tawa kira-kira 100 hadirin di forum ‘Rombakan Kabinet: Apakah Menteri Baru Lebih Efektif’ di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Khamis lalu.
Semenjak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Menteri Kewangan pada 1998, jawatan itu hanya sekali disandang oleh seseorang yang bukan memegang jawatan Perdana Menteri, iaitu Tun Daim Zainuddin dari tempoh 1999 hingga 2001.
Namun ‘tradisi’ itu kemudiannya diteruskan Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.
Kata Chin Tong, rakyat Malaysia berharap seorang Menteri Kewangan ‘sepenuh masa’ dilantik dalam rombakan kabinet pada 25 Jun lalu bagi menggantikan Najib, namun ia tidak berlaku.
Sebaliknya operasi Jabatan Perdana Menteri dibesarkan melalui pelantikan Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong sebagai menteri penuh di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Katanya lagi, Australia antara model pentadbiran yang wajar dicontohi melalui sistem ‘menteri dua peringkat’ atau konsep seorang menteri hadir ke mesyuarat kabinet, manakala ‘menteri muda’ memberi tumpuan kepada agenda dan pelaksanaan.
Tambahnya, langkah penjimatan operasi kerajaan boleh dilakukan dengan penggabungan beberapa jabatan dengan fungsi bersama di bawah sesuatu kementerian, antaranya Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi (Mosti) dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).
“Ini membolehkan kerajaan mengurangkan jumlah menteri kepada 18 orang,” kata Chin Tong sambil memberitahu beliau sebelum ini pernah mendapatkan pandangan beberapa orang bekas Menteri Kewangan termasuk Tengku Razaleigh.
Pertindihan peranan antara agensi
Dalam pada itu kata Chin Tong, pertindihan peranan antara agensi kerajaan menimbulkan kekeliruan. Sebagai contoh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak berada di bawah Kementerian
Pengangkutan, sebaliknya di bawah Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) yang diselia Kementerian Kewangan.
“Begitu juga dengan Pelabuhan Pulau Pinang (Penang Port) tidak berada di bawah Kementerian Pengangkutan, tetapi di bawah Kementerian Kewangan,” ujar Chin Tong.
Beliau turut mengkritik pelantikan Datuk Mah Siew Keong sebagai Menteri di JPM yang diamanahkan memegang portfolio berkaitan pengurusan tanah, hartanah, tanah perkuburan atau dana yang berkaitan masyarakat beragama Hindu.
“Saya bukan hendak memperkecilkan peranan beliau, malah meraikan peranan sesiapa sahaja untuk memegang portfolio berkaitan mana-mana kepercayaan masyarakat di Malaysia.
“Tetapi Malaysia memerlukan pemimpin yang layak untuk bertanggungjawab kepada kementerian yang bersesuaian. Kita wajar menjadikan kabinet sebagai institusi yang penting,” kata Chin Tong. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment