Thursday, July 24, 2014

Ketua pemisah mengakui pejuang ada BUK

MALAYSIAKINI


 


Seorang pemimpin utama pemisah Ukraine mengesahkan bahawa pemberontak pro-Rusia itu mempunyai peluru berpandu anti-pesawat dari jenis yang dikatakan oleh Washington telah digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17.

Dalam temubual dengan Reuters, Alexander Khodakovsky, komander batalion Vostok, mengakui, buat pertama kalinya sejak pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada hari Khamis, bahawa puak pemisah memang memiliki sistem peluru berpandu BUK.

Beliau juga membayangkan BUK itu mungkin berasal dari Rusia dan mungkin telah dihantar balik untuk menghapuskan bukti kehadirannya.

Sebelum pesawat Malaysia itu ditembak jatuh, puak pemberontak telah mewarwarkan memiliki peluru berpandu BUK, yang boleh menembak jatuh pesawat di ketinggian penerbangannya. Tetapi selepas nahas tersebut, puak utama pemisah itu, dari Republik Rakyat Donetsk, telah berulang kali menafikan pernah memiliki senjata itu.

Sejak nahas tersebut yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal MH17, isu utamanya ialah siapakah yang melepaskan tembakan peluru berpandu yang menjatuhkan pesawat itu di kawasan di mana tentera kerajaan memerangi pemisah pro-Rusia.

Khodakovsky menyalahkan pihak berkuasa Kiev kerana memprovokasi mengenai peluru berpandu yang terkena pesawat itu, dengan berkata Kiev sengaja melancarkan serangan udara di kawasan itu, kerana mengetahui terdapat peluru berpandu di tempat itu.

"Saya tahu BUK itu datang dari Luhansk. Pada masa itu, saya diberitahu bahawa sebuah BUK dibawa dari Luhansk di bawah bendera LNR," katanya merujuk kepada Republik Rakyat Luhansk, kumpulan pemberontak utama yang beroperasi di Luhansk, satu daripada dua wilayah ang dikuasai pemberontak di samping Donetsk, wilayah di mana nahas itu berlaku.

"BUK itu saya tahu. Saya dengar mengenainya. Saya fikir mereka menghantarnya balik. Kerana saya tahu mengenainya pada masa yang sama saya mendapat tahu tentang nahas itu. Mereka mungkin menghantarny balik untuk menghapuskan bukti kehadirannya," kata Khodakovsky kepada Reuters pada hari Selasa.

No comments: