MALAYSIAKINI
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mengendahkan tekanan agar beliau
berundur dari jawatan menteri besar Selangor dan bertegas bahawa jawatan
tersebut hanya boleh dilantik dengan persetujuan semua pihak.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan
raya Selangor di Kajang petang tadi, Khalid berkata pelantikan menteri
besar tidak harus menurut pendapat "satu pihak sahaja."
"Untuk melantik menteri besar, bukan berdasarkan keputusan satu kumpulan sahaja tapi pelbagai kumpulan.
"Sultan perlu terima keputusan semua, baru boleh jadi menteri besar," katanya.
Katanya, perkara itu boleh dilihat apabila semua pihak mencadangkan
namanya apabila beliau dilantik ke jawatan tersebut, selepas pilihan
raya umum ke-12.
"Sultan turut meminta (semua komponen) Pakatan Rakyat untuk buat surat bersetuju pelantikan saya," kata beliau.
Kenyataan itu timbul memandangkan Pakatan sendiri masih belum sependapat
untuk menyokong calon penggantinya, presiden PKR Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail.
Tentangan itu disuarakan seorang pemimpin PAS Selangor yang memberi
alasan, PKR menunjukkan sikap “kurang hormat” kerana tidak memaklumkan
usul tersebut kepada merea.
Ia berbeza dengan sikap DAP yang sepakat agar Wan Azizah menggantikan Khalid sebagai kesinambungan pada “Langkah Kajang”.
Sementara itu, Khalid ketika ditemui pemberita hari ini turut ditanya
sekali lagi mengenai cadangan untuk mengemukakan usul tidak percaya di
DUN untuk membolehkan beliau disingkirkan.
"Saya dah kata sebelum ini saya akan mengikut lunas undang-undang. (Ada)
enakmen-enakmen yang perlu diikuti kerajaan negeri Selangor sebab ada
beberapa tatacara yang perlu dilakukan," kata beliau.
Khalid sebelum ini bertegas bahawa beliau akan kekal berkhidmat sebagai menteri besar untuk penggal ini.
No comments:
Post a Comment